Sunday, July 18, 2010

Perpaduan Melayu

Akhir-akhir ini, kedengaran kembali seruan supaya umat Melayu bersatu. Kenyataan ini mula kedengaran kembali apabila kesediaan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan umat Melayu di negara ini. Seruan perpaduan ini merupakan satu seruan penting yang mesti disambut serius oleh semua orang. Ini kerana perpaduan umat Melayu bermakna perpaduan umat Islam di Malaysia.

Jika hari ini orang bertanya, adakah kita yakin umat Melayu akan bersatu? Jawapannya pasti ya, kerana itu, impian untuk melihat dan berusaha dalam menyatukan umat Melayu, ini tidak pernah terpadam dalam hati majoriti umat Melayu.

Siasah atau mudah kita sebut politik adalah sebahagian daripada Islam. Parti pula wujud hasil dari pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam siasah atau politik. Contohnya Pas dan UMNO hari ini dilihat dua parti besar yang mewakili umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya menyatakan memperjuang Islam dan Melayu dengan hujah dan dalil tersendiri. Maka kerana itulah kita semua yakin selagi parti itu mewakili gaya pendekatan dan pemikiran yang tidak bertentangan prinsip syariat, maka tiada siapa yang berhak mendakwa ia memiliki kebenaran mutlak. Mereka mungkin benar dan mungkin salah.

Maka jika ini dapat difahami, perpaduan Melayu pasti dapat direalisasikan. Perpaduan bukan bermakna membubarkan parti dengan memasuki parti yang satu lagi. Seperti yang sebutkan tadi parti hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Sedangkan kepelbagaian ini merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Parti hanya wujud ketika mana berlakunya pilihan raya. Ketika wujudnya kerajaan yang dipilih, maka parti itu menjadi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira parti apa sekalipun. Seperti kata orang hari ini, biar pun banyak persatuan namun satu kesatuan.

DImanakah perpaduan ini perlu bertemu? Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 103 : 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;' Seperti cabang yang asalnya akar, maka begitulah juga parti yang asalnya Islam. Islam perlu dijadikan matlamat bukannya alat dalam hal ini. Islam perlu dijadikan kata pemutus bukan mangsa rakus. Parti perlu berkorban untuk Islam bukan Islam yang dikorbankan untuk parti. Inilah yang dilihat roh dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam surah di atas. Islam adalah kata putus dari Allah yang jauh dari kelemahan dan kepentingan peribadi atau kumpulan. Inilah yang dibuktikan oleh baginda SAW bila menyatukan Aus dan Khazraj mahupun bangsa Quraisy.

Bangsa Melayu sepatutnya berpadu dan bersatu atas akar Islam. Maksudnya, jika Pas dan UMNO telah menyatakan komitmen mereka dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, maka biarlah Islam yang menjadi kata putus. Inilah maksud dari 'berpegang dengan tali Allah' di atas. Tidak mengapalah jika hasrat penyatuan kedua-dua parti ini hanya tinggal harapan. Namun untuk melihat bangsa Melayu bersatu atas kepentingan Islam sangat penting dan tidak mungkin boleh diketepikan.

Syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.

Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63 "Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Sumber: Utusan Melayu/18.7.2010

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik