Tuesday, May 14, 2013

ADIL DALAM MEMBERI HUKUM.

by: Fathul Bari.

SALAH satu daripada tohmahan yang sering dilemparkan oleh pihak pembangkang dan penentang kerajaan ialah tidak adil dan zalim. Satu perkara yang perlu kita muhasabah; kita terlalu mudah menghukum orang zalim.

Kita senang sahaja menghukum orang rasuah. Kita menghukum orang makan duit rakyat. Begitu mudah kita menghukum orang dan kemudian kita umumkan hukuman tersebut.

Mungkin sesuatu kesalahan itu dilakukan oleh orang-orang tertentu yang khusus. Tetapi mengapa kita umumkan kenyataan tersebut? Tidakkah kita telah berlaku tidak adil ke atas orang lain?

Seperti mana kalau kita katakan beberapa pemimpin parti pembangkang yang dikaitkan dengan isu moral. Adakah boleh kita mengatakan semua parti pembangkang ini memang kerjanya membuat benda-benda tidak elok, lalu kita mengaitkan parti pembangkang dengan masalah moral secara umum?

Bagi saya itu tidak adil. Itu bukan sifat dan sikap Islami. Tidak sepatutnya kita menghukum secara keseluruhan seperti itu. Kalau seorang membuat masalah, itu merupakan kesalahan seorang individu.

Ini tidak, ada sebahagian pihak yang terus menghukum secara keseluruhan; merekamengatakan kerajaan zalim, kerajaan rasuah.

Saya hendak berikan contoh mudah tentang isu zalim yang ada kaitan dengan sahabat- sahabat Nabi r.a. Ketika Nabi SAW membacakan firman ALLAH, “Orang-orang yang beriman iaitu mereka yang tidak mencampuradukkan iman mereka dengan sebarang kezaliman, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-An’am: 82)

Sahabat-sahabat Nabi berjumpa dengan Nabi SAW, menangis dan bertanya kepada Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadis sahih. “Ketika ALLAH menurunkan ayat: “Orang-orang beriman iaitu mereka yang tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman” (Surah Al-An’am: 82)”. Ketika mendengar ayat tersebut, para sahabat menjadi gelisah. Mereka bertanya kepada Nabi SAW, “Siapakah daripada kalangan kami yang tidak zalim pada dirinya?” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lihatlah, sahabat-sahabat Nabi semua mengaku diri mereka zalim. Kita pula bukan sahaja tidak mengaku zalim, malah sebaliknya kita menuduh orang lain zalim pula. Ini adalah satu penyakit. Penyakit sibuk menuduh orang itu zalim, orang ini zalim.

Sepatutnya kita bertanya pada diri sendiri, adakah kita ini zalim ataupun tidak?

Sedangkan sahabat Nabi pun turut mengaku zalim, mustahil kita ini tidak mengaku diri kita sendiri zalim? Walaupun setelah itu Nabi SAW memberikan penjelasan kepada para sahabat akan pengertian zalim yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Maka Nabi SAW menjawab, “Sesungguhnya yang dimaksudkan zalim dalam ayat tersebut adalah syirik. Tidakkah kalian mendengar perkataan seorang hamba yang salih, “Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang paling besar?”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maknanya firman ALLAH itu tidak ditujukan kepada sahabat Nabi kerana sahabat Nabi tidak syirik kepada ALLAH, mereka hanya melakukan dosa-dosa yang lain, kesilapan- kesilapan lain sebagai manusia biasa.

Termasuk kezaliman yang paling besar ialah berbuat dusta terhadap ALLAH SWT. Ayat yang semakna dengan ini disebutkan lebih dari 10 kali dalam al-Quran yang maksudnya, “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap ALLAH untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan ?” (Surah al-An’am, ayat 144)

Kita harus sentiasa berpegang pada prinsip ini; iaitu jangan terlibat dalam menghukum orang secara umum. Ia haram di sisi syariat. Kalau hendak menghukum, hukumlah kesalahan. Kalau seorang bersalah, maka hanya seorang sahajalah yang salah. Jangan menghukum keseluruhan parti. Tidak kira sama ada Pas, Umno atau PKR, salah individu bererti salah individu. Janganlah kita menghukum secara tidak adil.

Kita mengatakan hendak menegakkan ayat al-Quran, menegakkan hukum ALLAH, maka tegakkanlah dalam diri kita dahulu. ALLAH telah memerintahkan dalam al-Quran sebagaimana firmanNya, “Dan janganlah sekali-kali jenayah sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Maaidah, 5: 8)

Berlaku adillah dalam menghukum. Ini perkara yang perlu kita belajar. Jangan mengikut emosi sehingga apabila tidak bersetuju dengan satu-satu pihak, kita balun semua. Itu sikap yang tidak adil.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik