Friday, May 17, 2013

AGENDA PERPADUAN MELAYU PERLU DITERUSKAN.



Agenda perpaduan melibatkan umat Melayu Islam menerusi 'lapangan' kerjasama UMNO dan Pas perlu diteruskan daripada semasa ke semasa bagi memastikan bangsa serta agama Islam dapat diperkasakan sepanjang zaman.

Desakan tersebut disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang turut mengajak pemimpin-pemimpin Melayu Islam menginsafi realiti masa depan bangsa dan agama yang kini mula dirobek pihak-pihak tertentu.

Atas dasar itu, beliau menempelak sikap seorang pemimpin tertinggi Pas yang mengeluarkan kenyataan akan 'meludah' muka mana-mana pihak yang mengusahakan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu di negara ini iaitu UMNO dan Pas.

"Bagi saya, dalam agenda perpaduan yang melibatkan UMNO dan Pas, ia mesti jadi agenda berterusan. Namun, apa yang saya tidak boleh terima, bila ada kenyataan kalau ada usaha untuk menyatukan Pas dan UMNO, muka orang itu akan diludah. Ajaran agama mana ini?

"Saya tahu selepas ini akan ada bermacam tohmahan dan tuduhan tentang kenapa saya memilih pentas bangsa. Salahkah kita bicara tentang bangsa kita? Adakah perjuangan bangsa ini salah di sisi agama?," soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Post Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di sebuah hotel di Menara Mara di sini hari ini.

Wacana yang dikendalikan oleh Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar itu turut menampilkan barisan panel iaitu tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan Felo Himpunan Keilmuan Muslim, Wan Ahmad Fayhzal Wan Ahmad Kamal.

Nasharuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok berkata, usaha penyatuan Melayu Islam ini perlu digerakkan di peringkat bawahan dan oleh itu hanya UMNO dan Pas sahaja dilihat mampu melakukan perkara tersebut.

Oleh yang demikian menurut beliau, isu perpaduan Melayu Islam memerlukan tindakan serta kesungguhan semua pihak dengan kepentingan terhadap keperluan UMNO dan Pas berbincang melihat masa depan negara dengan lebih konstruktif.

"Perkara besar seperti ini mungkin tak dapat natijah dalam tempoh singkat tetapi ia perlu dilakukan untuk kesinambungan Islam dan Melayu sebagai teras negara. Dalam hal bangsa, tiada salah untuk kita berbincang dengan syarat berteraskan Islam," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Pas bertindak menyingkirkan mana-mana ahlinya yang bergerak menyatukan parti itu dan UMNO, beliau berkata: "Padang ini luas dan kalau tak boleh bermain di padang ini, kita boleh bermain di stadium lain".

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik