Monday, May 13, 2013

AKU SEORANG RASIS.

By: Ruhanie Ahmad.

Orang Melayu yang mempertahankan identiti, status serta hak-hak Melayu, Islam dan Bumputra di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan sewenang-wenangnya dilabelkan oleh segolongan bukan Melayu sebagai rasis.

Sekumpulan bukan Melayu yang mempertikaikan identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra di dalam perlembagaan yang sama pula dengan angkuhnya mendabik dada kononnya merekalah juara kesamarataan dan hak-hak asasi manusia sejagat.

Dalam konteks hujah ini, maknanya orang Melayu tidak boleh mempertahankan identiti, status dan hak-hak bangsanya, Islam dan Bumiputra. Bukan Melayu pula diizin untuk mempertikaikan identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra. Pendek kata, orang Melayu salah, bukan Melayu betul!

Anehnya, fenomena ini menyebabkan majoriti orang Melayu berdiam diri. Mereka tidak berani mempertahankan identiti, status dan hak-hak bangsanya, Islam dan Bumiputra secara terangan-terangan kerana takut dilabelkan sebagai rasis.

Lantas mereka pun jadi golongan the silent majority yang membiarkan bangsanya, Islam dan Bumiputra diganggu-gugat oleh juara-juara kesamarataan dan kesaksamaan yang kononnya berdiri atas prinsip hak-hak asasi insan sejagat.

Mengapa jadi begini dan sampai bilakah fenomena ini harus kita biarkan wujud? Pertanyaan ini bukan berniat untuk mendorong orang Melayu, Islam dan Bumiputra membenci bukan Melayu. Sebaliknya bertujuan menegakkan kebenaran yang hakiki.

Hakikatnya demikian kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Dalam sesebuah negara seperti Malaysia, tidak sewajarnya identiti, status dan hak sesuatu bangsa dan agama yang termaktub dalam perlembagaan negara diancam atau dipertikaikan.

Jika identiti, status dan hak-hak Melayu, Islam dan Bumiputra ini terus diancam dan digugat kononnya atas alasan prinsip-prinsip kesamarataan barat yang diamalkan di Malaysia secara total, siapa bertanggungjawab jika ancaman dan gugatan ini mencetuskan konflik etnik yang serius dan parah?

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik