Saturday, July 17, 2010

Adakah DAP Parti Berbagai kaum.

By: Suara Politik Taminsari

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi. Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.

Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa. Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

Wajabangsa/17.7.2010

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik