Thursday, May 20, 2010

Malaysia Negara ka 10 Kompetitif Di Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai negara ke-10 paling kompetitif di dunia daripada tempat ke-18 sebelum ini, iaitu adalah satu lonjakan yang luar biasa berikutan peningkatan signifikan di segi prestasi ekonomi disebabkan pelbagai faktor seperti kemasukan pelaburan berkualiti, dasar kerajaan yang pragmatik dan risiko kestabilan politik yang rendah.

Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemudikan ekonomi negara.
Turut dipuji ialah keupayaan dasar kerajaan untuk diubah suai mengikut perubahan ekonomi, katanya, yang jelas merujuk kepada pakej rangsangan sebanyak RM67 bilion yang dilancarkan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan bagi merangsang ekonomi dari kemelesetan global berikutan dari krisis kredit subprima AS.
Pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Najib yang mensasarkan untuk melakukan transformasi negara bagi melahirkan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dapat mengekalkan dan menempatkannya pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 turut menjadi ciri-ciri kukuh penyesuaian dasar kerajaan untuk melakukan perubahan pada ekonomi.

IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.

Daripada 10 kedudukan teratas itu, katanya, Australia berada pada kedudukan ke-lima, Taiwan (ke-lapan) dan Malaysia (ke-10) dan mendapat manfaat dari permintaan kukuh di Asia serta di dalam pelaksanaan dasar yang efisien.

Ketiga-tiga negara itu diletakkan pada kedudukan yang baik di segi keefisienan kerajaan," kata IMD.
IMD berkata, Malaysia juga diletakkan pada kedudukan tinggi kerana daya tahan ekonomi terhadap kitaran (menurun), ketelusan yang mencukupi di kalangan institusi kewangan serta birokrasi kerajaan yang tidak menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan pantas di dalam ekonomi sejak beberapa tahun lalu.

Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonominya telah pulih pada suku terakhir tahun lepas sebanyak 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi pada kadar 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Antara kekuatan Malaysia yang berada pada kedudukan di atas ialah kepelbagaian ekonomi dan kadar pertukarannya manakala imbangan akaun semasanya berada pada kedudukan ke-dua dan ketiga bagi eksport barangan.

Selain itu, kos kompetitif modal yang menggalakkan pembangunan perniagaan, masyarakat yang mempunyai ramai orang lanjut umurnya itu tidak menjadi beban bagi pembangunan ekonomi dan undang-undang pengangguran menyediakan satu insentif untuk mencari pekerjaan juga adalah perkara yang kukuh terhadap ekonomi.

Berita baik bagi majikan korporat di Malaysia ialah wujud pengurus kanan yang mahir di negara ini, lembaga pengarah korporat telah menyelia pengurusan syarikat dengan berkesan dan para pengurus mahir di dalam perniagaan.

Malaysia juga terus meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat dan memupuk satu tenaga kerja yang berbakat sambil ia memacu produktiviti dan daya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif.

IMD juga menyatakan bahawa ketelusan dasar kerajaan amat memuaskan selepas bertambah baik dari 3.94 peratus kepada 5.98 peratus manakala dasar perlindungan tidak menjadi satu faktor di dalam ekonomi Malaysia di mana ia tidak merosakkan perniagaan.

Katanya, penempatan pada kedudukan yang tinggi itu juga adalah disebabkan pelaburan berkualiti yang mengukuhkan ekonomi dan tindakan untuk mendidik perusahaan kecil dan sederhana bagi bersaing pada peringkat global.

Penambahbaikan juga dilakukan di dalam bidang lain seperti amalan rasuah, birokrasi, ketelusan, kestabilan politik, pengangguran jangka panjang, hutang korporat dan indeks harga pengguna.

Bagi penetapan kedudukan subsektor, Malaysia berada pada senarai teratas bagi ketelusan institusi kewangan dan faktor institusi kewangan berisiko rendah.

Sektor kewangan negara itu kekal berdaya tahan walau pun berlaku kemelesetan di dalam sektor kewangan AS dan Eropah, selepas berjaya mengukuhkan lagi kehadirannya di dalam landskap kewangan, terutama sekali di dalam pembiayaan Islam dan perbankan.

Malaysia kini adalah peneraju di dalam kewangan Islam, pasaran modal Islam dan industri takaful dan wujud peluang besar yang berpotensi menjadi satu hab bagi perkhidmatan kewangan Islam bersepadu.

Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang memuktamadkan usaha mewujudkan satu pusat kewangan islam fizikal dan pengeluaran dua lesen bank Islam mega.

Ringgit, yang mencapai ketinggian 3.1 bagi setiap dollar AS, muncul sebagai mata wang Asia baru muncul paling kukuh di segi prestasi berbanding mata wang dollar AS sehingga kini tahun ini, yang meningkat lebih 7.0 peratus berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh negara itu.
Ia juga meningkat 19 peratus berbanding euro dan 16 peratus berbanding pound.

“Bagi teroka usaha sama awam dan swasta, pembiayaan bagi teknologi, sains di sekolah-sekolah dan eksport teknologi tinggi, negara itu ditempatkan ke kedudukan ke-empat terbaik,” kata IMD.

IMD berkata, sekolah memberi penekanan yang mencukupi terhadap sains.

Di bawah subpenempatan keefisienan kerajaan, Malaysia ditempatkan pada tempat kedua bagi kos modal kerana terdapat sokongan bagi pembangunan perniagaan.

Ia juga ditempatkan pada kedudukan ke-dua kerana penyesuaian dasar kerajaan kepada perubahan di dalam ekonomi.

Bagaimanapun, IMD tidak menonjolkan kelemahan pada penempatan kedudukan bagi Malaysia, yang termasuk subsidi tinggi kerajaan kepada syarikat swasta dan awam di segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar, kos lebih pada, defisit bajet kerajaan dan bilangan prosedur yang banyak untuk memulakan sesuatu perniagaan.

Sumbar: Berita Harian/Bernama

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik