Monday, June 21, 2010

Sudah Lupakah Kamu

Datok nenek kita dahulu telah mencipta pelbagai peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan dan sebagainya supaya kita semua sentiasa beringat dan lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Boleh dikatakan semua ungkapan yang dicipta sudah pun berlaku ketika ini. Begitu juga dengan pelbagai kiasan dan kisah untuk renungan seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Tidak lupa juga tentang Si Kitol dan Raja Mendaliar, semuanya ini juga bertujuan memberi pengajaran kepada orang Melayu tetapi malangnya semua peringatan itu sekadar catitan didalam buku-buku untuk tatapan pelajar-pelajar sahaja.

Orang Melayu sudah lupa tentang bersatu teguh bercerai roboh. Ketika ini Melayu berpecah kepada pelbagai puak yang akhirnya Melayu menjadi minoriti. Melayu lupa pesan orang tua-tua, sebatang lidi mudah dipatahkan, seikat lidi sukar dipatahkan. Ada Melayu yang mengaku mahu bersikap liberal dan mahukan hak sama rata dan sama rasa di kalangan pelbagai kaum. Ada pula Melayu yang mempersoalkan DEB , mendabik dada dengan kejayaan yang sudah dinikmati, padahal mereka yang berjaya itu kebanyakannya disebabkan oleh dasar dan bantuan DEB kerajaan, tanpa bantuan tersebut mereka tidak mungkin menikmati apa yang dimiliki sekarang. Malangnya mereka bagaikan kacang lupakan kulit.

Dalam politik hari ini, orang Melayu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka mendapat sokongan yang diharap-harapkan walaupun sokongan musuh. Bak kata orang marahkan pijat, kelambu dibakar. Jika dulu bermusuh, kini bersahabat. Begitu jugalah yang berlaku sebaliknya. Jika dulu tidak boleh rapat sekarang sudah boleh berpeluk di atas pentas politik. Baguslah begitu... mengeratkan silaturahim. Tetapi akhirnya mereka gagal untuk mengenali musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. Mereka lebih selesa mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Maka ramailah juga di kalangan orang Melayu yang menjadi seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Apa yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Lebih malang, Yang dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas. Habis madu sepah dibuang. Ketika ini juga untuk berjaya, Melayu sanggup memijak kepala kawan dan tikam belakang. Sudah tidak ada lagi perasaan cubit peha kanan, peha kiri sakit juga. Kita Mengaharpkan orang Melayu tidaklah menjadi seperti kadok naik junjung, menang sorak kampong tergadai..

Samada disedari atau tidak, Melayu ketika ini diasak dari pelbagai sudut disebabkan perpecahan dan kelemahan sendiri atas kepentingan politik masing-masing. Manakala orang lain bersatu untuk kepentingan kumpulan mereka, ada pula Melayu yang sanggup membuka pekung di dada dan meludah ke langit.

Ketika orang lain dalam politik bersikap diam-diam ubi berisi tetapi orang Melayu pula seronok bertelagah sesama sendiri. Ada pula yang bersikap bertelur sebiji riuh sekampung. Melayu tanpa kuasa ekonomi nampaknya masih selesa sekalipun akan hilang kuasa politik.

Apakah orang Melayu masih berpegang kepada ungkapkan oleh Hang Tuah, Melayu takkan hilang didunia? Memang Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi Melayu mampu hilang dunia. Maka ketika itu, nyanyilah puas-puas lagu Warisan yang antara liriknya menyebut bumi dipijak milik orang.

Disunting dari Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik