Friday, May 31, 2013

ANWARINAS ROSAKKAN POLITIK PAS.

By: Zulkiflee Bakar.

APABILA Pas membuat keputusan untuk komited dalam kerjasama bagi memburu kuasa politik bersama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, penulis tidak melihat ia satu keuntungan kepada perjuangan Pas. Malah dalam hampir setiap artikel, penulis sering mengingatkan Pas bahawa mereka akan menjadi parti yang paling rugi di muka bumi Allah ini.

Dan ternyata telahan penulis itu benar, apabila dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pencapaian Pas jauh merosot berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

Pada 2008, Pas boleh mendabik dada apabila bukan sahaja mempertahankan Kelantan tetapi juga menguasai Kedah. Di kerusi Parlimen pula Pas berjaya memenangi 31 kerusi. Tetapi kejayaan itu tidak kekal lama, sikap Pas yang sering sahaja menafikan bahawa mereka hanya 'pak turut' dalam pakatan pembangkang dan semakin meminggirkan suara golongan ulama akhirnya membawa padah. Pas hanya terus bertahan di Kelantan tetapi terlepas Kedah dan kehilangan 10 kerusi Parlimen.

Sebab itulah, apabila PRU-13 berakhir, ramai pihak sama ada di dalam atau di luar Pas berpendapat, parti itu harus kembali mengukuhkan kepimpinan ulamanya. Sudah cukup selama ini, Pas dilihat hanya mengikut telunjuk atau terperangkap dengan mainan politik kumpulan Anwarinas dalam parti itu sehingga memungkinkan imej Pas sebagai parti Islam tergadai.

Semua itu berlaku kerana kelompok Anwarinas terlalu menjaga hubungan politik dengan PKR dan DAP kerana mereka sudah terpengaruh dengan impian untuk menawan Putrajaya. Tetapi kesudahannya, Pas bagaikan lebai malang menang sorak kampung tergadai. Sebaliknya PKR dan DAP semakin memperkukuhkan kedudukan dan sudah pasti yang paling untung adalah DAP kerana menguasai 38 kerusi Parlimen sekali gus menjadikan parti itu paling dominan dalam pakatan pembangkang.

Taktik politik pemimpin-pemimpin DAP yang menentang habis-habisan perjuangan negara Islam Pas dan tidak pernah berundur biar pun setapak dalam soal hukum hudud telah memungkinkan mereka mengaut keuntungan melalui sokongan pengundi bukan Islam. Apatah lagi sikap konsisten DAP dalam soal itu disokong oleh PKR dan dibantu pula oleh puak-puak Anwarinas dalam Pas, kesudahannya Pas yang rugi. Kini persoalannya ke manakah Pas selepas ini? Apakah Pas ini terus berada di bawah 'pemerintahan politik' PKR dan DAP atau memilih haluan sendiri dengan memastikan kepimpinan ulama diperkukuhkan semula.

''Nampaknya ada usaha daripada pihak Pas ingin keluar Pakatan Rakyat, cuma sekarang Dewan ulama Pas dan Ahli Majlis Syura ulama Pas masih mencari jalan sama ada bergabung dengan UMNO ataupun tanpa UMNO, Pas nampaknya tidak boleh bertolak ansur lagi dengan DAP dan PKR yang asyik mengetepikan mereka.

''Walhal DAP dan PKR mempunyai kerjasama yang baik, sehingga Pas kehilangan sokongan Melayu disebabkan tunduk pada DAP dan PKR, negeri Pas tawan pun jatuh kepada UMNO itu menyebabkan Pas semakin bimbang tentang sokongan rakyat terutama orang Melayu , mereka sebenarnya masih lemah dalam Parlimen nak di bandingkan PKR dan DAP yang kuat.''

Itu antara komen dan rungutan yang kini berlegar-legar dalam 'drama politik' Pas. Sudah pastilah apabila sebut sahaja keluar daripada pakatan pembangkang akan ada pemimpin Pas yang akan melenting, apatah lagi apabila menyebut soal hendak bekerjasama dengan UMNO.

Kita sudah lihat baru-baru ini bagaimana seorang pemimpin Pas begitu marah apabila ada usaha untuk menyatukan antara dua parti Melayu itu. Bagi pemimpin berkenaan seolah-olah satu dosa besar kalau UMNO dan Pas yang terdiri daripada orang Melayu dan umat Islam bersatu. Tetapi yang anehnya, pemimpin ini lebih rela tunduk kepada pemimpin DAP dan PKR.

Entah mengapa sejak berkawan dengan PKR dan DAP, ada dalam kalangan kepimpinan Pas hilang keyakinan diri. Bagi mereka, kalau keluar pakatan maka hancurlah politik Pas, kalau berkawan dengan UMNO ia akan membawa petaka kepada Pas!

Namun begitu, apa yang berlaku sekarang jelas membuktikan Pas tidak mengaut apa-apa keuntungan sejak berkawan dengan PKR dan DAP. Sudahlah prinsip perjuangan sendiri terpaksa digadaikan, perasaan hormat pemimpin PKR dan DAP terhadap pemimpin Pas juga semakin terhakis. Sebab itulah ada pemimpin DAP sanggup merendah-rendahkan pemimpin Pas termasuk Majlis Syura Ulama dan pemimpin PKR begitu lantang mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka seperti mana dilakukan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Semua itu berlaku kerana pemimpin DAP dan PKR selama ini tidak pernah ada perasaan hormat yang tinggi kepada Pas. Mereka hanya berkawan dengan Pas semata-mata untuk kepentingan politik bagi memperkudakan Pas mendapat sokongan orang Melayu. Sebab itulah, jika pemimpin, ahli dan penyokong Pas tidak mahu mereka berada dalam kedudukan sekarang, mereka perlu mendesak supaya kepimpinan ulama kembali diperkasakan dalam parti itu.

Jika diperhatikan, selama ini golongan ulama dilihat sering menjadi 'penghadang' untuk menghalang Pas mengikut rentak politik PKR dan DAP, walaupun suara mereka agak tenggelam berikutan tindak balas golongan Anwarinas namun ulama tetap menjadi idola bagi sebahagian besar pengikut Pas. Justeru adalah wajar, selepas apa yang berlaku kepada Pas dalam PRU-13, kepimpinan ulama dalam parti itu diperkasakan semula. Pas sudah belajar kini keghairahan untuk berebut kuasa dengan sanggup mengorbankan segala-galanya demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP tidak ke mana.

Sebaliknya parti itu terus mengalami kemerosotan dalam sokongan politik, mungkin kalau Pas bergerak sendirian dan meletakkan kepentingan perjuangan Islam mengatasi segala-galanya mereka tidak akan menerima nasib seperti sekarang.

Memandangkan Pas akan mengadakan pemilihan pada November ini adalah wajar jika ia dijadikan platform terbaik ahli-ahli parti itu melancarkan 'operasi penggeledahan dan pembersihan' bagi memastikan kumpulan Anwarinas disingkirkan.

Ternyata sekali kewujudan kumpulan Anwarinas ini lebih banyak merosakkan Pas berbanding menjadikannya sebagai parti yang dihormati. Ahli-ahli Pas tidak ada pilihan, jika mereka mahu melihat parti itu terus dihormati dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, maka pastikan golongan ulama kembali berkuasa dan menjadi dominan. Jangan biarlah lagi golongan itu sekadar menjadi 'perhiasan' apabila nasihat mereka tidak didengari, kata tidak turuti dan arahan mereka diingkari.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik