Sunday, May 19, 2013

ANWAR SEKADAR KUDA TUNGGANGAN DAP.



FIKIRKAN fakta ini, Barisan Nasional (BN) memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei
lalu dengan matlamat:

* Memperolehi semula majoriti dua pertiga di Parlimen.
* Merampas kembali tampuk pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan serta mengekalkan pemerintahan di Perak.

Bagaimanapun rakyat membuat keputusan sebaliknya, BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga apabila memperolehi 133 daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandingi.

BN hanya berjaya merampas Kedah dan mengekalkan pemerintahan di Perak tetapi Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan kekal di bawah pakatan pembangkang. Di Terengganu pula, BN memerintah ibarat cukup makan sahaja begitu di Negeri Sembilan. Namun BN di bawah kepimpinan PerdanaMenteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menerima dengan terbuka keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Biar pun agak kecewa dengan penolakan besar-besaran oleh majoriti masyarakat Cina akibat terhasut dengan politik DAP, namun BN tidak membantahnya.

Sebaliknya apa yang berlaku, pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pula yang melatah. Mereka kecewa kerana misi untuk menawan Putrajaya sekali lagi gagal. Oleh itu pakatan pembangkang mengamalkan politik songsang dengan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum kali ini secara berpilih-pilih. Mereka menerima keputusan yang menyebelahi pakatan itu tetapi menolak keputusan yang memungkinkan BN kekal memerintah.

Mereka mendakwa BN melakukan penipuan untuk terus berkuasa. Dalam soal ini, rakyat perlu berfikir dengan waras, kalau benarlah BN hendak berbuat demikian, buat apa sekadar menang 133 kerusi Parlimen sahaja? Kenapa hanya menawan Kedah dan mengekalkan pemerintah di Perak sahaja.

Kenapakah penipuan yang didakwa oleh pakatan pembangkang itu tidak dilaksanakan dengan memastikan BN menang majoriti dua pertiga dan menguasai semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan Sebenarnya, teori kononnya wujud penipuan hanyalah sandiwara terbaru pembangkang khususnya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Anwar benar-benar kecewa kerana impian menjadi Perdana Menteri berkecai, begitu juga DAP yang amat berharap mereka akan mampu menjadi ‘taiko’ dalam pemerintahan kerajaan pusat jika pembangkang menang. Justeru sejak keputusan diumumkan pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara.

Sekali lagi pakatan pembangkang khususnya PKR memilih untuk mencabar undang-undang, mereka mengaku menjadi harapan rakyat tetapi sebaliknya menghuru-harakan rakyat, mereka bercakap soal keadilan tetapi mereka sendiri menggunakan hukum rimba bagi membuat tuntutan, mereka kata memperjuangkan demokrasi tetapi merekalah memilih jalan anarkis.

Kenyataan Anwar, kelmarin di Seremban bahawa pembangkang tidak akan menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk memerintah negara sudah membuktikan betapa terdesaknya pembangkang. Ini sikap jahil, bongkak dan angkuh pembangkang yang dipimpin oleh Anwar - seorang ahli politik yang sudah terlalu kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Berikutan perasaan ingin berkuasa yang membuak-buak ia menyebabkan pakatan pembangkang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka. Mereka menganggap PRU-13 pertarungan hidup mati sebab itulah mereka muncul dengan slogan bahasa Melayu lintang pukang ‘‘Ini kalilah’'.

Motif
Kalau difikirkan semula fahamlah kita kenapa pembangkang terus ghairah apabila pemimpin-pemimpin mereka terpekik terlolong di perhimpunan haram sejak selepas PRU-13 lalu biar pun ia melanggar undang-undang.

Motif mereka hanya satu mahu pihak berkuasa menghalang perbuatan biadab mereka dan ia akan menjadi modal politik paling ampuh untuk pembangkang menyerang kerajaan.

Oleh itu dengan sikap biadab dan provokasi yang dilakukan oleh pembangkang, sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas, pemimpin-pemimpin pembangkang yang menjadi penghasut perlu ditahan.

Kita tidak perlu mempedulikan apa negara asing mahu kata jika tindakan tegas berkenaan diambil. Ini negara kita, ini tanah air kita, ini tanah tumpah darah kita, maka biarlah kita yang menentukan bagaimana hendak menentang anasir-anasir porak-peranda seperti pakatan pembangkang ini.

Tiada apa lagi yang hendak dirisaukan jika tindakan tegas diambil kerana selama ini kerajaan BN sudah cukup baik dan bertolak ansur dengan penyokong pembangkang tetapi akhirnya budi baik BN itu tidak dikenang juga. Perjuangan yang dilakukan pembangkang sekarang bukan demi rakyat tetapi demi memenuhi nafsu kemaruk kuasa. Sebab itulah kalau kita saksikan dalam perhimpunan yang diadakan ia disertai oleh sebahagian besar kaum Cina.

Keadaan itu berlaku kerana mereka sudah terhasut mainan politik DAP yang tidak sabar lagi hendak berkuasa. Hasrat DAP menjadi mudah berikutan sikap Anwar yang kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Sememangnya, selama ini pun dalam menjalin hubungan dengan parti-parti pembangkang lain, DAP sentiasa untung. Jika pada awal tahun 1990-an dahulu mereka boleh memperkudakan orang Melayu yang menganggotai Parti Melayu Semangat 46 (S46), kini PKR dan Pas pula menjadi ‘kuda tunggangan. Sebab itulah, keputusan PRU-13 menyaksikan DAP berjaya menjadi dominan dalam pakatan pembangkang apabila memenangi 38 kerusi Parlimen berbanding PKR 28 kerusi dan Pas 21 kerusi.

Tetapi keputusan itu belum memuaskan hati DAP kerana BN masih memerintah, apatah lagi berdasarkan perolehan kerusi yang dimenangi oleh BN, UMNO mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 88 kerusi.

Bagi DAP, selagi UMNO masih kuat selagi itulah impian pembangkang untuk memerintah negara tidak akan tercapai. Berikutan itu mereka berkongsi agenda songsang Anwar dengan menyatakan berlaku penipuan dalam PRU-13 sehingga membolehkan BN kekal berkuasa.

Persoalannya, kalau betullah berlaku penipuan kenapakah undi-undi majoriti kaum Cina tidak menyebelahi BN? Kenapakah pemimpin-pemimpin BN hanya mendapat kurang daripada 3 peratus daripada keseluruhan pengundi Cina?

Pembangkang sepatutnya tidak menafikan fakta bahawa propaganda merekalah yang memungkinkan majoriti masyarakat Cina tidak mengundi BN, namun ia belum berjaya menumbangkan parti tersebut.

DAP tahu mereka tidak boleh bergerak sendirian kerana bimbang akan dituduh cauvinis, justeru cara terbaik ialah bersama-sama Anwar dalam perhimpunan haram.

Mereka menyokong apa juga yang dilakukan oleh Anwar kerana percaya kalau pembangkang menang dalam pertarungan ini yang akan untung bukan Anwar atau PKR tetapi DAP.

Anwar hanya ‘kuda tunggangan’ kepada DAP, sebab itulah DAP sejak dulu lagi terus konsisten untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya. Tidak kisah apa pun yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, DAP tetap menyokong beliau.

Pas menyedari perkara ini sebab itulah parti tersebut membuat keputusan tidak mahu lagi bersekongkol dengan PKR dan DAP dalam menjadikan perhimpunan haram sebagai platform untuk merampas kuasa. Parti itu akur dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Yang anehnya, DAP yang sebelum ini tidak begitu ghairah terlibat dalam perhimpunan haram kini berubah watak selepas PRU-13.

Mereka dilihat benar-benar kecewa kerana perancangan untuk berkuasa dengan memperalatkan PKR dan Pas tidak menjadi kenyataan.

Oleh itu tidak hairanlah DAP akan bersungguh-sungguh bersama Anwar kerana mereka amat ingin mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang bermodelkan pemerintahan di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik