Saturday, May 25, 2013

ADUHAI, MALUNYA TERSALAH KIBLAT.

MUHAMAD MAT YAKIM
MUHAMAD MAT YAKIM

Hujung minggu lalu, saya kembali ke bilik kuliah selepas 10 tahun. Sudah tentu itu pengalaman yang menarik. Kembali kepada satu keadaan yang penuh cabaran dan tanda tanya. Kini dalam status yang lebih matang, ada bezanya.

Hari pertama, saya menjangka akan benar-benar berada di bilik kuliah. Rupa-rupanya tidak. Kuliah pertama berlangsung dalam bilik mesyuarat. Tanggapan awal saya agak kurang enak. Masakan tidak, setiap hari keluar masuk bilik mesyuarat pada hari bekerja. Lalu pada hari cuti, saya berharap untuk menjauhi suasana yang mengkuyukan mata dengan status baru sebagai 'mahasitua'.

Namun pensyarah kami yang terbang jauh dari Sintok, Dr Rosli Mohamed ternyata berjaya menghidupkan keadaan yang awalnya dijangka membosankan. Kuliah berlangsung dalam suasana santai, bukan proses pengajaran dan pembelajaran yang jumud. Ia sebaliknya lebih kepada perkongsian pengalaman. Mahasitualah katakan!

Salah satunya, dia berikan kami satu artikel dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan ayat: "Anda seorang kapten kapal..." Artikel itu seterusnya menceritakan situasi dilalui kapten kapal berkenaan yang berhadapan dengan suasana cemas di laut.

Akhirnya, satu soalan mudah untuk kami jawab: Berapa usia kapten kapal itu? Berbagai-bagai jawapan diberi yang kesemua disuarakan dengan penuh ragu-ragu termasuk saya sendiri. Saya memilih untuk menjawab 54 tahun dengan alasan, usia itu paling sesuai bagi seorang kapten kapal dengan kriteria cekap, tenang dan matang serta masih belum nyanyuk.

Penting untuk berhadapan dengan apa saja kemungkinan dan kecemasan di laut dalam. Apa yang sebenarnya ada dalam hati saya adalah kerana itu usia Dr Rosli. Faham-faham sajalah!
Kesudahannya, kesemua jawapan kami diisytiharkan salah.

"Umoq kapten kapal tu senang saja, you tengok umoq you sendirilah. Apa umoq you, itulah umoq dia kerana ayat yang pertama bukankah saya minta you hangpa jadi kapten kapal tu?"

Nah! Masing-masing termangu, jadi mangsa kelalaian sendiri. Apabila diberitahu akan ada soalan daripada artikel itu, kami membayangkan soalannya sudah tentu berkisar pada bagaimana atau apa yang dilakukan oleh kapten kapal itu untuk menangani situasi cemas yang dilaluinya.

Lalu kata Dr Rosli: "Dalam apa saja masalah hidup, kita selalu terlupa pada perkara asas. Kita hanya mahu fokus pada apa yang jauh sedangkan perkara yang asas pun kita tak cuba selesaikan."
Itu bukan iktibar bagi saya. Buktinya, petang itu juga saya buat silap yang kedua.

Saya harus masuk semula menyambung kuliah pada jam 3.30. Sedar-sedar sudah jam 3.25 baru teringat belum solat Zohor. Terkocoh-kocoh mencari musolla. Sampai saja, saya terus masuk angkat takbir. Selepas bagi salam, baru saya perasan ada orang masuk solat kemudian. Dia tidak masbuk dengan saya.

Bukan itu saja, ada yang lebih luar biasa sedang berlaku: Saya menghadap ke utara, dia pula ke barat.

"ARGGHHHHHHH!!!!!" Hati membentak. Rupa-rupanya saya tersilap arah Kiblat. Oleh kerana tergopoh gapah tadi, saya terus solat mengikut arah sejadah yang  diletak melintang. Saya tidak perasan ada tanda arah Kiblat di siling musolla itu.

Mahu tidak mahu, saya terpaksa solat semula dan kali ini,  berjemaah. Mujur dia pelajar asing dari Timur Tengah dan tidak mengenali bapa mertua saya. Jika tidak, alangkah malunya...
Itulah, seperti kata Dr Rosli, kita selalu terlupa perkara  asas sedangkan salah satu syarat sah solat ialah menghadap Kiblat.

Kita tengok pula dalam aspek kehidupan kita yang lain. Ada atau tidak kita mengesampingkan perkara-perkara yang sangat penting? Contohnya dalam masing-masing menegakkan matlamat perjuangan politik, setiap hari kita dengar, baca dan saksikan mereka saling menyalahkan. Masing-masing mengaku dialah yang betul.

Sedar tidak sedar, kita terlupa pada perkara yang paling penting iaitu perpaduan. Itu yang diajar oleh agama. ALLAH TAALA juga ada berfirman jika berpecah belah kita perlu kembali kepada tali-NYA. Tetapi itulah kita. Selalu saja buat silap dan buat dosa kerana kebodohan dan kelalaian sendiri.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik