Tuesday, September 7, 2010

Keenapa Pertikai Artikel 153 Setelah 53 Tahun Merdeka

Oleh: NADZIR AWANG AHMAD

RAKYAT Malaysia tidak kira bangsa, agama mahupun keturunan seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.

Tanggal 31 Ogos yang lalu, genaplah 53 tahun negara kita bebas dari belenggu penjajahan. Selama 53 tahun jugalah Malaysia (dulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu) telah ditadbir urus oleh warganya sendiri yang diterajui oleh parti UMNO yang telah membentuk kerajaan dan terbukti berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani. Tidak dinafikan juga Malaysia adalah negara paling maju dan membangun jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan sama dengan negara kita.

Pun begitu, suara-suara sumbang makin lantang kedengaran selepas 53 tahun kita merdeka. Ada yang makin lantang dan berani mempertikaikan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang telah mengiktiraf hak istimewa orang Melayu.

Umum mengetahui Artikel 153 ini adalah di bawah tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu bagi menjaga kedudukan dan hak istimewa orang Melayu. Hanya perkenan Raja-raja Melayu sahaja yang boleh meminda Artikel ini dan Parlimen tidak mempunyai kuasa penuh untuk sebarang pindaan.

Bukan Melayu seharusnya tidak mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu ini kerana ia tidak menghalang mana-mana kaum untuk mencari kekayaan di negara ini asalkan rajin berusaha. Ini jelas terbukti dengan senarai jutawan yang ada di Malaysia. Boleh dikira dengan jari, berapa keratkah orang Melayu yang tersenarai di kalangan 20 teratas senarai jutawan di Malaysia.

Ternyata orang Melayu masih memerlukan Artikel 153. Ia bukanlah satu bentuk diskriminasi kaum, malah ia lebih bersifat diskriminasi positif atau disebut sebagai langkah ke hadapan (affirmative action). Hak dan keistimewaan Bumiputera yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu perlu dikekalkan kerana realitinya majoriti golongan itu masih miskin.

Bantuan dan sokongan kepada yang berhak bermaksud orang Melayu dan Bumiputera jugalah yang paling layak kerana majoriti yang miskin adalah golongan ini dan golongan bukan Bumiputera yang miskin tidak seramai orang Melayu dan Bumiputera.

Prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan tertentu dan mereka yang kononnya pakar dalam ekonomi tetapi terus-terusan mempertikai polisi Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah mereka yang buta sejarah.

Lihat saja Peristiwa 13 Mei 1969 dulu. Hal ini terjadi disebabkan oleh antaranya pengagihan kek ekonomi yang dianggap tidak adil khasnya kepada orang Melayu. Oleh itu DEB diperkenalkan. Terbukti walaupun DEB diperkenalkan, yang kaya-raya masih lagi bukan orang Melayu. Inilah hakikatnya.

Orang Melayu tidak kira dari UMNO mahupun parti pembangkang sewajarnya mempertahankan Artikel 153 ini. Janganlah hanya untuk kepentingan politik dan inginkan kuasa memerintah, pemimpin Melayu sendiri yang menjadi 'jurucakap' kepada bangsa lain mempertikaikan hak dan keistimewaan bangsa sendiri.

Orang Melayu yang waras harus menolak mereka ini yang boleh dianggap sebagai 'Si Kitol' yang akan merosakkan dan menjahanamkan bangsanya sendiri semata-mata kepentingan diri yang sempit.

Pemimpin-pemimpin Melayu khasnya dari Pas dan PKR harus berfikiran terbuka dalam isu ini dan melihat secara menyeluruh signifikannya kepada orang Melayu. Saya harap kedua-dua parti ini bukan sekadar menjadi kuda tunggangan dan pelengkap kepada pihak-pihak lain dalam pakatan pembangkang sehingga sanggup menggadai maruah bangsa sendiri.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik