Saturday, June 12, 2010

Impian Penduduk Kampung Baru

Bukan sahaja penduduk-penduduk Kampung Baru, malah seluruh orang Melayu yang perihatin dengan untung nasib bangsanya di tanah airnya sendiri merasa amat lega diatas pengumuman dan jaminan kerajaan bahawa kawasan kampung itu kekal 100 peratus milik bumiputera.

Jaminan diberi diatas desakan pertubuhan-pertubuhan Melayu bukan kerajaan yang mahu kerajaan mengkaji semula cadangan awal memperuntukkan pembangunan hartanah Kampung Baru dengan nisbah 60:40 antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Berbagai idea, strategi dan cadangan telah lama muncul satu persatu dan sejak tahun 2004 pembangunan Kampung Baru telah diurus oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Sejak itu ada saja cadangan baru dikemukakan untuk memajukan dan membangunkan kampung tersebut. Yang pasti, cadangan-cadangan yang tidak merugikan orang Melayu akan disambut baik.

Cadangan melibatkan bukan melayu mengambil bahagian bersama dengan nisbah 60:40 adalah umpama melakukan satu perbuatan menjolok sarang tebuan. Orang Melayu bukannya bodoh dan orang Melayu sekarang semakin bijak apabila melibatkan soal hak milik mereka disentuh oleh sesiapa sahaja.

Banyak pengajaran yang telah mereka perolihi apabila disebut pembangunan kampung atau penempatan orang Melayu. Cuba lihat apa yang telah berlaku kepada penduduk Melayu di Kampung Kerinchi. Dahulu mereka hidup dengan rumah yaang berhalaman luas untuk anak-anak bermain, kini mereka tinggal di rumah pangsa yang kecil seperti sarang burung merpati. Kawasan kampung mereka satu ketika dahulu, kini telah berubah menjadi pusat komersial, membeli-belah dan hotel mewah yang kesemua dipunyai oleh kaum-kaum lain. Apa yang ada pada mereka, Melayu juga yang melepas dan berputih mata.

Itulah contoh terdekat yang amat jelas yang membuatkan orang Melayu Kampung Baru menolak cadangan nisbah 60:40 itu. Walaupun setiap cadangan yang diumumkan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk sendiri untuk turut serta di dalam proses pembangunan namun biarlah apa yang dikemukakan tidak menghakis pemilikan dan maruah orang Melayu. Hanya mereka yang memiliki tanah bernilai tinggi di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, sedangkan Melayu yang lain sekadar mampu tinggal di pinggir-pinggir bandar sebagai penduduk setinggan.

Apa yang diharapkan kini, penduduk Kampung Baru hendaklah bersuara dalam satu nada. Mereka perlu bersatu dan sepakat kerana perpecahan akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk menerobos masuk mengambil hak penduduk tanpa disedari. Tanpa kesepakat, Kampung Baru tidak akan maju dan membangun. Ramai pemikir Melayu yang profesional dan bijak pandai yang boleh membantu mengubah wajah Kampung Baru. Apa sekali pun yang berlaku, Kampung Baru mesti dibangunkan dengan nilai-nilai komersial yang tinggi oleh orang Melayu tanpa campur tangan pehak-pehak lain.

Satu formula yang telus, ikhlas dan menguntungkan penduduk perlu dicari dan dilaksanakan demi masa depan orang Melayu. Pastikan pembangunan yang mahu dilaksanakan tidak menggugat nilai-nilai agama suci Islam seperti membina pusat hiburan, pusat judi dan pusat arak.

Apa yang dapat dilihat kini adalah merancang pembangunan Kampung Baru dengan ciri-ciri ekonomi, sosial, politik dan pendidikan menjadi tugas setiap penduduk dan dibantu oleh kerajaan untuk merealisasikan impian orang Melayu keseluruhannya.

BY: Wajabangsa/12.6.2010
Disunting dari Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik