Sunday, December 29, 2013

PERAYAAN TAHUN BARU PEMANGKIN HEDONISME.

KENAPA kita menyambut tahun baharu 1 Januari? Bukankah kita sudah menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam saban tahun? Adakah telah disyaratkan untuk menjadi negara maju, kita mesti menganjurkan sambutan tahun baharu Masihi walaupun isi kandungan acara lebih menjurus kepada keburukan bukan kebaikan?

Tahukah kita asal-usul sambutan tahun baharu hingga kita menjadikan seolah-olah sambutan menjelang 1 Januari saban tahun sebagai acara "wajib"? "Kita" dalam konteks ini ialah pihak berkuasa yang mempunyai kuasa sama ada terus mengadakan atau tidak.

Tahun Masihi bermula pada kelahiran Nabi Isa al-Masih sementara tahun Sebelum Masihi dikira sebelum kelahiran Nabi Isa. Maknanya tahun baru 2014 yang akan muncul dua hari lagi adalah kiraan 2,014 tahun selepas lahirnya Nabi Isa dan penganut Kristian merayakan tahun baharu sebagai mengingati Nabi Isa.

Sejarah sambutan tahun baharu paling awal dimulakan oleh penganut Kristian Rom kuno pada tahun 45 Sebelum Masihi iaitu tidak lama selepas Julius Caesar diangkat sebagai Raja Rom.

Ketika itu Julius Caesar dibantu oleh ahli astronomi mengubah sistem astronomi Rom yang diciptakan sejak tahun ketujuh Sebelum Masihi dengan mengikut peredaran matahari seperti dilakukan oleh ahli astronomi Mesir.

Satu tahun dalam kalendar baharu Julius Caesar mempunyai 365 tambah suku dan dia menambahkan 67 hari pada tahun 45 Sebelum Masehi membuatkan tahun berikutnya dimulai pada 1 Januari.

Umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam dan sebagai sebuah negara Islam dan Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, sewajarnya tidak timbul acara sambutan tahun baharu Masihi.

Pengisian

Kalau disambut pun mungkin oleh penganut Kristian atau agama-agama lain kerana orang Islam sudah menyambut tahun baharu Hijrah dengan pengisian acara yang boleh membangunkan masyarakat. Atau dalam kata lain tidak perlulah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi serta kementerian tertentu turut menganjurkan tahun baharu di Dataran Merdeka serta beberapa lokasi lain.

Ada dua persoalan utama yang mesti ditekankan dalam isu sambutan tahun baharu Masihi ini. Pertama, acara ini bukan tradisi dalam sejarah Islam kerana secara terang-terang diambil dari sejarah Kristian. Bagaimanapun masih boleh dianjurkan sekiranya isi kandungan acara tidak bertentangan dengan Islam, budaya dan akhlak masyarakat.

Kedua, daripada sudut isi acara. Setakat ini belum ada sambutan tahun baharu Masihi yang menampilkan pengisian untuk melahirkan generasi yang berakhlak, bermoral dan bersemangat juang yang tinggi. Kalau ada, sila buktikan.

Seperti yang saya katakan tadi, acara ini masih boleh dianjurkan sekiranya penganjur memastikan isi kandungan acara tidak menjurus kepada pemangkin pertumbuhan budaya hedonisme yang disuntik menerusi hiburan melampau.

Tetapi setakat ini terutama di Dataran Merdeka dan Putrajaya, isi kandungan acara sambutan tahun baharu Masihi penuh dengan hiburan yang tidak menyumbang kepada pembangunan sahsiah generasi muda. Pemujaan dan sanjungan kepada hiburan sudah terlampau tinggi dalam kalangan generasi muda khususnya yang beragama Islam. Jadi, tidak usahlah kita membinasakan generasi muda yang sudah mabuk dengan hiburan dengan melonggokkan hiburan di depan mereka. Ini sama juga dengan mengumpan generasi muda dengan K Pop.

Generasi muda mesti dikasihani, caranya jangan terus merosakkan dengan mewajarkan budaya hedonisme. Walaupun cara ini disukai generasi muda, tetapi pada masa sama menghancurkan mereka. Kita kena bertanggungjawab memberikan hiburan yang bernilai tinggi.

Kalau Julius Caesar masih hidup, sudah tentu dia berbangga kerana dialah menjelang tarikh 1 Januari saban tahun generasi muda Islam disogokkan mengikut caranya. Para birokrat pun tersenyum bangga apabila acara anjurannya mendapat sambutan. Ini menyumbang kepada KPI. Itu sajalah yang difikirkan.

Dua hari lagi akan menjelang malam tahun baharu Masihi. Khabarnya di Dataran Merdeka sudah dijadualkan acara hiburan dan pertunjukan bunga api. Dijangka acara kali ini juga seperti yang sudah-sudah, melonggokkan artis menjaja seni murahan. Tetapi dalam masa dua hari lagi kalau kita hendak berubah, kita boleh berubah. Adakah kalau ditiadakan sambutan tahun baharu Masihi kita akan dicerca oleh masyarakat antarabangsa? Kalau benar akan dicerca, biarkan kerana negara kita bukan mereka yang tentukan acuannya. Itupun kalau berani berubah - UTUSAN/29.12.13


PENEGASAN UMNO MEMERTABATKAN ISLAM

PERKARA 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan merupakan nadi penting di dalam perjuangan memartabatkan agama suci ini di Malaysia.

Peruntukan itu menegaskan fungsi Islam sebagai agama negara, bukan terhad sekadar 'alat' bagi acara-acara rasmi keagamaan serta hanya ibadah khusus untuk kesejahteraan individu.

Pada hakikatnya, peruntukan ini memperkasa peranan Islam sebagai cara hidup di ruang awam dan mencakupi pentadbiran kesejahteraan masyarakat Muslim dan non-Muslim secara komprehensif. Malah, peranan fasal ini diperkukuhkan dengan Perkara 37, Jadual Keempat berkenaan sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara Islam pada setiap masa. Dengan wujudnya kedua-dua peruntukan ini, maka terbatal sebarang unsur-unsur yang cuba mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Beberapa kes-kes utama yang diputuskan mahkamah tertinggi di negara ini juga mengesahkan peranan Islam dalam konteks ini. Percubaan pihak pembangkang yang berfahaman sekular mendakwa Malaysia sebuah negara sekular dengan menyalahtafsir sebahagian penghakiman Tun Salleh Abas di dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya [1988] ternyata tidak berjaya mempengaruhi masyarakat umum tentang sifat Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebaliknya, kes-kes mutakhir yang lebih berautoriti seperti Meor Atiqurrahman & Ors vs Fatimah Sihi Abdullah & Yang Lain (2005) dan Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [Rayuan Sivil No: 01-2-2006] merupakan penegasan peranan dan ruang lingkup peranan Islam sebagai suatu cara hidup.

Di samping pelbagai pencapaian berkaitan model-model Islam telah banyak diwujudkan, ruang pemerkasaannya untuk memenuhi maksud peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah sangat luas, malah perlu diperkasakan dengan mengambil kira Malaysia masih dipimpin parti pemerintah yang bercitra Melayu-Islam seperti UMNO.

Ternyata hakikat kedudukan Islam ini tidak disenangi ramai pihak. Malaysia menerima ujian besar apabila wujud beberapa siri percubaan menghakis kedudukan istimewa Islam kebelakangan ini. Sejak lebih dua dekad lalu, strategi parti-parti politik pembangkang melalui NGO-NGO yang berfahaman sekular liberal, serta bertopengkan gerakan Hak Asasi Manusia (HAM) telah mencetuskan pelbagai percubaan mengubah lanskap kesederhanaan amalan beragama.

Mutakhir, pelbagai lapisan masyarakat telah menolak gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) di sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva, yang ghairah memperjuangkan tuntutan-tuntutan batil bagi membuka ruang murtad, amalan gaya hidup LGBT, menidakkan hak istimewa orang Melayu serta tuntutan-tuntutan lain yang tidak munasabah.

Kesemua ancaman ini dimanipulasi dengan menyalahgunakan prinsip-prinsip serta mekanisme HAM sejagat khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang pada hakikatnya sendiri menjunjung ideologi yang tidak sempurna serta bergelumang dengan sikap hipokrit negara-negara Barat.

UMNO sebagai parti tulang belakang pemerintahan negara, serta memikul amanah menjalankan usaha memartabatkan perjuangan akidah, syariah dan akhlak umat Melayu-Islam, harus memposisikan niat dan tindakannya agar sejajar dengan perkembangan membimbangkan berkenaan usaha menghakis kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Selain membangun keadaan sosio-ekonomi bangsa, UMNO perlu lebih ke hadapan di dalam memperjuangkan Islam menurut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), berpandukan sumber-sumber rujukan keagamaan yang muktabar serta mempunyai kredibiliti.

Hanya dengan inisiatif sedemikian maka perjuangan UMNO akan menzahirkan niat dan tindakan yang dilihat sederhana sekali gus dapat menjuarai usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia secara umum, melalui contoh kefahaman dan pengamalan Islam yang baik.

Justeru usaha pemerkasaan asas UMNO berhubung perjuangan memartabatkan Islam ini haruslah dipelbagaikan. Dasarnya harus jelas dan konsisten dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tegas menjunjung tinggi kedudukan Islam.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Pada sub-fasal 3.3 pula menyatakan tujuan UMNO untuk "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama."

Selari dengan apa yang telah pun difahami dan diterjemahkan UMNO di dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, maka adalah wajar cadangan agar pindaan dilakukan menggantikan frasa asal sub-fasal 3.3 tersebut dengan frasa "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama persekutuan, serta menjunjung fahaman ASWJ". Istilah 'Islam agama rasmi' dipadamkan bagi menjadikan sub-fasal tersebut konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ingin menggariskan tiga rasional utama keperluan pindaan fasal 3.3 ini. Pertamanya, memasukkan frasa Islam sebagai agama Persekutuan ini menjadikan asas, aspirasi dan tujuan perjuangan UMNO sebagai parti tulang belakang umat Melayu-Islam selari dengan kehendak dan tujuan Perlembagaan Persekutuan yang telah pun memaktubkan kedudukan istimewa Islam dengan segala keutamaan dan implikasinya terhadap pentadbiran agama Islam di negara ini.

Pindaan ini akan secara sendirinya menzahirkan hakikat peranan besar UMNO selama ini di dalam memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup dan bukan sekadar 'agama rasmi'. Malah, penambahan frasa "menjunjung fahaman ASWJ" akan memperkukuh idealisme serta iltizam perjuangan Islam UMNO dan menolak sebarang unsur-unsur ajaran sesat, termasuklah agama Syiah yang semakin berleluasa.

Keduanya, pindaan ini sebenarnya menegaskan peranan UMNO sendiri sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan Malaysia yang telah banyak memperkenalkan model dan sistem Islam di dalam pelbagai bidang. Kita boleh menyebut beberapa contoh seperti pindaan pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di dalam tahun 1988 yang telah membuka ruang pemerkasaan sistem pentadbiran undang-undang Islam yang sangat meluas.

Sebagai bukti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini mengumumkan bahawa Peguam Negara telah memberi lampu hijau untuk meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang ketika ini mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh mewujudkan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Ini membuka ruang pemerkasaan undang-undang syariah. Selain itu, pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Act) 2013 merupakan sumbangan terkini Malaysia mewujudkan model mithali dalam regulasi perkhidmatan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Ketiga, para pemimpin UMNO sendiri dapat menzahirkan niat dan tindakan mereka mempertahankan Islam dengan lebih matang, kukuh serta berwibawa dengan adanya pindaan sub-fasal 3.3 ini. Dengan serangan yang dizahirkan melalui NGO-NGO HAM dan parti-parti politik berfahaman liberal sekular, maka kepimpinan UMNO harus terlebih dahulu memantapkan kefahaman Islam sebagai suatu cara hidup dan mengenalpasti fahaman-fahaman berbahaya seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme agama yang mencetuskan bukan sahaja kekalutan pemikiran umat Islam, tetapi juga menghasilkan gaya hidup bebas anti-Tuhan serta mengamalkan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Melihat pada cabaran-cabaran mendatang di peringkat sejagat, ketegasan pendirian tersebut hanya dapat terus dilakukan oleh kerana wujud jaminan utuh kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya hal ini diterjemahkan di dalam UMNO sendiri, sebagai mengekalkan peranan relevan memperjuangkan Islam di Malaysia dan menawarkan contoh kepada negara-negara Islam lain - UTUSAN/29.12.13

GULING KERAJAAN KESALAHAN BESAR

PERHIMPUNAN yang dijangka berlangsung pada malam 31 Disember ini dijaja sebagai satu perhimpunan bagi menyatakan protes kepada kerajaan tentang peningkatan kos sara hidup. Protes ini juga dikatakan bertujuan mengingatkan kerajaan kepada janji dan manifesto pilihan raya lalu. Ia juga dikaitkan dengan ketirisan dan penyelewengan dalam hal urus tadbir negara.

Hakikatnya, perkara berkaitan kos sara hidup serta ketirisan dan penyelewengan sudah tentu menjadi perhatian dan keprihatinan pelbagai pihak. Namun begitu, protes seperti ini atau lebih tepat lagi dalam bahasa undang-undang, 'protes jalanan' adalah perbuatan melanggar undang-undang.

Menurut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012, 'protes jalanan' ditafsirkan sebagai "Suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perjumpaan di tempat yang ditentukan yang melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan atau tujuan-tujuan tertentu".

Protes jalanan diharamkan oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan peruntukan seksyen 4(2), yang menyatakan, "Seseorang melakukan suatu kesalahan jika…(c) dia menganjurkan atau menyertai satu protes jalanan". Seseorang yang didapati bersalah atas pertuduhan menganjurkan atau menyertai protes jalanan ini boleh dihukum denda sehingga RM10,000. Hukuman ini disebut dalam Seksyen 4(3) Akta Perhimpunan Aman tersebut.

Perhimpunan aman yang dibenarkan oleh Akta Perhimpunan Aman hendaklah mempunyai penganjur. Kehendak undang-undang ini mempunyai logik dan kepentingan tertentu. Seperti dinyatakan oleh akta ini, penganjur hendaklah bertanggungjawab dalam banyak perkara yang dijelaskan oleh seksyen-seksyen 9, 10, 11, 12, dan 13 Akta Perhimpunan Aman. Antara lain, tanggungjawabnya membuat pemberitahuan tentang perhimpunan kepada pihak polis dan mendapatkan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan bagi tujuan perhimpunan itu. Logiknya, segala urusan berkaitan perhimpunan dan peserta mudah diurus dan ada pihak yang mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kesulitan.

Sekiranya tiada pihak yang mahu mengambil tanggungjawab penganjuran, kita boleh lihat ketidakmatangan pihak yang berkempen mengajak rakyat membuat protes. Sekiranya tiada pihak yang mengaku atau mengambil tanggungjawab sebagai penganjur kepada perhimpunan yang tiada pemberitahuan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman, pihak berkuasa, seperti polis, boleh membuat anggapan bahawa mereka yang memulakan, mengetuai, menggalakkan, menaja, mengadakan atau menyelia perhimpunan adalah penganjur kepada perhimpunan. Setakat ini Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) dikait rapat dengan protes 31 Disember ini. Maka TURUN boleh dianggap sebagai penganjur kepada protes ini.

Dalam suatu perhimpunan aman, penganjur dan peserta hendaklah bekerjasama dengan polis atau pihak berkuasa tempatan serta pemilik premis di mana perhimpunan itu dilakukan. Peserta dan mereka yang bertanggungjawab menyebar kempen protes ini tidak boleh menuntut kerjasama polis atau pihak berkuasa tempatan sahaja. Dalam undang-undang, mereka juga dituntut untuk bekerjasama.

Mengajak

Sekiranya pihak yang mengajak orang ramai turun menyertai protes jalanan ini bersikap bertanggungjawab maka mereka hendaklah mengambil tanggungjawab berkenaan penganjurannya juga. Inilah yang kita namakan kematangan dalam melaksanakan hak berhimpun. Mereka tidak boleh meletakkan tanggungjawab berkenaan perhimpunan ini ke atas pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya atau peserta semata-mata.

Inspirasi Akta Perhimpunan Aman adalah untuk meletakkan tanggungjawab kepada penganjur dan peserta perhimpunan, bukan kepada pasukan polis. Pihak polis hanya menjadi pemudah cara dalam perjalanan perhimpunan tersebut. Sekiranya mereka yang berkempen mengajak orang ramai turun dan menyertai protes jalanan ini enggan mengambil tanggungjawab sebagai penganjur, maka kredibiliti dan sikap bertanggungjawab mereka juga boleh dipersoal.

Seperkara lain yang menjadi persoalan adalah keikhlasan protes ini. Adakah ia benar-benar untuk rakyat atau ada dalang atau tujuan lain di sebalik penganjurannya? Persoalan ini timbul kerana ramai juga yang melihat bahawa protes jalanan ini mempunyai agenda menentang kerajaan dengan cara bercanggah dengan demokrasi atau bercanggah dengan perhimpunan aman yang dibenarkan oleh undang-undang dan sistem demokrasi kita. Keengganan TURUN, yang dikaitkan dengan penganjuran protes ini untuk mengambil tanggungjawab penganjuran dan meletakkannya kepada peserta menjadi tanda tanya; adakah ada dalang lain di sebalik penganjurannya? Sekiranya TURUN menghormati sistem demokrasi dan mendaulatkan undang-undang, maka peruntukan akta dan undang-undang berkaitan perhimpunan hendaklah dipatuhi. Ambillah tanggungjawab sebagai penganjur.

Kita perlu tahu, sekiranya protes ini boleh ditafsirkan sebagai satu aktiviti yang boleh meletakkan sistem demokrasi dalam bahaya, maka pihak penganjur dan peserta perlu mengambil perhatian tentang kedudukan undang-undang jenayah mengenai kesalahan terhadap negara. Seksyen 124B Kanun Keseksaan menyatakan, "Barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun". Cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen juga satu kesalahan. Ini disebut dalam Seksyen 124C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Oleh itu, sekiranya protes jalanan 31 Disember ini dikaitkan dengan Himpunan Guling Kerajaan yang pernah disebarkan dahulu, perhatian serius hendaklah diberikan oleh peserta dan juga TURUN kepada peruntukan Kanun Keseksaan ini kerana ia perbuatan atau aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Secara umumnya perhimpunan aman yang dikelaskan sebagai 'kebebasan asasi' dan menjadi milik atau hak rakyat dan seterusnya diterima sebagai perhimpunan dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang adalah perhimpunan yang menepati kehendak undang-undang. Jika perhimpunan itu bercanggah dengan undang-undang maka ia bukan lagi menjadi suatu hak yang boleh dituntut.

Protes jalanan bukan jalan terbaik menangani masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Pendekatan protes jalanan seperti ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sekiranya rakyat mahukan keprihatinan kerajaan dalam menangani masalah kos sara hidup, salurkan penyelesaian kepada masalah itu, bukan membuat masalah lain yang bukan sahaja tidak boleh menjamin penyelesaian, bahkan menambahkan lagi masalah sedia ada - UTUSAN/29.12.13

Sunday, August 4, 2013

KUASA POLITIK AMAT PENTING BAGI ORANG MELAYU.

dapaKecenderungan pengundi Cina terutama di bandar-bandar mengundi DAP dan menolak MCA dan Gerakan tidak berlaku secara kebetulan. Slogan Ini Kalilah atau UBAH yang ditiupkan oleh Anwar Ibrahim memberi kesan kepada mereka untuk memenangkan calon DAP untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Malangnya, BN yang didukung oleh UMNO tidak tumbang. Anwar tidak bernasib baik, gagal ke Putrajaya untuk menjadi Perdana Menteri dan Lim Kit Siang tidak berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Bagi UMNO kuasa politik adalah terlalu penting kepada orang Melayu. Bagi orang Cina kuasa ekonomi dan kewangan sudah dimiliki lama. Kuasa pendidikan, budaya dan sosial sedang berkembang subur ikut pola kecinaan.

Bayangkan, kalau kuasa politik juga didominasi oleh orang Cina itulah pangkalan terakhir bagi orang Melayu. MCA-Gerakan-MIC dan lain-lain parti komponen BN amat memahami hakikat perkongsian kuasa dengan UMNO.

Lebih setengah abad Malaysia terbina atas asas toleransi dan cuba membina perpaduan dengan tidak menafikan hak bahasa dan budaya, memahami orang Melayu perlu dimajukan dalam bidang pendidikan dan ekonomi dan membolehkan orang Cina maju dalam ekonomi dan pendidikan juga.

Lalu "tsunami" ini yang didukung sama oleh Pas dan PKR menyebabkan secara nyata orang Cina meninggalkan MCA dan Gerakan. Malangnya, slogan Ini Kalilah tidak menjadi kenyataan. Maka tentunya kalimah Lain Kalilah sepatutnya menyusul.

Psiki politik orang Cina akhir-akhir ini berkaitan dengan tanah besar negara China yang bakal menjadi kuasa besar dalam tempoh satu dekad lagi dan diaspora Cina di seberang laut menerima kesan sama.

Perdana Menteri Malaysia mengambil sikap terbuka menjadikan China sebagai rakan dagang yang penting dan risikonya amat tidak digemari oleh Amerika Syarikat. Malah pembukaan universiti dari China juga menjadi suatu kenyataan di Malaysia di samping bilion ringgit pelaburan terjadi.

Malah hari-hari terakhir kempen pilihan raya komitmen pendidikan dan bantuan kewangan diberi kepada orang Cina termasuk bertemu dengan Dong Jiao Zong, Persatuan Pendidikan Cina yang kontroversial mengenai isu lulusan EUC dan pengiktirafan beberapa beberapa Kolej Cina di Pulau Pinang. Itu pun tidak dilihat sebagai sesuatu yang positif.

Orang Cina memang terlalu dekat dengan isu bahasa dan budaya Cina. Peruntukan Akta Pendidikan yang membolehkan sekolah vernakular Cina dan Tamil berjalan adalah sesuatu yang baik bagi orang Cina dan dilihat tidak memadai.

Peratusan pelajar Cina dan Tamil di Sekolah Kebangsaan tidak lebih 10%. Malah terdapat puluhan ribu pelajar Melayu sedang belajar di sekolah vernakular Cina. Jumlah ini akan terus bertambah seolah-olah sekolah Cina lebih magnetik sebagai sekolah rujukan yang menawarkan subjek Mandarin, Inggeris dan Matematik yang baik.

Orang Cina yang memahami sejarah orang Melayu akan sentiasa ingin membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi supaya ekuiti yang ada dapat dipertingkatkan. Amat penting orang Melayu sebagai penduduk asal dibangunkan supaya mampu berdiri sama tinggi dengan orang Cina terutama dalam partisipasi ekonomi.

Usaha kerajaan membangun orang Melayu tidaklah mudah. Orang Melayu yang telah dijajah lebih 450 tahun sejak zaman Melaka lagi diperas dan dipulas dan untuk bangun kembali dalam tempoh setengah abad bukanlah suatu hal yang mudah.Tetapi penyertaan orang Melayu dalam banyak bidang sedang menampakkan hasilnya.

Sekiranya sikap toleransi orang Cina terus wujud di samping orang Cina menikmati proses pembangunan yang sedang berjalan ia akan menjadikan jurang prasangka bertambah rapat dan jurang perpaduan bertambah baik. Ia menuntut kesabaran dan juga pengorbanan yang tinggi.

Apa yang telah terjadi tidak mudah untuk diatasi. Apalagi dalam demonstrasi jalanan generasi muda Cina ramai yang menyertai dan ia bakal menjadi pengundi masa depan sementara yang telah mengundi DAP akan kekal mengundi parti itu. Budaya orang Cina memang begitu.

Katakan ada perubahan dalam orientasi perjuangan Pas yang tetap mahukan konsep Negara Islam ditegakkan tentunya ia bercanggah dengan hala tuju perjuangan DAP yang mahukan negara sosialis demokratik sekular. Selama mana ia boleh bertahan. Tempoh lima tahun apa-apa boleh terjadi.

Hal yang sama dengan PKR yang ketuanya Anwar menganut fahaman liberal dan pluralisme agama dan krisis Wan Azizah-Azmin belum dapat dileraikan dan kes mahkamahnya masih berjalan.

Apakah Pas dapat menerima ini sekiranya Pas ingin kembali semula di bawah kepimpinan ulama. Kita tunggu dan lihat. Tempoh lima tahun apa-apa boleh terjadi.

By: Agendadaily.


Saturday, August 3, 2013

PETISYEN PILIHANRAYA - KEPUTUSAN MAHKAMAH MAKIN BUKA PEKONG.

pru-undi513Makin hari makin bergema soalan mengenai dakyah pakatan pembangkang yang macam nak runtuh dunia konon berlaku pelbagai tipu muslihat dan silap mata menyebabkan mereka kalah pilihanraya umum ke 13.

Paling hot tentulah mana dia 40,000 Bangla yang konon diterbangkan untuk jadi pengundi hantu.

Keputusan Mahkamah Pilihanraya menolak satu demi satu petisyen kerana sebab teknikal yakni fakta kes tidak sempurna membuatkan pekong riuh rendah yang dicetuskan selepas keputusan PRU 5 Mei itu makin menyerlah.

Ini kerana kalau mengikut dakwaan semberono mereka termasuk penganjuran perhimpunan demi perhimpunan sudah tentu ada petisyen yang diputuskan oleh mahkamah setakat ini sudah lekat.

Walaupun banyak lagi kes belum diputuskan namun 'angin' dari sebilangan kes yang ditendang keluar oleh mahkamah dikatakan memberi petunjuk jelas.

Kata orang setakat nak cakap kosong siapa pun boleh cakap.Namun bila masuk mahkamah segala fakta dan bukti dakwaan harus tersusun rapi.

Nampaknya setakat ini banyak masa mahkamah terbuang untuk melayan kes-kes yang dalam bahasa mahkamah 'tidak mematuhi kaedah petisyen'.

Kalau mengikut perkembangan setakat ini kalangan para peguam hebat pakatan pembangkang setakat ini tidak dapat membina kes yang kuat untuk menyokong dakwaan.

Jika pembangkang cuba mendakwa seperti yang disuarakan oleh Datuk seri Anwar Ibrahim konon mahkamah ' ikut arahan parti tertentu ' tolak petisyen ia nyata terjawab bila ada petisyen yang dikemukakan oleh BN sendiri ditolak.

Selain isu 40,000 Bangla ramai yang tertunggu nak tengok dimana kebenaran dakwaan mereka yang hentam teruk pihak Suruhanjaya Pilihanraya dalam mengendalikan PRU13.

Tanpa segala fakta dan kes kuat di mahkamah segala gembar gembur mereka akan menepati  andaian bahawa segala drama protes itu cuma untuk menutup malu tewas dalam pilihanraya yang mereka dakwa ' dalam tangan'.

Sementara itu Khamis saja Mahkamah pilihanraya telah menolak lima petisyen.

Di Kuala Terengganu,mahkamah menolak petisyen yang difailkan oleh PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Hulu Besut yang dimenangi oleh Barisan Nasional.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan berkata pihak pempetisyen ,PAS)gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Bagi kawasan DUN Kuala Berang, Mariana memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada responden pertama iaitu Anggota DUN (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta masing-masing RM50,000 kepada responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah juga memerintahkan pihak pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Pada PRU13, Tengku Putera, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, mengalahkan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid dengan majoriti 449 undi manakala Nawi menewaskan calon PAS Shalahhudin Jaafar dengan majoriti 1,570 undi.

Pada 18 Julai lepas, mahkamah yang sama turut membatalkan petisyen yang difailkan BN terhadap dua ADUN PAS Telok Pasu dan Rantau Abang.

DUN Telok Pasu dimenangi calon PAS, Ridhuan Hashim yang mengalahkan calon BN Datuk Abdul Rahin Mohd Said dengan majoriti 109 undi manakala DUN Rantau Abang pula dimenangi calon PAS, Alias Harun yang menewaskan calon BN, Datuk Za'abar Mohd Adib dengan majoriti 141 undi.

Hakim memerintahkan BN membayar kos RM50,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta membayar kos RM30,000 masing-masing kepada dua ADUN tersebut.

Mahkamah Pilihanraya di Ipoh tolak petisyen untuk batalkan kemenangan calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri Rungkup di Perak.

Petisyen itu difailkan oleh calon PAS ,Misbahul Munir Masduki.

Pada PRU13 ,calon BN Shahrul Zaman menewaskan Misbahul dengan majoriti 613 undi.

Hakim Umi Kalthum Abdul Majid yang membuat keputusan itu turut mengarahkan pempetisyen, Misbahul Munir Masduki, membayar kos RM70,000 iaitu RM35,000 masing-masing kepada responden pertama, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di Kuala Lumpur,Mahkamah Pilihan Raya  menolak petisyen pilihan raya difailkan seorang pengundi yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dikekalkan oleh Nurul Izzah Anwar daripada PKR.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan bahawa petisyen yang difailkan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan, adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ketika membenarkan bantahan awal Nurul Izzah berhubung petisyen itu, hakim berkata pempetisyen (Mohamad Sazali) gagal mengemukakan fakta penting untuk menunjukkan tindakan boleh diambil terhadap responden pertama (Nurul Izzah).

"Petisyen pilihan raya seperti ini sangat bergantung kepada undang-undang pilihan raya. Pempetisyen gagal mengemukakan fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan pelanggaran peruntukan dalam Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Akta Kesalahan Pilihan Raya berkaitan amalan rasuah yang didakwa itu," katanya.

Zabariah memerintahkan Mohamad Sazali membayar kos RM40,000 kepada Nurul Izzah.

Hakim juga berkata petisyen pilihan raya itu tidak difailkan oleh pempetisyen atau peguam mengikut Kaedah 9 dan 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

"Bidang kuasa mahkamah tidak digunakan, oleh itu petisyen pilihan raya ini boleh ditolak berdasarkan alasan ini semata-mata," katanya.

Dalam petisyen itu Mohamad Sazali menamakan Nurul Izzah, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rolan Abd Rahman dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Pada pilihan raya umum lepas, Nurul Izzah mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 1,847 undi.

Di Shah Alam,Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen difailkan BN bagi membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan DUN Penggaram, Johor yang dimenangi DAP.

Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas beliau membenarkan bantahan awal oleh calon DAP, Gan Peck Cheng.

Pada pilihan raya umum lepas, Gan memenangi kerusi DUN Penggaram mengalahkan calon BN, King Ban Siang dengan majoriti 10,051 undi.

Suraya yang menolak petisyen itu dengan kos RM20,000, dalam penghakimannya berkata petisyen itu wajar ditolak kerana terdapat kecacatan dalam butiran dan maklumat yang diberikan pempetisyen iaitu King.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan Gan mengadakan jamuan makan kepada pengundi di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, Johor, pada 18 Mei lepas adalah rasuah.

"Mahkamah menolak isu itu kerana ia tiada kaitan dengan undang-undang dan petisyen pemohon juga gagal memberikan butiran lengkap berhubung adanya rasuah dalam jamuan berkenaan," katanya.

King selaku pempetisyen diwakili peguam Izzat Muhtar memfailkan permohonan petisyen pada 10 Jun lepas terhadap Gan, yang diwakili peguam Gobind Singh dan Thomas Philip.

Dalam pernyataan petisyen itu, King mendakwa Gan telah melakukan rasuah dan menyalahi undang-undang kerana mengadakan jamuan makan dan minum kepada para pengundi Penggaram sehingga membawa kepada kemenangannya.

Beliau mendakwa Gan atau ejennya memaparkan kain rentang pada 18 Mei lepas, yang jelas menjemput pengundi di kawasan DUN Penggaram untuk menghadiri jamuan itu dan kira-kira 2,000 penduduk hadir.

King mendakwa kain rentang yang mengandungi perkataan 'Ubah Sekarang dan Bersihkan Malaysia' telah diedar dan ditampal oleh responden dengan tujuan untuk menimbulkan dan menyebarkan perasaan jahat serta tidak puas hati pengundi di Penggaram.

Justeru, beliau memohon agar mahkamah mengisytiharkan pilihan raya yang diadakan sebelum ini adalah tidak sah dan terbatal.- 1/8/2013



Mahkamah tolak empat lagi petisyen PRU13

Keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang kekal setelah Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Jun lepas.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pempetisyen tidak menyatakan fakta yang jelas dan mencukupi dalam permohonan mereka.

Katanya pempetisyen mengemukakan fakta yang terlalu umum seperti dakwaan catatan pada kertas undi yang ditolak tetapi bagaimana ia berlaku, tidak dinyatakan.

Berikutan keputusan itu, Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam terus kekal di bawah pimpinan BN manakala Sepang milik PAS.

Petisyen bagi Parlimen Kuala Selangor difailkan oleh pengundi Muhammad Rashid Muhammad Kasim, Parlimen Sungai Besar oleh Mat Ismail Nasir (pengundi) dan Dr Abdul Aziz Bari (calon) bagi Parlimen Sabak Bernam.

Bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam, Hakim Zaleha memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada calon yang bertanding iaitu Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor), Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Beliau juga memerintahkan tiga pempetisyen tersebut membayar kos RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagi Parlimen Sepang, Latif Wagiman (pengundi) diperintah membayar RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta RM20,000 kepada Mohamed Hanipa Maidin (calon).

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Zaleha membenarkan bantahan awal yang dikemukakan calon yang bertanding, Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi empat kawasan Parlimen tersebut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada pilihan raya lalu, bagi Parlimen Kuala Selangor Irmohizam mengalahkan Dr Dzulkefli Ahmad (PAS) dengan majoriti 460 undi; Parlimen Sungai Besar Noriah (BN) mengalahkah Mohamed Salleh M Husin (PAS), majoriti 399; Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah mengalahkan Abdul Aziz (PKR), majoriti 1,644 dan Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed (BN) kalah kepada Mohamed Hanipa (PAS) dengan majoriti 1,104.-31/7/2013


Mahkamah tolak petisyen batalkan kemenangan BN di DUN Lubuk Merbau,Manong dan Pasir Panjang

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kekal ditangan Barisan Nasional setelah Mahkamah Pilihanraya tolak petisyen untuk membatalkan kemenangan itu semasa pilihanraya umum ke 13.

Mahkamah Pilihanraya di Ipoh menolak petisyen di DUN Lubuk Merbau manakala mahkamah di Batu Gajah tolak petisyen yang dibuat oleh DUN Manong dan Pasir Panjang.

Untuk DUN Manong,Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen gagal mengikuti kehendak-kehendak mandatori dan petisyen yang difailkan Abdul Karim Abdul Rashid cacat, kerana tidak mematuhi Perintah 9 dan 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Perintah berkenaan hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen pilihan raya dan bukan firma guaman.

Di situ calon BN Siti Salmah mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi pada PRU13.

Pada 12 Jun lepas, Abdul Karim dari parti PAS menfailkan petisyen itu bagi membatalkan keputusan PRU13 kerusi berkenaan dengan beberapa alasan termasuk berlakunya amalan penyogokan atau rasuah.

Beliau membuat keputusan itu selepas sesi pendengaran bantahan awal yang dibenarkan bagi pihak pempetisyen dan kesemua responden selesai sebelum ini.

Abdul Rahman juga memerintahkan Abdul Karim membayar RM60,000 kepada responden pertama iaitu Datuk Siti Salmah Mat Jusak yang kini merupakan anggota DUN kawasan berkenaan dari parti BN.

Pengundi itu juga diperintahkan membayar masing-masing RM10,000 kepada responden kedua iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi Lubok Merbau, Abdul Halim Hamed.

Empat peguam yang diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamauddin dan Abu Bakar As Sidiq mewakili Siti Salmah, tiga orang Peguam Kanan Persekutuan Norazmi Narawi, Muhamad Anas Mahadzir dan Norinna Bahadon pula mewakili SPR manakala pempetisyen diwakili peguam Aminuddin Zulkifli.

Abdul Rahman kemudian meneruskan sesi pengurusan kes bagi petisyen DUN Lubok Merbau juga yang difailkan oleh seorang lagi pengundi di kawasan berkenaan.

Bagi DUN Manong dan Pasir Panjang pula Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menolak petisyen itu atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menolak petisyen itu atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau menolak kedua-dua petisyen itu dengan kos.

Bagi kawasan DUN Manong, Abang Iskandar mengarahkan pempetisyen iaitu calon PAS Jamil Dzulkarnain membayar kos RM40,000 masing-masing kepada responden pertama iaitu Adun Manong Mohamad Kamil Shafie dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi DUN Pasir Panjang, mahkamah mengarahkan pempetisyen, seorang pengundi Shamsul Sakri Che Din membayar kos RM40,000 masing-masing kepada kepada responden pertama Adun Pasir Panjang Rashidi Ibrahim, responden kedua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga, SPR.

Bagi satu lagi petisyen DUN Pasir Panjang yang turut difailkan oleh seorang pengundi Hamidun Zakaria, mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

Pada PRU13, Mohd Kamil memperoleh majoriti 231 undi mengalahkan calon PAS Jamil Dzulkarnain bagi DUN Manong manakala Rashidi menewaskan calon PAS Rohawati Abidin dan calon Bebas S.Vijayan bagi kerusi DUN Pasir Panjang dengan majoriti 304 undi.

PAS diwakili barisan peguam yang diketuai G.K Ganeson manakala responden pertama bagi DUN Manong dan DUN Pasir Panjang diwakili barisan peguam yang diketuai Abu Bakar As Sidiq.

Responden kedua bagi DUN Manong diwakili Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin manakala responden kedua dan ketiga bagi DUN Pasir Panjang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin.-30/7/2013


Friday, August 2, 2013

DOA UNTUK PM NAJIB - YA ALLAH, KAU SELAMATKANLAH AGAMA, BANGSA DAN NEGARA INI.


Ya Allah..Lindungilah PM kami!
NEGARA telah memasuki satu fasa yang tidak pernah dijangka malah sejak Merdeka sampailah negara di ambang menyambut 56 tahun Kemerdekaan pada tahun ini,segala-galanya telah berubah,perubahan yang terpaksa dihadapi oleh seluruh pimpinan Barisan Nasional selepas PRU 13.

Namun tepatlah pesanan pujangga lama, "apa yang kita semai,itulah yang akan kita tuai" tetapi siapakah yang mulai menyemai apa yang hari ini dituai? Apakah Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman menyemai apa yang berlaku hari ini? Apakah Bapa Pembangunan Almarhum Tun Abdul Razak menyemai benih yang mula tumbuh hari ini? Apakah Bapa Perpaduan Almarhum Tun Hussin Onn juga menyemai benih yang berlaku hari ini?Apakah Bapa Pemodenan Tun Dr Mahathir menyemai benih apa yang telah tumbuh ini atau Tun Abdullah juga terlibat menyemai hasil yang sedang dituai pada hari ini?

Rasanya semua jelas apa yang berlaku pada hari ini bukan datang dari hasil semaian semua bekas Perdana Menteri kita dan kalau pun ada seharusnya Perdana Menteri hari ini boleh mengubahnya dengan `political will’ yang sedia ada dan rasanya apa yang berlaku hari ini adaah kerana faktor semasa yang dilihat cuba membuat pendekatan baru dan popular dengan mengorbankan semua asas politik dan keselamatan yang telah dilaksanakan sejak sekian lama. 

Semua ikatan kukuh yang telah dibuat,hari ini telah dilonggarkan demi mencari populariti politik dengan harapan dan gambaran agar semuanya akan jadi lebih baik ikut tafsiran semasa namun rupa-rupanya menjadi lebih buruk bahkan jika tidak diikat semula ianya bakal merosakan negara sebelum angka 60 tahun Merdeka tercapai.

Tanpa kita sedar rupa-rupanya bangsa yang bukan bangsa Melayu barangkali sedang merayakan sesuatu selepas PRU13,mereka kini sedang melakukan banyak eksperimen yang secara sengaja ingin melihat apakah kerajaan BN pimpinan AH JIB GOR selepas PRU13 adalah sebuah kerajaan yang kuat atau sebaliknya. 

Di saat mereka sedang menguji dengan ujian-ujian ciptaan mereka yang tidak pernah terjangkau oleh akal kita sepertimana penghinaan terhadap Islam, penghinaan kepada orang Melayu dan institusi Raja Melayu yang setakat ini mereka telah berjaya dan di sisi orang Melayu pula sedang melihat keberanian dan semangat juang MELAYU dalam diri setiap pemimpin Melayu yang sudah semakin hilang dan tidak sanggup lagi bercakap atas nama bangsa kerana mungkin mengguris semangat 1Malaysia.

Akhirnya orang Melayu mula membuat kesimpulan bahawa kita sudah tidak boleh meletak lagi harapan kepada pemimpin Melayu yang ada kerana mereka sudah bacul dan tidak sanggup lagi menjadi Tok Janggut dan Maharaja Lela malah meneliti suasana ini teringat akan bidalan orang Cina."hubungan pemimpin politik dengan rakyat bagaikan ikan dgn air’. Ikan memerlukan air untuk hidup begitu juga pemimpin memerlukan rakyat dan jika bangsa Cina sudah menolak,kini orang Melayu juga sudah mula menolak,apakah maknanya lagi kepada pemimpin,ibarat ikan yang sudah kehi;angan air,maka tunggulah saatnya!

Semua orang bersetuju bahawa PRU13, BN masih lagi boleh bernafas hanya kerana sokongan daripada orang-orang Melayu yang mana rata-rata orang-orang Melayu mula meminta kerajaan harus mula mengajar orang-orang bukan Melayu khususnya bangsa Cina yang menolak kerajaan BN.tapi malang kepada orang Melayu,kerajaan masih lagi menjadikan orang-orang Cina sebagai anak emas kerajaan biarpun mereka langsung ibarat membalas susu dengan tuba.

Satu demi satu eksperimen yang mereka lakukan untuk mencabar orang-orang Melayu dan ini seakan direstui dan dibiarkan seolah-olah sindrom bacul sudah meresapi seluruh pimpinan UMNO yang rata-ratanya akan bertanding dengan pelbagai slogan dan manifesto untuk bangsa Melayu dalam Perhimpunan Agong UMNO yang akan datang dan dalam perhimpunan orang-orang Melayu yang akan mengundi mereka bukan main lagi gaya dan retorik untuk berjuang demi Alif Ba Ta tetapi menjadi tikus yang amat takut berhadapan dengan realiti semasa.

Sehingga saat ini walaupun berbagai penghinaan dibuat kepada bangsa Melayu,mana ada pemimpin Melayu dari UMNO khususnya tampil untuk melawan?Apakah gagasan yang diputuskan sebelum PRU13 oleh PM Najib setelah dinasihat oleh penasihat-penasihat yang telah diangkat tinggi hari ini masih membayangi setiap langkah pemimpin UMNO.

Biarpun ternyata gagasan itu menghiris luka hati orang-orang Melayu yang mana Melayu perlu menjadi bangsa yang apologetik,jangan bercakap Hak Istimewa kerana itu rasis,jangan ungkit bab Islam kerana akan jadi ekstrimis,jangan menyanyikan lagu Warisan kerana rasis,jangan ajar anak-anak Melayu cintakan negara kerana rasis,kita hanya perlu bercakap tentang 1Malaysia dan jangan sakiti hati orang-orang Cina kerana rasis,jangan sesekali tinggikan suara pada orang-orang Cina.

Kita kena tunaikan permintaan orang Cina kerana mereka juga berjuang untuk kemerdekaan sebagaimana yang dinaskahkan dalam filem The New Village,kita kena lantik pegawai-pegawai kerajaan yang liberal dan jika ada pegawai-pegawai kerajaan yang pentingkan Melayu,kita kena ambil tindakan dan ini semua hari ini menjadi duri yang sedang mencucuk hati orang-orangMmelayu sehinggakan orang Melayu mula berfikir apakah PM Najib sekarang `In Control' atau sebaliknya?Apakah PM Najib juga dalam diam bersetuju dengan POPULAR VOTE yang dijaja oleh Anwar Ibrahim dan jika begini kemanakah nasib bangsa,agama dan negara?

Kalau begini suasana dan berterusan sehingga PRU 14,jangan kita salahkan rakyat jika mereka mula berfikir tentang Perdana Menteri akan datang,jika mereka juga sudah mula berfikir apakah PM Najib mempunyai banyak kebaikan atau keburukan kepada orang Melayu,Islam dan negara.

Kepada penasihat-penasihat PM Najib,jika suasana seperti ini dibiarkan berterusan maka untuk menghadapi PRU14 nanti penyelesaiannya ialah kita tidak perlu merancang apa-apa dan plan tindakan terbaik untuk menghadapi PRU14 nanti ialah tidak merancang apa-apa dan cukup dengan kita bertawakal sahaja dan semua pimpinan tidak perlu berubah apa-apa,teruskanlah dengan sikap dan pendekatan yang ada pada hari ini.

Komen-komen daripada orang yang berpengalaman telah diberi,bloger-bloger sama ada yang ternama dan nyamuk telah berikan segala pandangan hasil dari kutipan denyut nadi rakyat,rungutan rakyat terhadap apa juga isu telah diluahkan namun sehingga kini ternyata ianya tidak memberikan apa-apa makna kerana ternyata apa yang disampaikan oleh kelompok Penasihat itu lebih bernilai kepada PM Najib,sebab itulah formula paling baik kepada PM untuk menghadapi semua ini ialah tidak perlu berbuat apa-apa dan cukup dengan tawakal sahaja.

Namun sebagai umat islam yang menjadi umat majoriti dalam negara ini,bangsa Melayu yang menjadi kelompok teramai dalam negara ini,maka marilah kita gunakan senjata yang paling berkesan dan ampuh setelah semua hasil usaha kita gagal iaitu kita berdoa dan saya menyeru kepada jutaan umat Islam dalam negara ini,mengambil keberkatan 10 akhir Ramadhan ini yang padanya terkandung Lailatul Qadar,marilah kita dengan penuh suci hati dan ikhlas memohon ke hadrat Allah di sepertiga malam ini kerana saya yakin ada antara kita yang makamnya tinggi disisi Allah,menjadi para wali,para ulama sejati,para siddiqin,marilah bersama-sama kita berdoa dengan limpahan airmata ke hadrat Allah SWT agar menyelamatkan Agama,bangsa dan negara ini


'Bismillahi rahmani rahim....Ya Allah Ya Tuhan kami,pada saat ini kami bermohon kepada mu Ya Allah, engkau ampunkanlah segala dosa-dosa kami,dosa kedua ibubapa kami,dosa kaum keluarga kami,dosa pemimpin-pemimpin kami dan dosa seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau telah kembali kepadaMu..

Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,kami bermohon kepadaMu Ya Allah, Engkau berikanlah kami ruang dan peluang untuk kami berjuang demi agamaMu,bangsa kami dan negara kami

Ya Allah Tuhan yang Maha Mengetahui...Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui Ya Allah,lantaran itu kami bermohon kepadaMu Ya Allah, engkau berikanlah kekuatan kepada pemimpin kami YAB Dato Seri Najib Tun Razak Ya Allah,berikanlah keberanian untuk beliau bertindak dan Engkau berikanlah kebijaksanaan untuk beliau mengambil keputusan Ya Allah, janganlah Engkau uji kami dengan memberikan kepada kami pemimpin yang bacul dan dayus,jangan Engkau berikan kepada kami pemimpin yang sikapnya bermuka-muka dan suka membohongi kami Ya Allah
  
Ya Allah Ya Tuhan kami,kami bermohon kepadaMu Ya Allah, Engkau berikanlah hidayah kepada Dato Seri Najib Ya Allah untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk demi agama,bangsa dan negara. Engkau berikanlah kepada semua pemimpin kami ini petunjuk untuk sentiasa melihat antara kebenaran dan kebatilan dan Engkau kurniakanlah kepadanya daya fikir yang jelas agar dapat bertindak sebagai pemimpin yang sejati demi bangsa agama dan negara...

Ya Allah Tuhan yang memerintah sekelian alam,kami amat menyanyangi pemimpin kami ini Ya Allah,lantaran itu kami bermohon juga kepadaMu Ya Allah engkau peliharakanlah Dato Seri Najib dari segala muslihat dan tipu daya,peliharakanlah beliau dari orang-orang yang berniat jahat dan khianat,dari kumpulan-kumpulan yangcuba melemahkan beliau Ya Allah,engkau lindungilah beliau Ya Allah,engkau selamatkanlah beliau Ya Allah....

Ya Allah Ya Tuhan kami,akhirnya kami bermohon kepadaMu Ya Allah untuk memberikan kami petunjuk dan kebenaran Ya Allah,jika sememangnya para pemimpin kami ini sudah tidak ada kebaikan yang kami perolehi untuk berjuang demi agamaMu,bangsa kami dan negara kami,maka engkau gerakkanlah kuasa untuk menukarkannya Ya Allah.

Kecintaan kami kepada agama,bangsa dan negara melebihi kasih sayang dan kecintaan kami kepada pemimpin Ya Allah,jika telah sampai masanya beliau perlu ditukar,kami bermohon kepadaMu Ya Allah Engkau utuskanlah pemimpin yng lebih baik untuk kami berjuang bersama-sama Ya Allah,hanya inilah yang dapat kami lakukan setelah segala teguran dan nasihat tidak di dengari maka kami bermohon kepada Engkau Ya Allah Ya Maha Mengetahui dan yang mentadbir sekalian alam dan segala urusan..Amin Ya Rabul Alamin!

By: Sanggah Tok Janggut.

Wednesday, July 31, 2013

NASIB MELAYU BERULANG LAGI....

Bila pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) dipenjarakan atas kesalahan menghina Islam di bulan Ramadhan, sebelum ini mengeposkan gambar hubungan seksnya dalam laman sosial, heboh satu dunia, seolah-olah tidak ada apa lagi yang perlu dibicarakan. Mahkamah tidak adillah dan macam-macam lagi alasan bagi membebaskan mereka ini.

Mereka dikatakan masih muda dan kesalahannya perlu dimaafkan. Lebih kiasu lagi, ada membandingkan kes ini sama seperti Ibrahim Ali (bakar kitab injil), Zulkifli Nordin (ceramah), termasuk juga saya (tulisan). Situasi saya kami berbeza dengan Alvivi. Saya mempertahankan hak kepada yang berhak. Sama ada orang lain dapat menerima atau tidak, terpulang…yang penting, saya tahu apa saya lakukan dalam negara demokrasi.  

Ekoran daripada itu, empat lelaki Melayu setakat ini telah ditahan dan akan dibicarakan, didakwa bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan. Ketika meninggalkan mahkamah, suspek, sambil bergenang air mata sempat melaungkan: "Allahu Akhbar".

Jarang kedengaran orang yang melakukan kesalahan, bertakbir, kecuali dalam kes ini dan beberapa  kes terpencil. Mungkin mereka merasakan tindakannya itu betul. Tuhan sahaja yang tahu.

Malangnya, tidak kedengaran suara membela mereka. Tiada siapa yang peduli, berbanding dengan Alvivi. Apakah anak muda ini tidak muda dan tidak ada masa depan? Apakah tenaga mereka tidak perlukan untuk negara? Apakah anak muda tidak berkelakuan baik seperti dakwaan ibu bapa pasangan itu akan betapa baiknya anak mereka?

Terus terang, saya tidak menyokong anak muda Melayu tersebut, tetapi saya amat bersimpati, kerana saya dapat menyelami dan menjiwai perasaan mereka. Saya amat memahami orang Melayu dan nasib Melayu.

Menurut laporan, kejadian culik itu dikaitkan dengan pasangan kontroversi Alvivi yang didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu "Alvin and Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Ketika kejadian, Mun Tatt sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran, diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta. Mun Tatt yang mendakwa turut dikasari, dibogelkan dan diconteng badannya dengan perkataan "saya hina agama slam".

Dalam sidang media di Klang, Mun Tatt berkata, penculik mengasari, menconteng perkataan di badannya dan memeras wang daripada abang iparnya. Benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Biar polis menjalankan siasatan.

Saya tidak pasti, sama ada kes ini ada kaitan atau tidak dengan Alvivi. Bukan tujuan saya juga untuk membela mereka, salah tetap salah. Tetapi kita perlu lihat juga kenapa anak muda Melayu ini bertindak sedemikian?

Saya hanya ingin membawa pembaca menilai kedua kes ini dengan lapang dada. Dalam kes Alvivi, saya lihat ramai bukan Islam tampil ke hadapan mengatakan keputusan mahkamah itu salah. Yang betulnya, mereka sepatutnya dibebaskan dan dibenarkan ikat jamin.  

Dalam kes anak muda Melayu ini, mereka juga tidak dibenarkan ikat jamin. Tidak ada siapapun bersuara, semua orang mengatakan tindakan itu salah dan salah. Tidak ada berani yang tampil berkata, tindakan mereka itu bersebab, walaupun salah. Nasib Melayu berulang kembali.

Selalu saya ingatkan, jangan cabar orang Melayu, nanti dia mengamuk susah dibuatnya. Saya kenal sangat dengan Melayu, walaupun saya Cina.

Sesekali terfikir juga, tindakan anak muda Melayu ini sebenarnya merupakan ingatan terhadap sesuatu kaum supaya jangan biadap. Tidak kurang juga kepada kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih tegas. Adalah tidak mustahil suatu hari nanti, keadaan akan menjadi lebih buruk, jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung. Orang Melayu amat sensitif dengan agama walaupun mereka tidak solat atau tidak puasa.

Mungkin kita beranggapan bahawa tindakan anak muda ini bodoh atau orang Melayu terlalu beremosi dan sensitif.

Saya boleh bersetuju dengan pendapat bahawa semua ini adalah hasil manifestasi cara orang Melayu bertindak balas apabila mereka dicabar dan dihina. Bayangkan jika pasangan ini dilepaskan, selepas empat anak muda ini didakwa, sudah tentu kemarahan anak muda Melayu akan menjadi semakin meluap.

Justeru, mengambil iktibar daripada kedua kes ini, saya dapat simpulkan bahawa, pertama; agama Islam adalah isu yang amat sensitif bagi orang Melayu, ibarat darah dan daging, walaupun mungkin orang Melayu itu penagih dadah. Mungkin pada orang Cina, agama itu kurang penting dalam kehidupan, yang lebih penting adalah ekonomi. Tetapi tidak kepada Melayu.

Kedua; Hentikan penghinaan kepada semua agama. Namun, penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain, walaupun secara prinsip kita semua tidak boleh menghina agama lain. Oleh kerana agama Islam, adalah agama persekutuan, kedudukannya lebih mengikat.

Akhirnya, bertindaklah dengan tegas terhadap mereka yang secara mengaja mempersendakan agama Islam, tanpa menoleh lagi.
Posted by : Ridhuan Tee.

Tuesday, July 30, 2013

KEKALUTAN HALA TUJU CETUS KRSIS DI MESIR.

mesirdipersimpangan

Rusuhan di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang menghimpunkan lebih setengah juta orang dan mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak, lima orang terkorban serta lebih sepuluh orang tercedera beberapa hari lalu adalah satu petunjuk bahawa bukanlah mudah untuk memelihara kestabilan dan keamanan.

Pada 2011, rusuhan yang berlaku mendesak pengunduran Hosni Mubarak yang memerintah lebih tiga dekad menjadi petunjuk keresahan rakyat, tetapi rusuhan kali ini membawa refleksi bahawa Mesir sebenarnya tidak mudah menerima kepimpinan politik Islam.

Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.

Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.

Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.

Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.

Morsi juga terpaksa mengetepikan diri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Morsi pernah membuat permohonn bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.

Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.

Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.

Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar. Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.

Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.

Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.

Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.

Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan kelemahan itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan revolusi kebangkitan rakyat kedua.

Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah kuasa yang diwujudkan. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.

Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen inilah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan landskap politik negara.

Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil.

Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.

By: Shauki Abd Majid.


Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik