Saturday, October 9, 2010

RASUAH DAN PENTADBIRAN AWAM

Friday, June 11, 2010
Pentadbiran Awam dan Rasuah: Pengenalan

Ruhanie Ahmad

Rasuah mengancam demokrasi dan keselamatan negara. Jenayah ini juga menjejaskan proses pembangunan ekonomi dan menggugat kesejahteraan rakyat. Lazimnya rasuah dilakukan oleh segolongan anggota birokrasi yang tergamak untuk menggadaikan kuasa awam yang diamanahkan kepada mereka untuk memperolehi keuntungan peribadi. Ia juga dilakukan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kuasa atau naungan politik.

Oleh sebab itulah Perry (1997:30) menghuraikan kewujudan rasuah politik dan rasuah pentadbiran. Ini kerana pertalian antara pentadbian awam, politik, dan rasuah sistemik Rasuah adalah fenomena yang universal.

Oleh sebab itu juga Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:104) menghuraikan masalah rasuah ekonomi kerana jenayah ini ”mengurangkan aktiviti ekonomi dan keuntungan.”

Lantaran itulah juga Syed Hussein Alatas (1995:viii-xiv) menyifatkan rasuah sebagai “pengkhianatan kepercayaan yang membawa pengaruh buruk kepada pemerintah, pembangunan, kesejahteraan masyarakat, institusi swasta atau masyarakat umum.” Dan, Mahathir Mohamad (1980:181) pula menegaskan, “rasuah boleh membawa keruntuhan kerajaan.”

Huraian-huraian di atas adalah antara faktor utama yang menyebabkan Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap usaha pembanterasan rasuah.

Terbaru sekali, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, Khamis 10 Jun 2010, antara lainnya menghuraikan tindakan Kerajaan untuk membanteras rasuah.

Keprihatinan Perdana Menteri terhadap jenayah ini sangat dihargai dan sewajarnya mendapat sokongan serta kerjasama daripada rakyat jelata di semua lapisan masyarakat.

Antara fokus tindakan pembanterasan rasuah yang terkandung dalam Ringkasan Eksekutif RMK-10 (Unit Perancang Ekonomi 2010:30) adalah seperti berikut:

Memperkukuh pematuhan agensi barisan hadapan menerusi pemantauan secara berkala ke atas proses pengkuatkuasaan serta penyiasatan kes rasuah yang dilaporkan.

Mempertingkat ketelusan dalam Kerajaan termasuk meneruskan edaran Laporan Ketua Audit Negara kepada umum dan mengamalkan ketelusan melalui portal MyProcurement yang akan memaparkan maklumat perolehan Kerajaan kepada rakyat.

Mengenakan hukuman dengan cepat serta lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah termasuk mendedahkan kepada umum maklumat terperinci individu yang didapati bersalah mengamalkan rasuah.

Meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting mereka dalam menangani rasuah.

Menilai semula institusi utama yang memerangi rasuah bagi meningkatkan kebebasan dan pemerkasaan institusi tersebut.

Memupuk sistem nilai berteraskan integriti dan moral melalui pelan tindakan Tekad integriti yang akan diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada Tekad 2008.

Sehubungan dengan keseriusan Kerajaan membanteras rasuah, blog ini akan menyiarkan beberapa siri posting mengenai rasuah. Persoalan utama posting ini ialah, adakah benar bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah pentadbiran awam yang bebas dari rasuah?

Saya harap para pembaca blog ini akan bersama saya untuk merungkaikan persoalan ini. Saya juga amat berbesar hati jika anda sekalian sudi berkongsi maklumat sahih dengan saya mengenai rasuah di Malaysia.

Contohnya, saya mendapat maklumat yang masih belum dapat disahkan, kononnya kekurangan gula di Malaysia mutakhir ini adalah akibat amalan rasuah di kalangan beberapa agensi Kerajaan.

Tuduhan ini sedang hangat dikedaikopikan kerana kononnya bekalan gula yang sampai di pelabuhan Malaysia kemudiannya diseludupkan pula ke sebuah negara jiran. Adakah ini benar? Adakah ini fitnah? [Siri pertama mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Tuesday, June 15, 2010
Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Satu
Ruhanie Ahmad


Rasuah boleh meruntuhkan negara. Rasuah juga boleh menjejaskan pembangunan nasional. Oleh sebab itulah Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha untuk membanteras rasuah menerusi pelbagai pendekatan administratif, termasuklah peningkatan kecekapan warga perkhidmatan awam, penguatkuasaan undang-undang, pengamalan prosidur operasi, dan menerusi pelaksanaan mekanisme trasparensi..

Ini semua dilakukan kerana kepimpinan negara berpendapat bahawa rasuah adalah gejala yang wujud daripada ketidakcekapan warga perkhidmatan awam. Oleh sebab itu lahir andaian bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam boleh dijadikan indikator kepada tahap minimanya rasuah di sesebuah negara. Program dan dasar anti-rasuah juga diandaikan boleh dijadikan pendekatan tunggal untuk membanteras jenayah tersebut.

Tetapi, adakah ini benar? Adakah benar bahawa perkhidmatan awam yang cekap akan terbebas daripada amalan rasuah? Jika ini benar, pastinya perkhidmatan awam Malaysia hari ini sudah terbebas daripada rasuah. Ini kerana Kerajaan Malaysia sentiasa melaksanakan pelbagai program dan strategi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, wujud pula pelbagai agensi dan mekanisme untuk memantau dan menghapuskan rasuah.

Siri ini mempertikaikan andaian sedemikian rupa. Ia akan membuktikan andaian bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah adalah andaian yang meleset.

Perkhidmatan Awam

Sebelum itu, fahami maksud perkhidmatan awam. Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan perkhidmatan awam sebagai Angkatan Tentera, Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang, Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Pasukan Polis, Perkhidmatan Awam Bersama, Perkhidmatan Awam Negeri, dan Perkhidmatan Pelajaran.

Ahmad Atory Hussain (1983:1) mendifinisikan perkhidmatan awam secara umumnya sebagai “organisasi yang mengurus manusia dan benda-benda untuk mencapai tujuan-tujuan kerajaan.” Dimock et al. (1983:5) menyifatkan pentadbiran awam ”sebagai satu operasi pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak rakyat.”

Milakovich dan Gordon (1995:6) pula menegaskan, ”pentadbiran awam adalah segala proses, organisasi, dan individu yang terlibat dalam perlaksanaan undang-undang dan peraturan yang diputuskan atau dikeluarkan oleh badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, di samping terlibat dalam proses penggubalan undang-undang dan peraturan yang berkenaan.”

Definisi Rasuah

Selanjutnya, kenali pula apa itu rasuah. Jenayah rasuah di Malaysia tidak diberikan perspektif perundangan yang serius seperti jenayah pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Sebaliknya, rasuah di Malaysia hanya tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; Ordinan 22 Darurat 1970 berkaitan rasuah; Akta Kastam 1967 (Disemak 1980) berkaitan rasuah (167); Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta kesalahan pilihanraya berkaitan rasuah(2009); dan Akta pengubahan wang haram 2001 berkaitan rasuah.

Namun begitu, siri ini hanya akan menghuraikan rasuah takrifan SPRM dan definisi umum oleh kalangan tempatan dan antarabangsa.

SPRM mentakrifkan rasuah sebagai ”wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu.”

Demikianlah definisi rasuah oleh SPRM---berjela-jela dan sukar untuk difahami oleh rakyat biasa. Tetapi, begitulah takrifan rasuah secara undang-undangnya.

Dalam bahasa yang mudah, Mahathir Mohamad (1980:180-181) menegaskan, “umumnya rasuah ditafsirkan sebagai pemberian saguhati kepada seseorang yang berkuasa supaya menyalahgunakan kuasa dan memilih kasih dalam tindakannya.” Pada waktu yang sama, “penyalahgunaan wang kerajaan sudah tentu patut dianggap rasuah sama seperti penyalahgunaan kuasa.”

Syed Hussein Alatas (1995:vii) mendefinisikan rasuah sebagai ”dengan sengaja melakukan kesalahan atau melalaikan tugas yang diketahui sebagai kewajipan, atau tanpa hak menggunakan kekuasaan, dengan tujuan memperolehi keuntungan yang sedikit sebanyak bersifat peribadi.” Beiau juga menghuraikan tujuh kategori rasuah---transaktif, extortif, investif, neopostik, defensif, autogenik, dan suportif.

Bernveniste (1997:113) menyatakan, ”rasuah adalah perilaku yang melanggar undang-undang, regulasi dan peraturan yang lazimnya dilakukan secara rahsia. Rasuah juga adalah penyalahgunaan kuasa dan mandat awam untuk memperolehi keuntungan kewangan dan material.”

Klitgaard (2001:31) mendefinisikan rasuah sebagai ”tingkah laku yang menyimpang dari tugas-tugas rasmi sebuah jabatan negara kerana keuntungan status atau wang yang menyangkut peribadi (perseorangan, keluarga dekat, kelompok sendiri); atau melanggar atura-aturan pelaksanaan beberapa tingkah laku peribadi.”

Fethi Ben Jomma Ahmed (2005:26-27) pula menghuraikan bahawa rasuah atau disebut dalam Quran dan Sunnah sebagai fasad, adalah melibatkan sifat-sifat murni termasuk kemuliaan, reformasi, istiqamah, dan amanah.

Kepada saya, rasuah adalah pendapatan, ganjaran, atau faedah kewangan dan bukan kewangan yang diperolehi oleh seseorang individu yang berkuasa menerusi amalan haram, amalan mengkhianati mandat rakyat, dan mengkhianati mandat negara. Amalan seperti ini mesti dikategorikan sebagai amalan yang melanggar nilai-nilai teras keselamatan nasional.

Impak Rasuah

Definisi pentadbiran awam seperti di atas membuktikan betapa pentingnya perkhidmatan tersebut kepada Kerajaan Malaysia kerana keseluruhannya membabitkan hal ehwal ketenteraan, pertahanan dan keselamatan; urusan pembangunan insan; serta tanggungjawab pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Oleh sebab itu INTAN (1991:831) menegaskan bahawa “perkhidmatan awam adalah tunggak yang dapat menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.”

Definisi rasuah di atas pula mengilustrasikan impak pengkhianatan kepada negara menerusi rasuah. Lantaran itu jika segolongan warga perkhidmatan awam adalah pengamal rasuah, dan sesetengah pemimpin kerajaan juga adalah penerima rasuah, impaknya pasti mengancam keselamatan negara, menggerhanakan masa depan generasi muda di bidang pendidikan dalam dunia yang kompetatif, dan memudaratkan kelangsungan ekonomi dan rakyat dalam era globalisasi dan liberalisasi yang mencabar.

Impak total daripada amalan rasuah adalah, rakyat yang tidak berpendidikan akan terpinggir, pembangunan negara menjadi lembab, pasaran kerja profesional dikuasai oleh tenaga mahir asing, nikmat kemajuan ekonomi dimonopoli oleh pihak yang kaya raya, rakyat yang miskin pula dinafikan keselesaan hidup di tanah airnya sendiri. Fenomena ini boleh menyebabkan kerajaan kehilangan wibawa dan dan rakyat kehilangan keyakinan. Lantas proses demokrasi pun boleh jadi kucar-kacir akibat kemelut dan asymmetrik kuasa.

Inilah antara sebabnya penganalisis seperti Johnston (2005) memprovokasikan pemikiran warga jagat supaya memberikan perspektif baru kepada soal pembanterasan rasuah. Oleh sebab itu juga Jonhston (2005:42-46) membahagikan rasuah kepada empat kategori khusus supaya rasuah sistemik dapat dirincikan secara mendalam.

Pertama, rasuah mempengaruhi pasaran (influeance markets corruption) yang membabitkan pemimpin politik untuk memperolehi sumbangan secara sah atau sebaliknya.

Dua, rasuah kartel elit (elite cartel corruption) yang melibatkan sesetengah pihak dengan pelbagai sumber kuasa seperti tentera, birokrasi, perniagaan, dan parti politik.

Tiga, rasuah oligarki dan kelompok (oligarchy and clan corruption) yang menjurus kepada pertarungan antara segolongan pihak yang berkuasa dengan pihak yang berpengaruh untuk menggadaikan kuasa bagi memperolehi kekayaan peribadi.

Empat, rasuah tokoh rasmi (official mogul corruption) yang memfokus kepada sesetengah pihak yang mempunyai pertalian politik untuk menghalalkan jenayah rasuah.

Sementara itu, Williams (2007:197) yang menganalisis amalan rasuah sistemik pula menegaskan, mutakhir ini kelompok teroris antarabangsa serta penjanayah juga menjadikan rasuah sistemik sebagai instrumen penting bagi memudahkan pelaksanaan teorisme atau jenayah rentas sempadan.

Caiden et.al. (2001:245-246) pula menghuraikan peri mustahaknya diadakan pemikiran semula terhadap kod etika rasmi pentadbiran awam di seluruh dunia supaya rasuah sistemik dapat dibanteras secara berkesan dan menyeluruh.

Seterusnya, Johnson (1995:184) memperkenalkan konsep rasuah struktural sebagai rasuah yang disasarkan khusus kepada pemimpin tinggi sesebuah negara untuk memudahkan urusan perniagaan sesuatu syarikat multinsasional.

Perry (1997) pula menghuraikan secara terperinci soal rasuah politik dan impaknya kepada negara. Contohnya, Perry (1997:27) menyatakan bahawa gejala rasuah politik adalah sama seriusnya dengan ketagihan arak atau penyalahgunaan dadah.

Demikianlah takrifan perkhidmatan awam dan definisi rasuah oleh pelbagai agensi awam dan sarjana. Takrif dan definisi seperti ini menyebabkan majoriti rakyat agak kurang memahami impak rasuah kepada diri mereka, kepada masyarakat, dan kepada negara. [Siri kedua mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]

Friday, June 18, 2010
Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Dua
Ruhanie Ahmad

Adakah benar pentadbiran awam yang cekap menjadi indikator bahawa ianya bebas daripada amalan rasuah? Adakah meleset untuk mempertikaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap belum pasti terbebas daripada amalan rasuah? Persoalan pokok ini dikemukakan kerana pada hakikatnya, kecekapan warga pentadbiran awam tidak menjamin bahawa segolongan mereka pastinya berjiwa murni, beriman kukuh, dan bermatian-matian menjauhi serta membenci rasuah.

Contohnya, Malaysia sentiasa menitikberatkan aspek mutu, produktiviti, dan kecekapan pertadbiran awam. Hakikat ini diperincikan oleh Ahmad Sarji (1991) yang menghuraikan bahawa Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha memupuk serta menerapkan budaya kerja cemerlang dengan emfasis kepada nilai-nilai murni, disiplin, kualiti, produktiviti, akauntabiliti, dan amalan bersih dari rasuah. Mohd Sidek (2008:9) pula berkata, ”usaha menyediakan satu Perkhidmatan Awam Kelas Pertama adalah merupakan satu usaha berterusan Kerajaan Malaysia.”

Selanjutnya, pada 19 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad, melancarkan kempen Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Kepimpinan Melalui Teladan. Kedua-dua kempen ini didasari oleh pelaksanaan konsep Bersih Cekap, Amanah (BCA) yang antara matlamat terasnya adalah untuk melahirkan warga pentadbiran awam ”yang mempunyai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah.” Konsep BCA kemudiannya dirangkumkan ke dalam Wawasan 2020 yang diumumkan pada 28 Februari 1991.

Pada 23 April 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) yang sasaran utamanya adalah untuk ”mengurangkan gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.”

Menerusi pelan ini, kerajaan berazam untuk meningkatkan kedudukan (ranking) anti-rasuah di Malaysia yang ditentukan oleh Transparancy International (TI), daripada tangga ke-37 dari 133 negara di seluruh dunia, dengan skor 5.2 mata pada tahun 2003, kepada skor 6.5 mata pada 2008. Ironisnya, ranking anti-rasuah di Malaysia yang statis pada tangga ke-43 dengan skor 5.1 pada tahun 2006 dan tahun 2007, meredum kepada tangga 47 juga dengan skor 5.1 mata, pada tahun 2008.

Pada awal 2009, Parlimen Malaysia pula meluluskan kewujudan instrumen perundangan serta institusi anti-rasuah yang baru menerusi kewujudan SPRM dengan harapan kedua-duanya akan memperhebatkan pembanteras rasuah di kalangan sektor awam dan swasta.

Selain itu, pada 28 April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengisytiharkan pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Pada 27 Julai 2009, Najib pula mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area (NKRA) yang antara sasaran utamanya adalah membasmi rasuah. Ini kerana menurut Najib (27 Julai 2009), ”kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah.”

Kecekapan Pentadbiran Awam

Seluruh program di atas memang membuktikan komitmen Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan mutu serta kecekapan pentadbiran awam. Ia juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membanteras rasuah di kalangan warga sektor awam. Tetapi, adakah inisiatif tersebut menjamin bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas daripada rasuah?

Tidakkah analogi ini mengelirukan? Tidakkah ia memberi gambaran seolah-olah kecekapan dalam pentadbiran awam adalah sinonim dengan sikap anti-rasuah; boleh dijadikan determinan utama kepada amalan menjauhi rasuah; dan boleh mengikis mentaliti kotor pemberi serta penerima rasuah?

Persoalan in penting diperdalami. Ini kerana Harvey (2007) yang mendefinisikan kecekapan perkhidmatan awam sebagai kadar bandingan (ratio) antara input dan output, menegaskan bahawa kadar ini rumit untuk dipastikan secara tepat, kualitatif dan kuantitatif.

Mukherjee (2000) pula menyatakan, usaha mengukur prestasi dan kecekapan sektor awam adalah sukar. Pertama, sebab sektor ini tidak mempunyai satu indikator prestasi yang khusus seperti sektor swasta yang boleh diukur prestasinya menerusi kadar perolehan keuntngan atau berasaskan penguasaan pasarannya. Kedua, sebab sektor awam bertanggungjawab untuk mengendalikan barangan yang rendah tahap ukuran keuntungannya.

Biarpun begitu, kini memang wujud sistem penilaian prestasi bagi warga perkhidmatan awam. Tetapi, menurut Klingner & Nalbandian (2003:262-263), penilaian ini hanya menitikberatkan matlamat teknikal dan pengurusan organisasi awam. Ia juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada warga pentadbiran awam disamping memastikan soal-soal kenaikan gaji dan pangkat.

Ini bermakna sistem penilaian prestasi ini tidak boleh dijadikan pengukur kepada kecekapan perkhidmatan awam, apatah lagi untuk mengetahui secara sistematik sama ada kecekapan organisasi awam itu akan mengurangkan kadar rasuah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, kajian oleh Antonio, Schuknecht & Tanzi (2003:6) mendapati bahawa memang mutakhir ini soal pengukuran kecekapan sektor awam mulai ditikberatkan di negara-negara maju.

Tetapi, usaha ini masih terhad. Keputusan kajian berkenaan mendapati ”negara yang mempunyai tahap kecekapan yang tinggi di dunia adalah Jepun, Luxembourg, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland.”

Oleh sebab itu, jika mauduk perbincangan siri ini mengandaikan bahawa pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, benarkah rasuah di negara-negara ini rendah tahapnya ataupun sifar kadarnya?

Indeks Persepsi Rasuah

Oleh sebab itu wajar dipastikan apakah tahap rasuah di negara-negara tersebut. Kepastian ini akan diperolehi menerusi perbandingan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang diterbitkan oleh TI pada tahun 2006, 2007, dan 2008.

Menurut IPR pada tahun 2006, daripada 163 negara yang dikaji, Switzerland menduduki tangga ke-7 dengan skor 9.1 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata, Jepun di tangga ke-17 dengan 7.6 mata, dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.3 mata.

Daripada 179 negara yang dianalisis pada tahun 2007, Switzerland berada di tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tempat ke-11 dengan skor 8.6 mata; Luxembourg di tahap ke 12 dengan skor 8.4 mata; Jepun di peringkat ke-17 dengan skor 7.5 mata; dan AS di tangga ke-20 dengan skor 7.2 mata.

Daripada 180 negara yang dikaji pada tahun 2008, Switzerland menduduki tangga ke-5 dengan skor 9 mata; Australia di tangga ke-9 dengan skor 8.7 mata; Luxembourg di tangga ke 11 dengan skor 8.6 mata; sementara Jepun dan AS sama-sama menduduki tangga ke-17 dengan skor 7.5 mata.

Ironisnya, kedudukan IPR bagi ketiga-tiga tahun di atas didahului oleh Denmark, New Zealand, Sweden, Singapura dan Iceland yang kecekapan pentadbiran awamnya belum dikaji secara sanitifik. Oleb sebab itu, adalah tidak salah untuk mengatakan bahawa IPR di atas membuktikan bahawa analogi pentadbiran awam yang cekap adalah bebas dari rasuah, adalah analogi yang stereotaip dan meleset.

Ini kerana jika andaian ini benar, pastinya IPR di atas menujukkkan kadar anti-rasuah di Switzerland, Australia, Luxembourg, Jepun dan AS adalah lebih rendah daripada Denmark, New Zealand, Singapura dan Iceland.

Maka terbuktilah bahawa tahap rasuah dalam pentadbiran awam tidak boleh dipastikan tinggi-rendahnya berasaskan kecekapannya. Ini kerana tahap kecekapan perkhidmatan awam tidak memberikan korelasi positif kepada kadar rasuah dalam organisasi berkenaan.

Sebabnya, rasuah bukannya dilakukan oleh pentadbiran awam. Sebaliknya, rasuah diamalkan oleh sekelompok individu dalam perkhidmatan awam atau oleh sesetengah pemimpin dalam kerajaan. Namun begitu, impak jenayah rasuah tetap dibebankan kepada perkhidmatan awam dan kerajaan. Hakikat ini selaras dengan maksud pribahasa di mana seekor kerbau bergelumang lumpur, seluruh kandang akan pasti terpalit! [Siri ketiga mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Monday, June 21, 2010
Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Tiga
Ruhanie Ahmad

Saya amat bersimpati dengan insan-insan mulia dalam perkhidmatan awam Malaysia yang dipalitkan dengan persepsi rasuah akibat perbuatan segelintir penjawat awam di semua peringkat.

Ini kerana walaupun rasuah adalah jenayah peribadi seseorang individu, persepsi buruk jenayah ini distereotaipkan sebagai amalan keseluruhan warga perkhidmatan awam.

Oleh sebab itu, saya tetap berpendapat bahawa hanya perkhidmatan awam atau kerajaan yang tidak mempunyai kakitangan serta pemimpin yang rasuah sahaja yang boleh terbebas daripada persepsi rasuah.

Oleh itu, NGO perkhidmatan awam Malaysia wajar sensitif terhadap persepsi negatif ini. Mereka wajar melaksanakan pelbagai tindakan anti-rasuah di semua peringkat.

Seluruh institusi negara yang diwujudkan untuk memantau dan memerangi rasuah wajar diorientasikan semula bagi membanteras rasuah dalam sektor awam tepat kepada sasarannya. Janganlah institusi-insitusi ini akhirnya terkubur dengan tindihan pita birokrasi.

Kajian di Argentina

Bagaimanapun, persepsi seperti ini bukan sahaja wujud di Malaysia. Satu kajian di Argentina untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai rasuah dan definisinya, membuktikan hakikat ini.

Menurut kajian Boniolo & Elbert (2005), rakyat Argentina mendefinisikan rasuah sebagai karenah dan perilaku individu besar dan kecil dalam perkhidmatan awam. Sebagai kesimpulan kepada kajiannya, Boniolo & Elbert (2005:3) menegaskan:

”Rasuah telah memusnahkan demokrasi di Amerika Latin kerana kesannya terhadap prestasi institusi ekonomi di negara-negara terbabit dan kerana rasuah telah menyebabkan rakyat jelata di negara-negara terbabit hilang keyakinan kepada institusi kerajaan mereka.”
Anti-rasuah 2004-2008

Hakikat di Argentina ini hampir serupa dengan di Malaysia dalam tempoh 2004-2008. Akibat persepsi bahawa segelintir pemimpin negara, ahli keluarganya, serta sekelompok kakitangan awam Malaysia adalah bergelumang dengan rasuah, segolongan rakyat di negara ini telah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Biarpun demikian, pemimpin terbabit langsung tidak bertindak untuk menghapuskan persepsi ini secara tegas. Akibatnya, jika agenda membasmi rasuah menjadi tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, tema yang sama langsung tidak tersenarai dalam manifesto PRU 2008. Impak kepada hakikat ini sudah pun dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 2008.

Sebagai imbasan, manifesto Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2004 dengan tema Ke arah Malaysia Cemerlang, Gemilang, Terbilang, menyatakan dalam perenggan pertamanya bahawa “memerangi rasuah dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan” adalah matlamat utama kerajaan BN.

Agenda anti-rasuah dalam manifesto PRU 2004 ini didahulu dengan beberapa kenyataan Perdana Menteri Kelima mengenai usaha membanteras rasuah. Contohnya, Utusan Malaysia 7 November 2003, melaporkan PM Kelima mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Rakyat Kecewa

Utusan Malaysia 13 November 2003, memetik beliau mengeluarkan arahan “semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut.”

Sempena 100 hari kepimpinannya, salah sebuah saluran TV Malaysia bertanyakan soalan mengenai rasuah. PM Kelima menjawab: “rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif.”

Utusan Malaysia 12 Disember 2003, memetik PM Kelima “mempelawa pemimpin ASEAN menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia.

Pada 13 Januari 2004, PM Kelima membuat kenyataan ”kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.” Pada 18 Februari 2004, beliau menyatakan di Tehran, Iran, beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Bagaimanapun, selepas PRU 2004, PM Kelima dibelenggu tuduhan skandal ECM-Libra yang didakwa membabitkan anggota keluarganya. Mulai ketika itu beliau sentiasa berada dalam sindrom penafian. Oleh sebab itulah agenda membasmi rasuah tidak langsung disebut dalam manifesto BN dalam PRU 2008.

Impak Kepada PRU 12

Impak daripada kedolak-dalikan pemerintahan PM Kelima dalam melaksanakan agenda anti-rasuahnya telah kita semua ketahui. Di samping lain-lain isu, kekecewaa rakyat Malaysia terhadap agenda anti-rasuah dalam era 2004-2008 adalah antara penyumbang kepada kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti pemerintah.

Imbasan di atas adalah hakikat. Saya yakin masih ramai rakyat jelata insaf akan hakikat ini. Ianya perlu dijadikan cermin sejarah kepada kepimpinan mutakhir dalam agendanya membanteras rasuah.

Untuk mengakhiri siri ini sama-samalah kita fahami kenyataan ini: Fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84).

Mungkinkah rasuah sistemik seperti ini wujud di Malaysia, contohnya dalam jenayah pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, transmigrasi haram, dan lain-lainnya? [Siri keempat mengenai rasuah akan disiarkan Khamis depan.]

Thursday, June 24, 2010
Pentadbiran Awam dan Rasuah: Siri Empat
Ruhanie Ahmad

Tiga siri sebelum ini cuba membuktikan bahawa kecepakan pentadbiran awam tidak boleh dijadikan indikator total untuk mengukur tahap rasuah dalam perkhidmatan awam. Dalam konteks Malaysia, rasuah juga gagal dibanteras secara efektif antaranya kerana agensi pencegahannya dituduh sebagai tidak partisan dalam penyiasatannya terhadap kes-kes rasuah membabitkan ”ikan jerong” (Caiden, Dwivewdi & Jabbra 2001:141).

Tetapi, oleh kerana banyak pihak pastinya mempertikaikan pokok persoalan utama dalam siri-siri sebelum ini, iaitu pentadbiran awam yang cekap tidak boleh dijadikan indikator total kepada ketiadaan amalan rasuah dalam sektor awam, sama-samalah kita pastikan bagaimanakah hakikatnya dalam sektor swasta.

Di Malaysia jarang kedengaran kes rasuah di sektor korporat, melainkan yang melibatkan seorang peneraju syarikat yang telah dibicarakan di mahmakah. Namun perbicaraan itu diberhentikan dan kesnya ditutup kerana pihak tertuduh meninggal dunia.

Tetapi, adakah ini bermakna bahawa sektor swasta Malaysia adalah bebas dari rasuah? Mungkinkah kisah-kisah hangat mengenai Sime Darby mutakhir ini merupakan manifestasinya?

Kes Rasuah Siemens AG

Untuk memberikan jawapan kepada persoalan di atas, sama-samalah kita tinjau kes rasuah yang membabitkan sebuah syarikat multinasional yang pernah berlaku di Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam konteks ini, Siemens AG telah dihadapkan ke mahkamah secara serentak di Jerman dan di AS. Menurut Sidhu (2009:1343), kes tersebut selesai di bicarakan di Munich dan Washington D. C. pada 15 Disember 2008, dimana syarikat tersebut dikenakan denda dan bayaran perundangan sejumlah dua bilion Euro.

Ironisnya, syarikat ini mempunyai sistem urus tadbir yang cekap. Ia juga mempunyai 500 pegawai penguatkuasa urus tadbir di merata dunia. Tetapi, dana untuk rasuah, menurut Sidhu, adalah sebahagian daripada elemen kos yang diselindungkan di sebalik wang pengurusan syarikat berkenaan.

Ini bermakna rasuah adalah sebahagian daripada budaya korporat dalam sesetengah syarikat multinasional, walaupun ianya cekap dan sentiasa menitikberatkan sistem tadbir urus yang berkesan.

Oleh sebab itu, jika pentadbiran awam yang cekap tidak menjamin ianya terbebas daripada rasuah, adakah syarikat korporat yang cekap juga terbebas daripada jenayah ini?

Jika kes Siemens AG ini boleh dijadikan rujukan, tidakkah benar bahawa kecekapan dalam sektor korporat juga tidak memastikan sama ada ianya akan bebas daripada amalan rasuah?

Senario di Malaysia

Hasill tinjauan dengan sahabat-sahabat di sektor korporat, termasuk GLCs, dan menerusi pengalaman peribadi sebagai seorang bekas pengerusi jawatankuasa audit di sebuah organisasi korporat tertentu, saya dapati wujud sekurang-kurangnya tiga kategori rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor swasta.

Oleh itu, jika di penghujung siri tiga saya paparkan petikan ini---fenomena korupsi sistemik kini dipergunakan oleh penjenayah untuk menyogok jentera kerajaan, daripada kalangan pembikin dasar, sektor pentadbiran, penguatkuasa undang-undang, hinggalah kepada anggota judisiari, bagi memudahkan operasi jenayah rentas sempadan di sesebuah negara (Williams 2007:199; Holmes 2007:84; Nadelmann 1993)---tidak mungkinkah korupsi sistemik ini juga diamalkan oleh warga korporat di Malaysia? [Siri kelima mengenai rasuah akan disiarkan Isnin depan.]

Tuesday, June 29, 2010
Perkhidmatan Awam Dan Rasuah: Siri Lima
Ruhanie Ahmad
Siri sebelum ini membuktikan bahawa kecekapan sesuatu pentadbiran awam atau syarikat swasta hanya boleh mengurangkan tahap rasuah atau membasmi rasuah keseluruhannya jika semua individu dalam organisasi berkenaan membenci rasuah.

Lantaran itu, analisis ini berpendapat bahawa rasuah hanya boleh dihapuskan menerusi tiga kaedah utama. Pertama, menerusi sistem perundangan yang tegas, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, dan penalti undang-undang yang berat.

Bagaimanapun, pastikan pihak penguatkuasa undang-undang itu sendiri tidak terlibat dengan rasuah. Benveniste (1997:119) yang menitikberatkan masalah ini menegaskan ”rasuah hanya akan terhapus jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh dirasuah oleh sesiapa. Situasi seperti ini wujud jika badan berkuasa berkenaan mempunyai komitmen kepada ideologi perjuangan negara dan komitmen kepada profesionalisme kerjaya.”

Kedua, rasuah boleh dihapuskan menerusi pelaksanaan dasar, konsep serta program anti-rasuah yang berterusan, program yang menerima iltizam politik yang jujur, serta program yang digandingi oleh strategi penjernihan minda menerusi ajaran agama dan pemupukan norma-norma masyarakat yang positif. Ini penting kerana sasaran utama program, konsep dan dasar anti-rasuah adalah individu dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Dalam konteks ini, Caiden et. al. (2001:253) menegaskan, ”warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan sistem etika dan tanggungjawab moral yang murni. Mereka boleh mengamalkannya jika mereka menginsafi bahawa mereka berkhidmat untuk negara dan kesejahteraan rakyat. Amalan ini sangat diutamakan dalam negara yang demokratik kerana jika tidak, warga perkhidmatan awam akan dituduh mengamalkan birokrasi ala-Nazi yang mengorbankan kepentingan rakyat demi memenuhi matlamat birokrasi yang kejam.”

Dobel (1999:95) pula menyatakan ”jika penjawat awam tidak menjunjung nilai-nilai demokrasi, mereka akan dijebak dilema moral. Jika mereka hanya menentingkan keselesaan peribadi, mereka akan berleluasa tanpa mengambilkira hak-hak rakyat serta integriti perlembagaan negaranya.”

Ketiga, jenayah rasuah boleh dihapuskan menerusi kebangkitan serta kewujudan masyarakat sivil yang berani bersuara dan bertindak secara berwibawa dalam soal-soal anti-rasuah. Hakikat ini signifiken kerana di kebanyakan negara, jenayah rasuah berleluasa sebab rakyat jelatanya tidak peduli, takut atau berasa terancam jika mereka berbicara tentang rasuah.

Johnston (2007:197) menegaskan, “penyertaan masyarakat sivil diperlukan dalam pembanterasan rasuah kerana jenayah ini adalah sistemik. Oleh sebab itulah reformasi menghapuskan rasuah perlukan dukungan minat serta tenaga masyarakat.”

Kesemua pra-syarat di atas wujud di Malaysia. Negara ini mempunyai institusi serta undang-undang anti-rasuah yang berwibawa. Tetapi, kredibiliti penguatkuasaan yang lahir daripada institusi dan undang-undang itu masih diragui dan dipertikaikan oleh rakyat.

Malaysia mempunyai dasar, konsep serta program anti-rasuah yang dilaksanakan secara berterusan. Tetapi, sesetengah program berkenaan terlalu dibelenggu oleh kewujudan institusi birokrasi yang tidak fokus terhadap misi membanteras rasuah. Pada waktu yang sama, program-program keagamaan dan ketatanegaraan yang disasarkan khusus terhadap aspek anti-rasuah juga masih berkurangan.

Akhir sekali, Malaysia mempunyai pelbagai pertubuhan masyarakat sivil untuk menjana minat serta tumpuan umum kepada kegiatan membanteras dan membenci rasuah. Bagaimanapun, sebilangan pertubuhan ini jelas terikat kepada parti-parti politik tertentu. Oleh sebab itu, suara dan tindakan organisasi ini lebih disorot daripada perpektif politik. Itulah sebabnya suara dan tindakan mereka hanya menerima respons yang sinis daripada pemerintah.

Oleh sebab itu, Kerajaan Malaysia tidak perlu menjadikan pentadbiran awam yang cekap sebagai indikator untuk mengukur tahap rasuah di kalangan warga perkhidmatan awam ataupun pemimpin kerajaan. Sebaliknya, di samping kewujudan dan pematuhan kepada seluruh peraturan, arahan, prosidur dan undang-undang untuk meningkatkan mutu, kecekapan, dan sikap membenci rasuah, kerajaan perlu memberikan emfasis secara konsisten kepada usaha penjernihan minda dan pengukuhan iman dan moral menerusi pendekatan agama dan ketatanegaraan.

Seterusnya, kewujudan organisasi masyarakat sivil yang anti-rasuah dan bebas daripada naungan atau kongkongan politik perlu digalakkan. Moga-moga dengan cara ini rasuah dapat diminimumkan dan lama kelamaan berjaya dihapuskan.

Dengan itu, pentadbiran awam yang cekap adalah tidak bebas dari rasuah. Tetapi, pentadbiran awam yang cekap dan mempunyai warganya yang jijik dan benci kepada rasuah adalah ideal uuntuk membebaskan organisasi berkenaan, kerajaan dan negara daripada belenggu gejala rasuah. [Siri penutup mengenai rasuah akan disiarkan Jumaat depan.]

"

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik