Thursday, May 9, 2013

AKHIRNYA AKUI SUDAH TIDAK BERDAYA.

"SETIAP ketua ada orang di bawahnya, jadi kita boleh menyerahkan tanggungjawab menguruskan kerja-kerja (tadbir) kepada orang di bawah walaupun saya uzur fizikal.

"Sihat atau tidak inilah saya …nak lawan UMNO bukan perlu ada pada tubuh sihat tapi perlu pada otak betul.

"Saya tidak akan layan desakan daripada mana-mana pihak supaya saya lepaskan jawatan lebih-lebih lagi dari 'pemimpin buangan', kecuali dari parti (Pas) sendiri."

Itu ungkapan yang pernah diluahkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita Oktober tahun lalu ketika beliau diminta mengulas desakan banyak pihak supaya berundur sebagai Menteri Besar Kelantan, kerana kerap keluar masuk hospital akibat masalah kesihatan.

Jelas Nik Abdul Aziz, beliau hanya akan melepas jawatan Menteri Besar, jika desakan itu datangnya dari Pas sendiri.

Bagaimanapun, kelmarin, Nik Abdul Aziz terpaksa menelan air ludahnya, apabila memutuskan untuk berundur setelah lebih 22 tahun menerajui kerajaan. Ironinya, bukan atas desakan Pas sebaliknya atas kemahuan beliau sendiri, dengan alasan sama iaitu faktor kesihatan.

"Hari ini saya sudah tidak ada daya, maka saya beritahu kepada timbalan saya (Datuk Ahmad Yakob), saya tidak mahu (jawatan Menteri Besar) dua hari sebelum pilihan raya dan Alhamdulillah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dengan penuh kasih sayang menerima timbalan saya menjadi Menteri Besar," demikian kata Nik Abdul Aziz kepada pemberita semalam.

Nampaknya, Nik Abdul Aziz terpaksa menerima hakikat bahawa, beliau tidak lagi berupaya untuk terus mentadbir Kelantan-tindakan yang sepatutnya telah lama dibuat, bagi memberi laluan kepada pemimpin pelapis Pas, sebagaimana pernah ditegaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu meminta beliau berundur, ''Kita sudah tua."

Persoalannya, kenapa baru sekarang Pas hendak memberi 'perkenan' kepada pengunduran Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar? Bagaimana pula dengan kedudukan beliau sebagai Mursyidul Am?

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Kelantan itu pernah mendedahkan, beliau tidak boleh bersara kerana tidak diizinkan oleh Pas. Keadaan itu menyebabkan beliau terus mengetuai kerajaan negeri, selain aktif berceramah dan berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 sehingga terpaksa mengabaikan nasihat doktor supaya berehat. Akibatnya, beliau dimasukkan ke hospital selepas PRU-13 berakhir.

Masalah kesihatan beliau bukan isu baru. Ia telah lama diperkatakan apabila bekas Menteri Besar Kelantan itu kerap keluar masuk hospital sehingga gagal hadir majlis rasmi termasuk melibatkan kehadiran Sultan Kelantan.

Hakikatnya, bagi pemerhati politik, pengunduran Nik Abdul Aziz yang terkenal dengan kenyataan penuh kontroversinya termasuk menuduh UMNO parti sekular dan solat orang UMNO tidak mendapat pahala kerana dakwaan parti itu menolak Islam, bukanlah mengejutkan. Bagaimanapun, keputusan beliau itu dikatakan amat mengejutkan ramai pemimpin dan ahli Pas yang dilihat amat bergantung kepada pengaruh dan populariti beliau terutama untuk menarik sokongan rakyat kepada parti itu.

Penggantungan mereka dapat dilihat sepanjang kempen PRU-13 apabila gambar Nik Abdul Aziz yang diberi jolokan Tuan Guru atau Tok Guru, dipasang di merata tempat di negeri ini. Bukan setakat gambar secara solo dalam keadaan tersenyum dan menitiskan air mata. Malah gambar bersama isteri serta sekumpulan remaja dan kanak-kanak turut 'dipertaruhkan' bagi meraih sokongan. Perkembangan itu amat jarang dilihat pada Pas sebelum ini. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga seorang Tok Guru, tidak pula diangkat sedemikian rupa.

Motifnya hanya satu, supaya pengundi melihat betapa hebatnya Nik Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin dan ulama sehingga menjadi idola kebanyakan rakyat Kelantan dan penyokong Pas di luar.

Akibat taksub, maka gambar Nik Abdul Aziz ditampal pada dinding, bangunan dan kenderaan. Gambar Nik Abdul Aziz juga menjadi sumber rezeki kepada segelintir ahli Pas. Begitulah hebatnya aura beliau dalam kalangan ahli dan pengikut Pas.

Kedudukan Nik Abdul Aziz selaku Tok Guru juga menyebabkan tidak ada pihak yang berani menegur ketika beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi termasuk dalam isu kalimah Allah. Mungkin takut kena 'tulah.'

Kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Nik Abdul Aziz juga tidak ramai yang berani mempersoalkan. Semuanya dilihat sempurna, tidak ada cacat celah, meskipun banyak janji tidak ditunaikan.

Nik Abdul Aziz adalah tokoh Pas yang menentang penyatuan orang Melayu dan Islam yang pernah disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang dikatakan dipecat oleh Majlis Syura diterajui oleh Nik Abdul Aziz sendiri.

Dan harapan untuk melihat penyatuan orang Melayu Islam kembali digerakkan pada ketika kedudukan kaum itu dilihat semakin tergugat, tetap sukar apabila Nik Abdul Aziz awal-awal memberi mesej, tidak akan memberi 'restu' dengan alasan Pas belajar daripada sejarah.

Kini timbul persoalan mengenai kedudukan Pas di Kelantan selepas era Nik Abdul Aziz. Pengganti beliau, Datuk Ahmad Yakob dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, tidak pernah melenting atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi.

Ini belum mengambil kira pergolakan yang dikatakan sedang berlaku selepas Datuk Husam Musa, bekas Exco kesayangan Nik Abdul Aziz, tidak dilantik semula.

Mungkinkah selepas era Nik Abdul Aziz berakhir, perubahan akan turut berlaku di Kelantan apabila gelombang merah dan laungan tukar kembali melanda negeri ini? Sama-sama kita nantikan.

sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik