Tuesday, December 14, 2010

Pelihara ketuanan Melayu hingga keakhir zaman

Oleh: Suz Tahir, Batu Caves, Selangor.

KETUANAN Melayu, satu ungkapan gagah, bermaruah yang tidak ternilai maknanya. Bagi individu yang kasih akan negaranya ungkapan ketuanan Melayu ini tidak akan diusik atau dipersoalkan apatah lagi untuk digantikan dengan ungkapan lain. Ungkapan tersebut tidak langsung berkait dengan sistem feudalisme, tetapi ia lebih melambangkan sesuatu yang hak.
Tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan jika ketua pemuda parti bukan Melayu menyarankan cadangan ungkapan ketuanan Melayu itu diganti, tetapi saya berasa amat sedih dan bingung apabila ia keluar dari mulut seorang Melayu yang berpendidikan tinggi seperti yang dilaporkan dalam akhbar utama baru-baru ini.
Jika isu pelakon remaja menghina bahasa Melayu apabila mengatakan I sound stupid if I speak Malay dikritik hebat oleh menteri dan masyarakat, saranan untuk menggantikan ungkapan ketuanan Melayu ini lebih menyedihkan dan hina sekali.
Seolah-olah individu tersebut merasa malu untuk mengaku bangsa Melayu sebagai tuan di negara ini. Seolah-olah memperkecilkan institusi Kesultanan Melayu yang merupakan lambang pengasas negara Malaysia. Untuk pengetahuan semua, erti ketuanan Melayu ini adalah fakta dan hakikat yang tidak boleh dipertikaikan, tidak boleh ditawar menawar, malahan patut dipertahankan dengan jasad, akal dan jiwa.
Ungkapan ini bukan saja bernilai dari sudut sejarah sahaja malahan ungkapan ketuanan Melayu ini juga mesti dijadikan pegangan, panduan dan hala tuju bagi memastikan masyarakat Malaysia sekarang tidak kira Melayu, Cina, India, Serani, Punjabi, kacukan dan semua kaum yang mengaku mereka rakyat Malaysia, supaya tahu had dan batasan masing-masing untuk bertindak dan bersuara bagi menjamin keamanan negara.
Ungkapan ketuanan Melayu itu bukanlah bermakna orang Melayu ini kemarukkan gelaran ‘bos’ atau ‘tuan’. Ungkapan itu lebih melambangkan fakta, hakikat dan kebenaran tentang pembentukan sebuah negara yang bernama Malaysia yang dimulakan oleh orang Melayu. Oleh itu sesiapa yang datang untuk menjadi rakyat di negara ini mestilah faham dan menghormati hakikat ini. Oleh itu orang Melayu berhak mendapat keistimewaan, bukan hilang hak satu persatu.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-49, saya harap ungkapan ketuanan Melayu ini patut dipelihara hingga akhir zaman. Bukan saja sekadar ungkapan, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mengaku diri mereka rakyat negara ini patut faham akan hakikat itu dan mengkaji asal usul negara Malaysia. Diharap rakyat Malaysia terutama orang Melayu janganlah begitu mudah tunduk pada peredaran masa dan budaya.
Beberapa fakta dan prinsip penting perlu diteruskan supaya tanah air kita akan terus dikongsi keamanan dan kemakmurannya.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik