Tuesday, June 8, 2010

Usul PM Kutuk Israel Di Parlimen

PM memulakan dengan menyeru semua ahli-ahli dewan sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.

Peristiwa pembunuhan kejam 9 sukarelawan oleh komando Israel tanggal 31 Mei 2010 baru-baru ini pastinya telah menyimbah minyak ke atas api. Kemarahan masyarakat dunia yang kini marak menyala dan membakar perabung-perabung dada. Demi menyuarakan ketegasan negara tentang peristiwa berdarah yang telah terjadi, saya menyeru ahli-ahli sekalian, bersama sama sepakat menyampaikan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Rejim Zionis ini.

Dicadangkan dewan mengambil ketetapan-ketetapan berikut:

BAHAWA, Tentera Rejim Zionis telah menyerang tanpa alasan dalam perairan antarabangsa, konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010. Kejadian itu mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan tersebut;

BAHAWA, serangan itu merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

BAHAWA, sentimen yang sama telah pun disampaikan melalui Kenyataan Bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN – Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan kutukan keras terhadap tindakan Rejim Zionis Israel ini;

BAHAWA, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian, tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza tersebut; dan

BAHAWA, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas Rejim Zionis itu.

Dengan ini dewan mengambil ketetapan seperti berikut:

(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;

(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;

(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;

(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;

(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);

(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);

(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;

(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;

(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;

(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;

(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza.

(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;

(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat;

(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Malaysia, mengecam tindakan kejam tentera Rejim Zionis Israel yang telah bertindak menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei 2010 yang lepas. Malaysia dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab rejim zionis yang bukan sahaja melanggar norma-norma perundangan antarabangsa tetapi juga tata kelakuan bertamadun.

Serangan tersebut nyata telah mencabul prinsip kebebasan perairan antarabangsa kerana faktanya tindakan ala kelanunan terhadap Freedom Flotilla ini dilakukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza iaitu di luar dari perairan wilayah Israel. Perbuatan durjana ini telah mengakibatkan kehilangan 9 nyawa dan puluhan kecederaan kepada mereka yang sedang menjalankan misi mulia membawa bantuan kemanusiaan kepada ribuan rakyat Gaza. Anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.

Serangan tidak berperikemanusiaan ini telah memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera Rejim Zionis yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Mereka tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan semasa menawan kapal Mavi Marmara. Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan.

PM menyatakan beliau berpeluang mendengar sendiri daripada mulut 12 orang rakyat Malaysia yang terlibat akan detik-detik cemas dilalui mereka semasa serangan sedang berlangsung. Dimaklumkan bahawa mereka telah turut didera secara mental semasa dalam tahanan. Dalam hal ini, kerajaan berasa bangga walaupun Malaysia sederhana dari segi saiz namun terbukti kita tidak sekali-kali berjiwa kerdil bahkan memiliki semangat kental. Kerajaan telah mengambil segala tindakan yang wajar dan perlu bagi memungkinkan kebebasan para sukarelawan negara.

Lantaran itu, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin menegaskan bahawa kumpulan 12 ini adalah wira-wira Malaysia. Sesungguhnya keberanian kumpulan 12 ini yang sanggup menghadapi bahaya muncung senjata demi matlamat dan prinsip yang tulus murni akan suatu hari nanti tersepuh dengan tinta emas dalam susur galur sejarah negara.

Semua orang tahu, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Sungguhpun begitu Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar pada 31 Mei yang lalu bagi membincangkan serangan tentera Rejim Zionis terseb

Sejak enam dekad yang lalu Rejim Zionis telah terus-terusan menzalimi rakyat Palestin. Walaupun pelbagai Resolusi telah diluluskan semuanya tidak dihiraukan oleh Israel. Perbuatan beraja di mata dan beraja di hati ini berlaku kerana mereka dilindungi kuasa besar dunia. Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim tersebut mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertanggungjawab dan bertamadun.

Piawai moral dan etika sebuah negara bangsa tidak boleh berbeza dengan piawai yang dikenakan kepada individu. Kepentingan nasional sesebuah negara bangsa tidak boleh mengatasi piawai asas kemanusiaan hanya kerana mereka mempunyai kekuasaan. Pegangan bahawa siapa kuat dialah kudrat sudah tidak boleh dipakai lagi. Tidak ada bezanya keganasan kumpulan dan individu berbanding keganasan yang dilakukan negara bangsa. Ia tetap keganasan yang perlu dipertanggungjawabkan serta diadili.

Jika kebenaran berpunca dari muncung senjata bukannya dari kebenaran undang-undang dan prinsip moral universal maka keamanan dunia akan sentiasa berada di hujung tanduk. Sejarah sudah cukup mengajar kita bahawa peperangan dunia pertama dan kedua yang mengorbankan nyawa bukan sedikit jumlahnya dan mengakibatkan kemusnahan yang bukan enteng adalah berpunca daripada kekuatan muncung senapang?

Selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis Israel bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya.

Dalam pada Malaysia kecewa di atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras sewajarnya terhadap Rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sedang menderita. Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan kendiri ekonomi dapat dibangunkan.

PM menyatakan beliau sendiri baru-baru ini, telah menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Tuan Yang Terutama Presiden Negara Palestin, Mahmoud Abbas semasa lawatan beliau ke Malaysia.

Malaysia akan terus mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela tindakan ganas Israel dan supaya pemimpin-pemimpin Rejim Zionis yang bertanggungjawab dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Malaysia juga akan menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah dirampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis. Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa.

Malaysia juga berasa amat sedih dan sangat kesal dengan situasi kemanusiaan meruncing yang sedang berlaku di Gaza akibat kepungan Rejim Zionis. Sekatan dan kepungan kejam Rejim Zionis ini telah mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan, bahan mentah serta minyak bagi keperluan kehidupan harian masyarakat Palestin di Gaza.

Perkembangan terbaru, kita mendapat berita tentang usaha-usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berkaitan isu ini. Malaysia menyokong sebarang cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden yang telah berlaku. Malaysia tiada masalah malahan menyokong jika Sir Geoffrey Palmer, mantan Perdana Menteri New Zealand yang diamanahkan untuk mengetuai siasatan antarabangsa ini.

Alhamdulillah, rakyat Malaysia yang ditahan oleh Rejim Zionis, telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air. Kejayaan ini, tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan pertolongan negara-negara sahabat. Dalam hal ini, Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan juga negara-negara lain yang bersedia menghulurkan bantuan.

Kita juga berbangga dengan semangat waja 6 lagi wira Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana di celah-celah ketidaktentuan suasana, telah memilih untuk mara ke hadapan sekalipun mengetahui risiko yang bakal ditempuhi. Syukurlah, tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Dunia terus menyaksikan pelbagai gelagat dan tindakan zalim yang telah dilakukan oleh Rejim Zionis Israel. Perlu saya gariskan, kezaliman seumpama ini akan berterusan dan mungkin tiada noktahnya sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri. Tindakan ini akan hanya membuatkan Rejim Zionis Israel terus bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan.

Tanggungjawab untuk menghentikan penindasan yang berlarutan di Palestin selama ini, adalah tanggungjawab kita bersama. Namun kita menyedari bahawa tidak semua orang Yahudi menyokong dan bersekongkol dengan Rejim Zionis Israel. Ramai orang Yahudi juga yang cintakan keamanan dan mahukan keadilan diberi kepada bangsa Palestin.

Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang melangkaui kepercayaan agama, melibatkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan.

BY: Wajabngsa/Bernama.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik