Wednesday, May 19, 2010

Orang Diatas, Dengarlah Orang Dibawah - MIM

Boleh tak sesiapa di dalam UMNO dan BN terangkan dengan sejelas-jelasnya, kenapakah judi 'bolasepak Piala Dunia' boleh diluluskan ?

Apakah mereka itu tidak memikirkan semasak-masaknya dan sepanjang-panjang tentang implikasi kepada parti dan kerajaan yang dipimpin oleh seorang Muslim?

Ini sama dengan perpatah orang putih, 'If you can't fight them. join them'! Dan di dalam isu ini, kerajaan mengambil jalan mudah dengan ikut serta tetapi dalam konteks menghalalkan judi tersebut.

Penulis sangat kecewa dengan tindakan menghalalkan judi sukan tersebut, lebih-lebih lagi di dalam tempoh UMNO dan Barisan Nasional cuba mengorak langkah untuk memperkasakan parti tersebut.

Perkembangan terbaru itu tentunya menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat, lebih-lebih lagi kerajaan seperti lepas tangan dan mengharapkan agar isu judi tersebut akan lenyap selepas selesai Piala Dunia di Afrika Selatan.

Dan jika kaedah 'hilang dek di telan masa' yang digunapakai oleh kerajaan hari ini, penulis percaya bahawa tiada yang hilang malah isu ini akan terus diputar-putar sehinggalah PRU 13. Percayalah!

Malah, kerajaan hari ini mesti menjelaskan dari segi moral dan agama dengan sekerap yang mungkin sehinggalah rakyat faham segala-galanya.

Kita faham dengan penjelasan mengenai keuntungan judi haram yang membiayai kegiatan jenayah dan underworld di negara ini tetapi isu underworld dan jenayah patut diselesaikan oleh pihak-pihak yang telah dipertanggunjawabkan.

Akan tetapi, jika terdapat validiti yang kukuh kepada alasan di atas, kerajaan hari ini mesti menerangkannya kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya. Ramai yang akan faham dengan maksud kerajaan tersebut.

Sekarang, isu judi sukan 'halal' sedang hangat diperkatakan dan diputar-putar hampir setiap hari di dalam alam siber ini. Dan dengan hanya satu langkah tidak wajar tersebut, para pejuang siber pro-BN di alam siber ini terpaksa bertindak dalam moda defensif!

Dan moda defensif di alam siber ini sungguh tidak menguntungkan kerana banyak masa dan idea dihalakan untuk mempertahankan Barisan Nasional hanya kerana meluluskan judi sukan. Padahal kelulusan tersebut terletak di tangan pemerintah hari ini.

Tidakkah itu suicidal namanya?

Isu judi sukan ini juga sama seperti perpatah Melayu iaitu kerana nila setitik rosak susu sebelanga !

Penulis menyeru kepada pihak tertinggi UMNO dan kerajaan hari ini supaya jangan menyusahkan lagi transformasi membaikpulih imej parti dengan menambah lagi isu-isu yang mampu mengganggu gugat imej itu sendiri.

Penyokong-penyokong BN di alam siber ini sedang meyakinkan rakyat tentang kemampuan UMNO dan Barisan Nasional kerana kita tahu dan sangat faham bahawa hanya UMNO/BN yang mampu mentadbir dengan baik dan tenteram. Dan kita sedang giat menjalankannya di dalam blog, facebook dan sebagainya. Tetapi janganlah tambah garam di dalam luka yang sedang sembuh !

Penulis juga musykil jika kepimpinan tertinggi benar-benar sedar atau telah diberikan input yang sahih dan benar oleh pihak-pihak yang ditugaskan untuk mendapatkan respons daripada rakyat. Apakah mereka tahu perkara yang sebenarnya di bawah ini, di antara kita ini?

Jika cukai yang dicari melalui judi tersebut, adalah lebih baik jika kerajaan memikirkan sumber-sumber lain yang lebih praktikal dan diterima dari segi moralnya!

Makanya,penulis merayu kepada kepimpinan kerajaan BN supaya menimbang kembali keputusan mereka dan membatalkan permit judi tersebut.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik