Thursday, May 20, 2010

Judi Bola - Dr Mohamad Khir Toyo

Saya ditanya oleh ramai orang berhubung dengan keputusan Kerajaan membenarkan Ascot Sports Sdn Bhd menggunakan semula lesen mengambil pertaruhan bagi pertandingan sukan terutamanya bola sepak Piala Dunia nanti. Bagi saya ini adalah keputusan yang kurang baik.

Judi merupakan sesuatu yang haram di dalam Islam dan dalam kebanyakan agama di dunia. Sebagai orang Islam saya tetap menegaskan judi ini haram seperti mana arak dan zina. Sebab itu, semasa saya menjadi Menteri Besar Selangor, saya dengan tegas menutup pusat perjudian dan puast pelacuran,malah saya sendiri mengetuai pasukan penguatkuasaan mengambil tindakan.

Judi membawa banyak akibat buruk kepada masyarakat. Ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Judi boleh meruntuhkan sistem sosial masyarakat dengan menyebabkan orang miskin bertambah miskin, yang kaya boleh jadi miskin sekelip mata. Apabila kalah judi banyak kegiatan jenayah, keganasan rumah tangga dan masalah hutang dengan ”ah long” akan kedengaran. Saya fikir dalam jangka masa panjang kerajaan akan menanggung kos sosial yang lebih tinggi.

Kita sering dihidangkan dengan kejayaan orang tertentu menjadi jutawan sekelip mata kerana menang ”jackpot” dan sebagainya. Namun dalam kemenangan tersebut kita akan dapati berjuta lagi orang mengalami kerugian. Jarang sekali kita dengar syarikat judi yang rugi atau jatuh muflis. Ini adalah satu bentuk perniagaan yang menguntungkan tauke judi dan merugikan sebahagian besar peserta.

Saya tidak faham mengapa ada orang terlalu berminat untuk menghabiskan wang hasil keringat mereka dengan mengkayakan tauke judi. Mungkin orang yang kaya berjudi sebagai hiburan tidak mendatangkan masalah sosial. Namun lebih ramai yang tidak kaya berjudi berhabis-habisan dengan harapan ini mengubah nasib mereka. Kumpulan inilah yang akan memberi kesan sosial dan ekonomi yang serius kepada negara.

Namun dalam masa yang sama saya juga memahami dilema kerajaan yang berhadapan dengan masalah judi haram dan kecil-kecilan sehingga sukar dikawal. Kewujudan lebih 4000 pusat judi haram di Selangor bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan sumber pendapatan melalui cukai, tetapi juga menyebabkan lebih banyak ”penagih judi” dan gejala sosial lain tanpa dapat dikawal.

Apabila kerajaan membenarkan pertaruhan untuk sukan ini bermakna kerajaan boleh mengawal industri ini dan memastikan ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Kerajaan boleh mengawal kegiatan ini dari membabitkan orang bawah umur, penganut agama Islam dan sebagainya.

Kebenaran ini juga akan mengawal wang rakyat daripada keluar negara melalui pertaruhan online kepada syarikat-syarikat perjudian luar negara. Saya difahamkan industri pertaruhan bola sepak membabitkan rakyat Malaysia sudah mencecah bilion ringgit setiap tahun.

Selain itu, kerajaan juga berhadapan dilema tanpa skim pertaruhan sukan yang dikawal selia, banyak wang telah diraih oleh sindiket-sindiket perjudian haram yang dikuasai oleh kumpulan jenayah terancang atau lebih kita kenali sebagai kongsi gelap dan gangster. Wang yang banyak ini digunakan pula untuk membiayai kegiatan jenayah lain.

Hasil judi haram menyebabkan kumpulan jenayah di negara ini semakin kuat, mempunyai peguam-peguam yang hebat dan mampu memberi rasuah yang besar bagi memastikan mereka terlepas dari undang-undang. Malahan saya difahamkan sudah terdapat ahli-ahli politik yang dibiayai oleh sindiket-sindiket jenayah ini melalui kegiatan perjudian haram bagi menjaga kepentingan mereka. Kita juga dapat lihat muncul kumpulan-kumpulan hak asasi tertentu di negara ini yang begitu setia menjaga kepentingan penjenayah dan memburukkan polis. Siapakah yang membiayai mereka?

Kerajaan sukar mengambil tindakan kerana permintaan atau demand terhadap pertaruhan sukan seperti bola sepak ini sangat besar. Jika dihalang terus penggemar mereka akan mencari jalan lain untuk meneruskannya. Justeru saya percaya kerajaan telah mempunyai data-data ini dan berpendapat sudah tiba masanya industri judi haram ini disekat dan dikawal melalui saingan yang berada di bawah Undang-undang. Dengan adanya syarikat judi sukan yang berlesen ini kerajaan dapat mengawasi urusan kewangan dan memastikan mereka juga tidak menggunakan dana pertaruhan yang besar ini untuk kegiatan berunsur jenayah lain termasuk merasuah ahli sukan.

Sungguhpun saya tidak menyokong keputusan kerajaan ini, saya fikir kerajaan mempunyai sebab yang munasabah untuk membenarkannya.

Namun demikian sebagai orang Islam, saya mahu jaminan YAB Perdana Menteri bahawa syarikat ini tidak akan mengambil sebarang pertaruhan dari kalangan orang Islam. Saya fikir semua orang Islam juga mahukan jaminan bahawa lesen syarikat ini akan ditarik balik serta merta jika terdapat bukti mereka mengambil pertaruhan di kalangan orang Islam. Selagi tiada jaminan Perdana Menteri, saya rasa sukar untuk majoriti orang Islam menerima keputusan kerajaan ini. Jangan nanti kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Jaminan ini harus diikuti dengan pengenalan mekanisme bagi mengawasi bahawa syarat yang diletakkan oleh kerajaan dipatuhi oleh syarikat terbabit. Selain itu, kerajaan sewajarnya menggunakan sebahagian cukai dari syarikat perjudian bagi mendidik pelajar dan remaja mengenai keburukan berjudi.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik