Wednesday, May 9, 2012

BERSIH 3.0 - MEREKA TELAH GAGAL





by: datuk zaini hassan

BERSIH yang KOTOR 3.0 telah gagal. Cubaan pembangkang menterbalikkan negara melalui pemimpin rusuhan jalanan, Anwar Ibrahim tidak berjalan sebagaimana yang dirancang. Baik kita lupakan mengenai kisah itu. Baik media juga tidak perlu lagi menyiarkan kisah itu. Kita total blackout Anwar sehingga dia sendiri sedar, dirinya tidak wujud lagi.

Kita tumpukan kepada proses demokrasi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka diadakan sedikit masa lagi. Kita cuba fokus kepada siapa-siapa yang akan dan bakal menjadi calon dalam PRU Ke-13 yang kini momentumnya sudah mula memihak kepada pihak pemerintah Pusat. Tak apa jika rakyat masih lagi tidak suka atau membenci UMNO, mereka masih terlalu menaruh harapan yang amat tinggi kepada pemerintahan Kerajaan Pusat. Najib Tun Razak telah meletakkan pemerintahannya ditahap yang baik. Dasar dan polisinya sudah boleh diterima rakyat pelbagai kaum.

Apa yang harus ditumpukan sekarang ialah mengenai calon. Calon pilihan raya kini amat penting dalam menentukan BN akan memperoleh kekuatan 2/3 dalam Parlimen kelak. Soal menang, di atas kertas BN boleh menang. Tapi kemenangannya haruslah cemerlang.Kecemerlangannya terletak kepada majoriti 2/3. KPI Najib juga terletak kepada 2/3. Dan ketaatsetiaan ahli-ahli BN juga terletak kepada sejauh mana mereka boleh mencapai angka 2/3 itu. Semuanya mengenai 2/3.

Sepanjang minggu lalu, saya berada di kawasan utara Semenanjung. Bertemu dengan orang politik dan pegawai tinggi kerajaan, pokok cerita yang masih berlangsung ialah mengenai soal calon. Calon lama dan calon baru. Calon ahli parti, calon bukan ahli parti. Calon lama yang macam mana. Calon baru juga yang macam mana? Calon payung terjun dan sebagainya?

Namun, sebagaimana yang dijangka, mereka mahu melihat calon-calon BN untuk kali ini terdiri daripada muka-muka baru, fresh, segar, popular, alim, warak, cerah, bersih. Jika PKR dan DAP pada pilihan raya 2008 meletakkan strategi sebegitu, sehinggakan calon dalam tahanan ISA pun boleh menang, calon yang tidak dikenali langsung pun boleh menang - BN kini akan meletakkan calon-calon yang lebih baik lagi, tapi segar bugar.

Kita berharap dan orang ramai juga berharap calon-calon BN kali ini bukan lagi terdiri daripada penyandang-penyandang yang telah memegang jawatan itu berpenggal-penggal lama. Atau kuda tua, kata seorang kawan.

Sudahlah. Biarlah orang lama membantu yang baru pula. Jika mereka percayakan kepada soal ketaatsetiaan kepada parti dan negara, mereka harus secara sukarela memberi laluan kepada muka-muka baru ini. Muka- muka baru tidak semestinya orang lain, mungkin ia di kalangan timbalan mereka dan lain- lain yang dirasakan sesuai dan boleh diterima oleh semua pihak yang akan mengundi.

Ia mungkin di kalangan anggota pegawai tinggi kerajaan? DO atau ADO, atau SS (setiausaha kerajaan negeri), Timbalan SS, KSU, Pengarah yang dirasakan sesuai untuk menerajui rakyat jelata. Atau juga para wartawan? Kita tahu orang ini merupakan orang yang paling hampir dengan rakyat dan bekerja untuk rakyat selama ini. Mengapa tidak mengambil kira mereka menjadi calon-calon baru dalam PRU ke-13 ini? Saya ada mengenali beberapa orang pegawai tinggi kerajaan dalam perkhidmatan awam Kedah (KCS) misalnya, yang begitu komited kepada rakyat dan juga kepada parti pemerintah Pusat. Mereka ini sanggup berjuang untuk UMNO, walaupun kini terpaksa berkhidmat di bawah kerajaan pimpinan pembangkang.

Mereka masih sayangkan pemerintahan UMNO. Walaupun puak-puak pembangkang membuat pelbagai tohmahan dulu ke atas kerajaan BN, tapi sebusuk-busuk kerajaan BN dulu, teruk lagi semasa di bawah pemerintahan sekarang.
Lihatlah apa yang terjadi kepada Selangor. Khalid Samad, akhirnya (saya ulang) akhirnya terpaksa menegur Exco Kerajaan Tempatan (portfolio yang cukup power, yang dulu dipegang oleh UMNO), Ronnie Liu dari DAP kerana terlalu ghairah membangunkan projek- projek kondominium mewah di Seksyen 7 Shah Alam dan di sekitar bandar raya itu.

Persoalannya untuk siapa projek-projek mewah itu? Shah Alam dihuni lebih 80 peratus penduduk Melayu. Apakah ada cubaan untuk memecahkan geopolitik orang Melayu di Shah Alam? Ronnie Liu amat bijak. DAP amat bijak. Mereka mempunyai perancangan yang cukup strategik. Cuba tanya pegawai-pegawai tanah di Selangor, apa sudah jadi sekarang? Benarkah juga ada kediaman bukan Melayu di Shah Alam (yang selama ini berstatus pajakan) boleh ditukar kepada status kekal?

Mengapa ada iklan-iklan perumahan yang begitu ghairah meletakkan kain-kain rentang “lot-lot kuota Bumi kini sudah ‘released’ dan semua orang boleh membelinya?" Saya tidak ada niat untuk bermain dengan sentimen kaum, tapi saya masih melihat yang orang Melayu masih lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa walaupun Menteri Besarnya ialah seorang Melayu.

Saya juga sayu apabila pulang ke Kedah baru-baru ini apabila melihat bukit dan gunung di kawasan Baling telah ditarah. Dulu semasa kerajaan BN, bukit-bukit itu masih hijau. Bukit Hijau di Kupang, Baling kini telah digondolkan. Hairan tiada siapa pun yang bising. UMNO Baling pun senyap? (Apakah mereka takut bising kerana mereka juga buat perkara yang sama dulu?

Hari ini, lori-lori balak yang membawa kayu-kayu bersaiz besar bersimpang-siur di atas Lebuh Raya Kulim-Butterworth. Kerajaan Negeri Kedah terpaksa mengorbankan kawasan-kawasan bukit, yang jelas boleh dilihat dari lebuh raya itu, untuk mendapatkan hasil negeri.

Bukit-bukit yang togel itu, difahamkan kemudiannya dipecah-pecahkan lot dan dibahagi-bahagikan kepada puak-puak Pas. Masing-masing berebut-rebut untuk mendapatkan habuan masing-masing. Sehingga difahamkan ada yang tidak mengikut peraturan.

Alahai, inilah gambarannya yang juga berlaku di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Masing-masing sedang pulun apa yang ada untuk kepentingan diri sendiri dan puak masing-masing sebelum terlambat dan negeri itu jatuh semula ke tangan orang lain.

Itu yang berlaku sekarang. Senang cakap - jika kita berkata kerajaan mereka lebih baik, semuanya bohong belaka, malah mereka lebih rakus lagi.

Berbalik kepada soal calon, sebenarnya apa yang berlaku sekarang, hasil tsunami politik 2008 sepatutnya telah memberi banyak pengajaran kepada parti pemerintah Pusat. Ia sepatutnya telah mematangkan mereka dalam berpolitik. Mereka sepatutnya telah berubah ke arah kebaikan atau akan terus diubah dan mati. Parti perlu lebih bijak. Presiden haruslah menjadi commanding officer yang cekap dan digeruni. Segala perintahnya harus diikuti.

UMNO dan BN selepas ini harus ditransformasi, dijenama, direjuvenasi sepenuhnya. UMNO perlu menukar sistemnya, yang menjurus kepada pemusatan kuasa di peringkat pusat sepenuhnya. Kuasa Ketua-ketua Bahagian harus dikawal dan dikurangkan. Jangan biarkan mereka menjadi warload yang terlalu berkuasa, sehingga perintah Presiden pun tidak didengari. Ketua-ketua Bahagian harus akur dengan satu sistem baru, sebagaimana pegawai kerajaan terpaksa akur kepada Perintah Am yang digariskan oleh Pusat.

Apa sekali pun, dalam situasi sekarang, BN akan terus menjadi pilihan ramai dalam PRU-13 kali ini. Momentum sokongan semakin kuat ke arah itu. Usaha gigih dan sabar Najib nampaknya berhasil. Usaha rakus dan ghairah Anwar pula nampaknya, gagal.

Namun, faktor siapa calon akan tetap menjadi penentu kepada pemantapan keputusan pilihan raya BN. Sasaran Najib ialah dua pertiga. Semua harus membantu beliau. Tepuk dada, tanyalah selera.

Buat sementara ini, mohon saya berehat seketika. Jika panjang umur, insya-Allah kita berjumpa lagi di minggu depan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik