Saturday, August 28, 2010

Siapa Yang Lebih Perkauman

Tiga pemimpin pakatan pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain mendakwa kononnya wujud muslihat politik pimpinan UMNO - Barisan Nasional menggunakan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat.

Mereka ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dalam kenyataan tersebut turut mendakwa, strategi itu digunakan memandangkan UMNO-BN kini dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa.

Demikian dakwaan pakatan pembangkang yang sentiasa sahaja melihat kononnya mereka tidak perkauman dan sentiasa menitik beratkan soal perpaduan semua kaum.

Menurut satu sumber yang rapat dengan kepimpinan PKR dan Pas, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pembangkang bagi menutup pelbagai isu yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor terutamanya melibatkan orang Melayu.

Selain isu merobohkan gerai orang Melayu, bazar Ramadan dan beberapa tindakan lain yang menimbulkan persepsi bahawa orang Melayu ditindas di bawah kepimpinan Guan Eng, kenyataan itu juga bagi menutup isu khutbah Jumaat yang dilihat banyak memberikan kesan buruk politik bukan sahaja kepada PKR dan DAP tetapi juga Pas.

Ia kerana pemimpin Melayu di dalam PKR dan Pas termasuklah Anwar dilihat tidak mampu menghalang tindakan politik DAP yang ada antaranya menyebabkan sokongan Melayu kepada kedua-dua parti itu merosot. Oleh itu, bagi menutup kelemahan berkenaan, maka seperti biasa, UMNO dijadikan 'kambing hitam', kata sumber tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebenarnya, kenyataan bersama itu jelas dikeluarkan semata-mata untuk tujuan politik selepas melihat kredibiliti pembangkang terutamanya di kalangan orang Melayu semakin merudum.

Tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh DAP dikatakan boleh menjejaskan imej pakatan pembangkang di kalangan kaum berkenaan, biarpun hakikatnya PKR dan Pas kini sanggup melakukan apa sahaja bagi meraih undi kaum bukan Melayu.

Bagaimanapun, PKR dan Pas semakin menyedari bahawa tindakan mereka yang terlalu menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh DAP semakin memakan diri. Malahan di kalangan orang Melayu, mereka menganggap pemimpin Melayu di dalam PKR dan Pas hanya pak turut.

Sudah ada kebimbangan yang ketara di peringkat akar umbi Pas bahawa parti itu akan menjadi ibarat 'yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran'.

Ini kerana pengikut-pengikut tersebut amat memahami sentimen masyarakat Melayu sekarang yang melihat ahli politik bukan Melayu semakin 'naik tocang' dan sudah tidak lagi mempedulikan sensitiviti orang Melayu.

Sudah pastilah dalam soal ini yang paling teruk terkena tempiasnya adalah Pas yang dilihat semakin mementingkan keuntungan politik bersama PKR dan DAP sehingga sanggup menghalalkan apa sahaja yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu.

Jika suatu ketika dahulu, Pas pernah mempertahankan tindakan pemimpin DAP menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam kempen politik, terbaru kepimpinan Pas mempertahankan tindakan mendoakan Guan Eng dalam khutbah Jumaat. Sebelum ini, dalam isu penggunaan Kalimah Allah, Pas juga tidak konsisten.

Malahan apa yang mendukacitakan, pengikut Pas juga membenarkan kesucian sebuah surau di Kajang dicemari apabila pada Ahad lalu Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching dijemput berucap di dalamnya.

Bagi Pas sekarang, apa sahaja isu yang berkait dengan orang Melayu dan Islam yang tercetus akibat perbuatan rakan sekutunya, PKR dan DAP, maka alim ulamanya akan tampil mempertahankannya biarpun para ulama lain menyatakan sebaliknya.

Pas sudah tidak peduli lagi soal lain, apa yang lebih mustahak adalah menjaga hubungan dengan kedua-dua parti itu dengan sebaik-baiknya kerana Pas begitu mendambakan impian menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi Anwar dan Guan Eng pula, mereka tidaklah perlu bersandiwara serta cuba memakai topeng kononnya mereka tidak pernah bersifat perkauman, begitu juga Pas melalui Datuk Seri Ir.Mohamad Nizar Jamaludin.

Sebagai contoh, masihkah kita ingat ketika pilihan raya umum lalu siapakah di Pulau Pinang yang berkempen di kalangan orang Cina dengan menyatakan kalau undi BN sama seperti mengundi UMNO?

Tidakkah kerana isu perkauman yang dimainkan oleh pembangkang yang memungkinkan mereka memperoleh sokongan besar dalam pilihan tersebut?

Begitu juga Anwar, yang selain sentiasa bercakap dan membuat janji berbeza apabila bertemu dengan orang Melayu, Cina dan India, bukankah di luar negara, Anwar menganggap langkah melarang bukan Islam menggunakan Kalimah Allah sebagai tidak wajar, biarpun ia diputuskan oleh mahkamah. Tidakkah itu perkauman?

Banyak lagi isu yang boleh dijadikan bukti bahawa sebenarnya yang bersifat perkauman bukanlah UMNO tetapi parti-parti pembangkang itu sendiri.

Kenapakah apabila UMNO bercakap dan mempertahankan soal yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam, ia dianggap perkauman? Apakah hanya soal melibatkan Melayu sahaja dilihat rasis tetapi kalau pemimpin bukan Melayu dalam PKR atau DAP membangkitkan isu mengenai kaum mereka, ia tidak dianggap rasis?

Bagaimana dengan kenyataan salah seorang pemimpin kanan PKR dalam satu majlis baru-baru ini bahawa kerajaan menindas kaum India, tidakkah itu boleh dianggap perkauman?

Begitu juga apabila Nasharuddin menegur Presiden MCA, Datuk Seri Dr.Chua Soi Lek dalam soal pembahagian ekonomi bumiputera, tidakkah Timbalan Presiden Pas itu boleh dianggap rasis?

Ternyata sekali kenyataan yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga parti berkenaan hanyalah bermotif politik semata-mata dalam menutup segala kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Anwar sememangnya licik dalam permainan politik terutama dalam mengalih isu. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu amat memahami bahawa populariti pembangkang sekarang semakin menjunam.

Apatah lagi di negeri-negeri yang diperintah oleh 'tiga sekutu' itu, satu demi satu masalah timbul sehingga ia membuktikan fakta sebenarnya bahawa pembangkang hanya pandai mengkritik sahaja tetapi kelam-kabut apabila mentadbir.

Kini, pembangkang cuba mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan mereka dengan cuba membuat pelbagai dakwaan kepada BN dan UMNO.

Sebenarnya apabila mereka mengatakan bahawa UMNO dan BN memainkan isu perkauman, hakikatnya merekalah yang berbuat demikian kerana itu sahaja senjata yang selama ini boleh digunakan pembangkang bagi memungkinkan mereka memperoleh kuasa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik