Wednesday, July 21, 2010

Perlu Pelan Damai Atas Nama Islam

Satu pelan damai atas nama Islam perlu diujudkan supaya persengketaan yang berpanjangan antara dua parti terbesar Melayu, UMNO dan Pas berjaya ditamatkan. Hasrat tersebut wajar disegerakan kerana kedua-dua pehak tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan masalah yang telah dihadapi oleh mereka berdekat lamanya.

Umat Islam ketika ini terlalu bosan dengan pertelagahan tersebut terutama gelagat pemimpin tertentu yang memburu kepentingan politik dengan mengeksploitasi sentimen kebencian antara UMNO dan Pas. Untuk menjayakan pelan damai yang dicadangkan ini, semua pihak mesti berlapang dada. Korbankan perasaan dan kemahuan masing-masing, bertolak ansur mencari noktah damai atau gencatan senjata.

Laksana kaum Aus dan Khazraj yang bersengketa ratusan tahun akhirnya dengan tali Allah (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad (SAW) hati mereka diikat dan ditambat kukuh untuk menjadi satu di bawah kanopi Islam. Akibat persengketaan yang panjang itu banyak agenda pembangunan masyarakat dan negara tergendala. Banyak agenda membangunkan ilmu pendidikan, pentarbiyahan diri dan masyarakat, tamadun dan peradaban negara serta pertumbuhan ekonomi dan zon sosial yang harmoni tergendala akibat pergeseran dan pertelagahan yang begitu lama tempohnya.

Selain tidak memberi kebaikan, persengketaan itu turut memberi kelebihan kepada musuh-musuh Islam untuk meneruskan usaha memporak-perandakan perpaduan ummah. Masing-masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur. Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh-musuh Islam tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepinya ini. Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita umat Melayu Islam.

UMNO yang ahlinya 100% Melayu dan beragama Islam dan demikian juga ahli Pas yang sudah pasti berbangsa Melayu dan beragama Islam. Malah seorang ahli UMNO pasti sahaja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli Pas. Begitu juga sebaliknya yang mana ahli Pas juga mempunyai ahli keluarganya dari kalangan UMNO. Persoalannya sampai bila Melayu UMNO dan Pas ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga.

Pengalaman penyatuan Melayu Islam pernah tercatat dalam sejarah politik tanah air apabila Pas menyertai Perikatan. Namun 1,001 masalah lampau telah menjadi sejarah apabila akhirnya penyatuan itu gagal dan Pas ditolak keluar dari Perikatan pada masa itu.

Demi sebuah penyatuan Melayu zaman ini yang dikatakan telah dicanang sendiri oleh para pemimpin UMNO, sewajarnya pemimpin-pemimpin Pas mengambil peluang dan bersedia membina sejarah baru khasnya generasi muda hari ini. Maka inilah masanya pemimpin-pemimpin kedua parti saling menghulurkan tangan dan sedia bersama-sama memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu Islam, agar dapat dibina sebuah negara yang aman, makmur, sejahtera, adil, telus, saksama tanpa sebarang pertelagahan atau persengketaan yang merugikan umat Islam dan bangsa Melayu itu sendir.

Sumber: Utusan Melayu/21.7.2010

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik