Thursday, November 4, 2010

UMNO Penghalang Terbesar Pembangkang

Oleh: Kawan Lama

Dalam politik, semuanya boleh belaka. Tak kira apa cara sekalipun, apa yang penting adalah untuk mendapatkan kuasa. Buatlah apa sahaja walaupun MATLAMAT MENGHALALKAN CARA. Perkara ini adalah suatu kelaziman atau lebih tepat lagi amalan parti-parti politik di serata dunia. Serangan atau ‘tipu-muslihat politik’ biasanya akan mensasarkannya terhadap parti yang memerintah. Dalam konteks Malaysia, Barisan Nasional (BN). Kejayaan BN mengekalkan kuasa pemerintahan negara sejak merdeka sehingga kini amat dicemburui oleh parti lawan. Kali ini penulis mahu membawa pembaca kepada persoalan sasaran serangan pakatan pembangkang dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan BN. Sasaran mereka adalah UMNO.

Mengapa UMNO?

Izinkan penulis untuk mengimbas kembali rentetan SEJARAH negara ke arah mendapatkan kemerdekaan negara tercinta sehingga kini. UMNO yang terangkum di dalamnya persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) Melayu merupakan pencetus utama dalam merintis jalan bagi kemerdekaan Malaysia. Setelah berjaya menggagalkan agenda penjajah untuk menguasai secara total Tanah Melayu melalui Malayan Union, usaha UMNO tidak terhenti setakat itu. Ia mengorak langkah lebih bermakna iaitu mengembalikan hak dan maruah bangsa iaitu KUASA PEMERINTAHAN terhadap bumi tercinta.

UMNO menjadi tunjang manakala MCA dan MIC mejadi sokongan kuat dalam memastikan kemerdekaan menjadi realiti. Konsep pemerintahan bersama kini kita kenali sebagai KONGSI KUASA. Kerjasama yang terjalin ini juga adalah berlandaskan kepada kesedaran pemimpin parti bukan Melayu iaitu MCA dan MIC bahawa hak orang Melayu melalui UMNO sebagai nakhoda dan peneraju utama pemerintahan. Keikhlasan UMNO untuk berkongsi pemerintahan inilah yang menjadi faktor utama penerimaan pemimpin MCA dan MIC sehingga kini.

Kekuatan ‘bonding’ inilah yang menjadi penghalang utama dalam usaha pihak pembangkang mendapatkan kuasa pemerintahan negara sejak daripada PRU pertama lagi.

Era Awal Kemerdekaan (1957 – 1970)

UMNO khususnya dan MCA serta MIC telah melalui pelbagai ujian getir dalam menguji kekuatan ‘bonding’ ini. Antara yang tidak dapat dilupakan adalah peristiwa PRU pertama, serangan Bintang 3, Malayan Malaya dan tuntutan Lee Kuan Yew untuk keluar daripada Malaya dan dikuti dengan Peristiwa 13 Mei 1969.

Namun keutuhan dan pegangan jitu terhadap asas kemerdekaan dan konsep kongsi kuasa, maka ianya di atasi dengan penuh hemah dan hikmah. Kesepakatan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti utama BN ini telah akhir menghasilkan Pelan Pembangunan Rakyat iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 1 DEB (1971- 1980)

Usaha murni penstrukturan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan ini telah dijadikan ‘peluru’ untuk menyerang kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO khususnya datang daripada DAP yang memberikan tafsiran songsang dengan mengkaitkannya dengan dasar membela satu kaum dan mengambil hak kaum lain.

PAS pula pada peringkat awalnya telah bersama-sama dalam BN. Gabungan ini telah memperkukuhkan lagi keyakinan pemimpin MCA dan MIC dan kaum bukan Melayu terhadap BN.

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 2 DEB (1981 -1990)

Namun tidak lama selepas itu, PAS telah keluar daripada BN dan menjadikan agama sebagai jajaan politik mereka dengan melabelkan UMNO sebagai kafir. Isu kafir-mengkafir oleh PAS ini diperkukuhkan lagi dalam Amanat Haji Hadi yang akhirnya membawa kepada Peristiwa Memali yang diketuai oleh Allahyarham Ibrahim Libya.

Dalam era ini juga berlaku ujian terbesar BN iaitu iaitu pengharaman parti UMNO yang akhirnya membawa kepada UMNO terpecah dua – UMNO Baru dan Semangat 46. Atas prinsip menghormati ‘persetiaan murni pemimpin tiga kaum utama’ MCA diberikan kepercayaan untuk memegang tampok pemrintahan negara sehingga pendaftaran UMNO diluluskan.

Era Pengisian Kemerdekaan Fasa 3 WAWASAN 2020 (1991 -1999)

UMNO tetap utuh dan diperkukuhkan lagi dengan semangat setiakawan MCA dan MIC. Kekuatan kepimpinan dan pentadbiran yang di nakhodakan oleh Tun Dr Mahathir telah memberikan keyakinan rakyat terhadap BN.

Kali ini ia lebih tertumpu kepada isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Bermula dengan memperkenalkan Malaysia dengan budaya Demonstrasi Jalanan yang akhirnya membawa kepada penanaman semangat “Street Justice’ atau Mahkamah Jalanan yang membelakangkan institusi Perundangan dan Kehakiman negara

Mereka juga telah menyerang institusi-institusi kerajaan seperti PDRM dan SPRM (BPR). Tak cukup dengan itu, mereka juga mempertikaikan bidang Kehakiman negara. Lebih buruk lagi mereka telah berani mencabar Perlembagaan Negara dan mempersoalkan Hak dan Kuasa Raja-Raja.

Ini ditambah pula dengan mempergiatkan usaha memburuk-buruk pemerintahan negara kepada dunia luar yang mempunyai dagangan ekonomi dengan Malaysia khususnya kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, China, India dan dunia Islam .

Era Milinium Baru (2000 – kini)

Kelemahan kepimpinan dan pentadbiran dan ditambah dengan kemelut dalam parti-parti komponen BN telah memberikan peluang terbesar kepada parti-parti pembangkang berpakat untuk bersama setelah meneliti keputusan PRU 12. Ini merupakan ujian terbesar dalam BN yang akhirnya membawa kepada kegagalan BN mempertahan 2/3 majoriti di Parlimen di samping kehilangan 5 + 1 negeri.

Sejak akhir-akhir ini, pembangkang telah berusaha untuk meletakkan label perkauman dan tidak Islamik terhadap UMNO. Bagi mereka inilah yang perlu ditanam dan diperkukuhkan di dalam minda rakyat. Segala dasar dan perlaksanaan kerajaan diwar-warkan sebagai berat sebelah dan mementingkan satu kaum sahaja mahupun tidak berlandaskan agama Islam Kini mereka mendapat kerjasama daripada golongan yang menggelarkan diri mereka pejuang hak keadilan sosial dan hak sama rata baik dalam blog politik, blog persatuan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu

Kalau ditelusuri secara mendalam, penulis yakin bahawa UMNO diserang kerana ia merupakan PENGHALANG TERBESARdalam usaha parti-parti pembangkang untuk merampas KUASA PEMERINTAHAN negara. Ini ditambah pula dengan kesepakatan kerjasama yang terbit daripada keikhlasan niat dan saling kepercayaan yang tersimpul kemas antara parti-parti komponen BN baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Rasionalnya, dalam PRU 12 lalu pendekatan ASAL BUKAN UMNO (ABU) telah diketengahkan dan masih digunapakai sehingga kini.

Selain itu, penulis percaya bahawa kejayaan-kejayaan BN yang diterajui UMNO melalui dasar-dasarnya telah berjaya mengimbangi pembangunan negara dan pembangunan rakyat. UMNO/BN telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara model terbaik di persada dunia.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik