Monday, September 27, 2010

Tapis awal pelawat China — Rohani Ibrahim

Hampir setiap hari terdapat laporan mengenai wanita warga China yang ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dalam gejala negatif seperti menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pekerja seks.

Dikenali sebagai China Doll, golongan ini bukan hanya bergiat di Lembah Klang tetapi di bandar raya lain di seluruh negara dan di restoran-restoran di pinggir bandar.

Kelmarin, polis berjaya membongkar kegiatan pelacuran di sebuah rumah pangsa di Taman Bukit Delima Seremban dan menahan tujuh pelacur warga China berusia antara 21 dan 26 tahun. Polis mendapati wanita warga China berkenaan menyalahgunakan pas pelajar untuk melacur.

Sejak hampir dua tahun lalu, jumlah warga China yang masuk ke negara ini kononnya untuk belajar dan kemudiannya dikesan terlibat dalam kegiatan pelacuran semakin menjadi-jadi. Salah satu faktor yang dikatakan sebagai punca kemasukan beramai-ramai mereka ke negara ini ialah “permintaan” yang tinggi.

Ada juga wanita warga China yang ditahan kerana masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja sebagai tukang urut di pusat refleksologi dan fisioterapi. Jumlah China Doll yang begitu tinggi di dalam negara menyebabkan pihak berkuasa kini mengadakan serbuan mencegah aktiviti maksiat dengan lebih kerap.

Duta China ke Malaysia yang baru, Chai Xi dalam sidang akhbar pertama bersama media tempatan Khamis lalu berkata, beliau menyedari bahawa ramai wanita warga China yang dikesan terlibat dalam gejala negatif di negara ini.

Beliau diberitahu wanita warga China berkenaan boleh menyalahgunakan pas lawatan pelajar mereka di negara ini kerana pemeriksaan ke atas segala dokumen sebelum mengeluarkan visa kepada warga China untuk melawat Malaysia adalah longgar.

“Sebelum saya memulakan tugas di Malaysia saya pernah berbincang mengenai masalah penyalahgunaan pas pelajar dan pas lawatan sosial oleh wanita warga China di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa pemeriksaan yang dijalankan bagi setiap permohonan visa ke Malaysia kepada warga China adalah tidak ketat,” jelasnya apabila diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Beliau berpendapat itu berkemungkinan salah satu sebab membolehkan wanita warga China menyalahgunakan pas pelajar atau pas lawatan mereka untuk menjalankan kegiatan negatif.

Chai Xi bukanlah diplomat China pertama yang mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan. Duta China ke Malaysia sebelum ini, Liu Jian turut menyedari masalah tersebut.

Namun beliau berkata, agak sukar untuk mengawal aktiviti dan tindak-tanduk yang dilakukan oleh warganya di negara ini.

“Apa yang saya dapat lakukan ialah mengingatkan warga China supaya menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia sepanjang berada di negara ini,” katanya sebelum menamatkan khidmatnya selama 21 bulan di Kuala Lumpur Jun lalu.

Chai Xi, 57, sebelum ini merupakan Duta China di Malta dan Bangladesh. Beliau yang tiba di Kuala Lumpur Julai lalu dan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 9 Ogos berharap sebarang masalah berkaitan isu warga China dan Malaysia dapat diselesaikan secara bijak melalui perbincangan.

Tambah beliau, pergerakan penduduk di antara Malaysia dan China adalah sangat tinggi kebelakangan ini dengan tahun lalu sejuta rakyat Malaysia melawat China dan jumlah yang sama penduduk China melawat Malaysia.

“Pada masa ini hanya pemegang pasport diplomatik China dan Malaysia tidak memerlukan visa.

Bagaimanapun, saya tidak fikir langkah untuk menghapuskan visa bagi memudahkan penduduk China dan Malaysia bergerak di antara kedua-dua negara akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambah Chai Xi, China melihat Malaysia sebagai sebuah negara sahabat yang penting memandangkan Malaysia sebuah negara Islam yang terkenal di persada dunia dan mampu berperanan sebagai jambatan di antara China dan dunia Islam.

“Sejak tahun lalu, hubungan diplomatik China dan Malaysia yang berusia 36 tahun memasuki fasa baru melalui pertukaran lawatan antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara. Saya ingin melihat hubungan dua hala Malaysia dan China diperkukuhkan lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

China merupakan negara pertama di luar Asean yang dilawati oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

Presiden China, Hu Jintao turut melawat Malaysia pada November tahun yang sama ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Singapura.

Jelas Chai Xi, China sentiasa mencari peluang untuk meluaskan kerjasama dengan Malaysia melalui pelbagai langkah untuk menggalakkan rakyatnya melabur di negara ini.

“Kerajaan China memberikan insentif tertentu bagi syarikat China yang berhasrat meluaskan perniagaan di Malaysia. Ini berdasarkan keyakinan China terhadap suasana politik, ekonomi dan kewangan Malaysia.

China juga yakin matlamat Perdana Menteri Najib untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi akan tercapai.

“Malah program Malaysia My Second Home juga berjaya menarik 4,200 warga China sebagai peserta. Pada masa ini terdapat 9,000 pelajar China di Malaysia dan 3,500 pelajar Malaysia di China,” katanya.

Malaysia dan China perlu memastikan kerjasama dua hala yang terjalin hanya melahirkan kesan positif kepada masyarakat di kedua-dua negara terutamanya dari segi ekonomi dan sosial.

Gejala negatif seperti kebanjiran China Doll perlu dibendung dengan sebaik mungkin kerana ia tidak membawa sebarang manfaat sebaliknya memudaratkan masyarakat dan membebankan pihak berkuasa Malaysia. — Utusan Malaysia
"

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik