Tuesday, December 25, 2012

LANUN ASING DIDAKWA DIMAHKAMAH.


Lapan lanun warga Indonesia yang berjaya diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas gagal merompak sebuah kapal tangki di Tanjung Stapa, Pengerang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini. Mereka ialah Dane, 23; Hasbullah, 35; Ricky, 37; Trim, 36; Jais, 46; Arjadi, 32; Amie, 37; dan Zul, 34.

Majistret Norshahid Abdul Malik tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh sebaliknya menetapkan 28 Disember bagi sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen. Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata berbahaya ke atas krew kapal MT Merlion 2 yang berlabuh di perairan Tanjung Stapa, di sini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua lagi yang masih bebas pada pukul 2.30 pagi, 11 Disember lalu.

Tertuduh yang berumur antara 21 dan 53 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan ke atas kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Maritim Malaysia, Juanita Mohd. Said.

Utusan Malaysia pada 12 Disember lalu melaporkan kejayaan Maritim Malaysia menggagalkan cubaan lanun warga Indonesia dipercayai bersenjatakan parang dan pistol untuk merompak kapal MT Merlion 2 yang berdaftar di Saint Kitts and Nevis, ketika kapal itu sedang berlabuh. Ketika insiden terdapat 12 krew kapal yang terdiri daripada 11 warga Myanmar dan seorang rakyat Singapura yang kemudian bertindak menyalurkan maklumat. Berikutan itu, tiga buah bot Maritim Malaysia bergegas ke lokasi dan sejurus tiba, bot dinaiki kumpulan lanun tersebut melarikan diri dengan meninggalkan lapan suspek di atas kapal MT Merlion 2.

Sumber: Utusan.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik