Saturday, June 26, 2010

Melayu Menajdi Minoriti

Kebelakangan ini muncul kelompok Melayu liberal dan universalis yangmana pandangan mereka mengecewakan majoriti Melayu yang sentiasa menyanjung prinsip tradisional. Kelompok ini wujud dalam dunia akademik dan arena sosio-ekonomi. Pembebasan minda mereka boleh memudaratkan agama, bangsa, dan tanah air kerana kelompok ini tidak lagi memahami dan menghormati Melayu dan sejarah perjuangannya.

Kelompok Melayu ini, cuba memansuhkan elemen-elemen afirmatif mengenai Melayu dan bumiputera dalam dasar ekonomi negara dan ada pula segelintir Melayu yang gagal melihat keunggulan siasah Melayu yang mungkin binasa jika mereka berpecah-belah secara konsisten dalam siasah.

Disini wajar diimbas semula sejarah kependudukan Malaysia di zaman silam untuk membuktikan bahawa keunggulan Melayu di Malaysia adalah hakikat yang perlu dipertahan, dipelihara, diiktiraf, dan dihormati.

Malaysia adalah gabungan Persekutuan Tanah Melayu, dengan Sabah dan Sarawak. (dan Singapura, dari 1963 hingga 1965). Sebelum era penjajahan mulai 1511, Tanah Melayu adalah bumi Melayu dan negara Melayu. Singapura adalah negeri Melayu yang digadaikan kepada Inggeris. Sabah dan Sarawak juga adalah negeri milik rumpun Melayu. Penjajahan dan transmigrasi silam menyebabkan pola kependudukan wilayah Melayu ini berubah dan menjelmakan Tanah Melayu sebagai sebuah negara majmuk.

Kemajmukan ini adalah akibat statistik bukan Melayu di Tanah Melayu yang bertambah sebagai impak daripada kebanjiran rakyat China dan India ke bumi Melayu di era penjajah. Mereka datang berdagang dan untuk menimba rezeki. Faktor utama keturunan Cina menggerakkan politik mengenai kewarganegaraan mereka di Tanah Melayu dalam era pasca Perang Dunia Kedua. Mereka menggunakan Republik Rakyat China sebagai sekutu Inggeris dalam perang tersebut, untuk mempengaruhi kerajaan Inggeris memberikan status kewarganegaraan yang sama dengan umat Melayu dan lain-lain pribumi di Tanah Melayu menerusi Gagasan Malayan Union. Namun gagasan Malayan Union ditentang habis-habisan oleh umat Melayu. Walaupun demkian akhirnya keturunan Cina dan India menjadi warganegara menerusi prinsip jus soli pada 1957.

Berdasarkan kajian, Persekutuan Tanah Melayu sebelum penjajahan, bolehlah dikategorikan sebagai nation-state di mana bangsa yang tunggal menentukan destinasi negaranya. Tetapi, selepas merdeka, ia menjadi state-nation, iaitu entiti di mana negara berperanan besar untuk menyatu padu, membentuk, serta membina bangsanya yang majmuk.

Sewajarnya kelompok Melayu liberal dan universalis, termasuk profesor-profesor di universiti-universiti negara ini mengenali Melayu dan membaca buku-buku mengenai sejarah kemajmukan rakyat Malaysia.

Dalam 1963 hingga 1965, statistik kependudukan Malaysia menjadi paksi perjuangan konsep Malaysian Malaysia oleh seorang pemimpin politik Singapura. Pada ketika itu, 32% penduduk Malaysia adalah Melayu, 42% Cina,10% India dan bakinya 7% adalah bumiputra lain-lain. Statistik ini membuktikan, ketika itu bukan Melayu adalah seramai 52 peratus, Melayu 32 peratus, dan bumiputera tujuh peratus. Peratusan inilah yang menjadi faktor tersirat di sebalik perjuangan Malaysian Malaysia yang kononnya untuk keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Oleh sebab itulah, konsep Malaysia Malaysia mahu merubah Perlembagaan Persekutuan, khususnya memansuhkan keistimewaan Melayu serta menjadikan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil mempunyai status seperti bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Demikianlah secara ringkas sejarah sewaktu umat Melayu menjadi minoriti. Hakikat ini berubah setelah Singapura terkeluar dari Malaysia.

Hari ini, memang Melayu merupakan majoriti penduduk Malaysia tetapi Melayu juga boleh menjadi kelompok minoriti dan kehilangan kuasa politik menerusi dua punca utama.

Pertamanya akibat penguncupan jumlah umat Melayu secara fizikal disebabkan oleh kemerosotan kadar kelahiran dan pertambahan kadar kematian dan keduanya akibat fregmentasi politik menerusi penubuhan pelbagai parti siasah yang berkonflik. Oleh itu, Tun Mahathir telah memberikan pandangan yang tepat apabila beliau mengatakan Umat Melayu akan menjadi minoriti di Malaysia jika mereka terus berpecah kepada pelbagai kelompok siasah yang berkonfrontasi.

Tun Mahathir bukan membicarakan soal minoritinya umat Melayu berasaskan statistik, sebagaimana keturunan bukan Melayu memperjuangkan status mereka menerusi realiti statistik dalam era pra-merdeka. Sebaliknya beliau meramalkan yang umat Melayu akan menjadi kuasa minoriti menerusi fregmentasi siasah.

Ini kerana Tun Mahathir melihat fregmentasi politik Melayu sebagai perpecahan yang menepati pepatah Melayu: berkerat rotan, berpatah arang. Perpecahan Melayu menerusi kelompok siasah atas dasar permusuhan dan persengketaan. Dengan psikologi sedemikian, umat Melayu berkonflik sepanjang masa hingga sanggup bertindak dan bersuara yang menyebabkan bangsa sendiri diperkotak-katikkan oleh pihak lain.

Inilah yang dikatakan politik nafsu-nafsi. Seluruh kelompok politik Melayu hanya mengutamakan kepentingan sendiri. Hakikat agama, bangsa dan lain-lain aspek sosio-ekonomi sanggup mereka dedahkan tanpa batas hingga akhirnya, Melayu menang sorak tanpa menyedari kuasa politik sendiri tergadai ke pihak lain akhirnya.

Hakikat ini berbeza dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Dari segi perangkaannnya, mereka memang lebih kecil tetapi, perpecahan keturunan mereka dalam politik tidak menyebabkan mereka mempunyai kuasa tawar-menawar yang lemah. Buktinya, di samping MCA selaku parti tertua keturunan Cina di Malaysia, wujud SUPP di Sarawak, dan SCCP di Sabah yang kesemuanya mewakili keturunan Cina dan menjadi komponen Barisan Nasional.

Begitu juga Gerakan pun sama statusnya sebagai anggota BN. Gerakan mendakwa sebagai sebuah parti multi-keturunan tetapi pada hakikatnya ia adalah parti yang didominasikan oleh keturunan Cina. Oleh itu. Hanya DAP sahaja yang merupakan kelompok keturunan Cina yang menjadi pembangkang. Namun begitu, DAP tetap mempunyai ruang dialog dengan lain-lain komponen parti Cina dalam BN menerusi wadah sosio-budaya dan ekonomi, seperti menerusi Dewan Perniagaan Cina atau NGO pendidikan Cina dan sebagainya.

Ini bermakdsud bahawa kaum Cina mempelbagaikan kelompok politiknya untuk memperoleh kuasa tawar-menawar yang lebih mantap, efektif, dan luas berbanding jika mereka hanya bertumpu kepada MCA. DAP yang bertindak sebagai pembangkang pula menjadi jurucakap keturunan Cina apabila parti komponen Cina dalam BN merasa segan silu untuk membicarakan isu berkenaan Cina demi untuk menjaga hati UMNO. Dalam konteks ini, Cina menggunakan strategi perniagaan untuk memaksimumkan pengaruh, peluang, dan faedah politiknya, di samping mengimbangi realiti mereka yang minoriti dari segi statistik.

Adakah parti siasah pembangkang Melayu seperti Pas pernah duduk semeja dengan UMNO untuk mengartikulasikan isu-isu Melayu dan Islam untuk disuarakan dalam Parlimen, jika UMNO sendiri berasa berat hati untuk bertindak demikian? Adakah PKR yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu pernah memberikan ruang kemelayuan dalam gerak dan tindakan politiknya? Adakah sesuatu yang perkauman dan jijik untuk memperjuangkan isu Melayu dalam konteks Malaysia majmuk? Mengapakah bukan Melayu mempertikaikan isu Melayu tidak dicap rasialis?

Moga-moga pandangan ini dapat diperhalusi oleh para akademik tempatan juga kelompok Melayu liberal dan universalis.

Disunting Dari Artikal Di Utusan Malaysia/26.6.2010.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik