Monday, May 13, 2013

APA "SAHAM" PAS DALAM PAKATAN PEMBANGKANG?

By: Dr Firdaus Abdullah.

PADA hemat saya soalan "Apa lagi Cina mahu?" wajarlah ditambah dengan satu soalan lain: "Apa sebenarnya yang Pas mahu?" Tetapi sebelum melanjutkan perbincangan tentang "apa yang Pas mahu" itu, sorotan yang lebih objektif dan seimbang wajar dilakukan untuk memahami latar belakang dan kemunculan soalan "apa lagi Cina mahu?" yang kononnya menyinggung perasaan sebahagian orang Cina tetapi enggan memahami perasaan dan sebab musabab kenapa sebahagian orang Melayu sampai bertanya begitu.

Soalan itu telah diangkat menjadi tajuk berita dalam akhbar Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu, dua hari selepas selesainya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Berbulan-bulan sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan berminggu-minggu sebelum hari mengundi, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan berbagai perkara untuk menawan hati masyarakat Cina, sama ada melalui arahan administratif atau dalam peruntukan segera atau dalam bentuk janji dan perakuan. Dan lebih setengah abad sejak Persekutuan Malaysia (sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu) merdeka, berkat kerjasama dan formula perkongsian kuasa UMNO dan MCA dalam Parti Perikatan dan kemudian BN, masyarakat Cina mencapai kemajuan yang fenomenal di bidang politik, kebudayaan dan pendidikan di samping ekonomi yang dimaklumi mereka sudah amat maju.

Tetapi bila semua kertas undi selesai dikira dalam PRU-13 lalu, ternyata 90% peratus pengundi Cina memilih calon-calon DAP yang begitu lantang melaungkan keinginan untuk menumbangkan kerajaan BN. Sebelum itu, untuk sekian lama DAP dianggap sebagai pendukung gagasan "Malaysian Malasysia" warisan Lee Kuan Yew dari Singapura yang hendak menghakiskan warisan-warisan Melayu dalam kehidupan budaya dan politik negara Malaysia ini.

Sikap dan kecenderungan mengundi masyarakat Cina yang sedemikian telah ditafsirkan oleh masyarakat Melayu sebagai penolakan "salam persahabatan" yang dihulurkan oleh pimpinan kerajaan (BN) yang didukung oleh sebahagian besar bangsa Melayu melalui UMNO dan sebahagian masyarakat Cina melalui MCA. Maka muncul soalan yang dijadikan tajuk berita tersebut yang juga telah mencetuskan kontroversi.

Sebahagian orang Cina kononnya merasa tersinggung dengan soalan sedemikian. Sementara itu, sebahagian bangsa Melayu merasakan soalan itu (yang mungkin boleh diungkapkan dengan nada atau gaya bahasa yang lebih halus) menganggap itu sebagai luahan kekecewaan atau perasaan "jauh hati" kerana huluran tangan persahabatan tidak diterima. DAP yang dikenali sebagai rasis dan anti Melayu mendapat sokongan pengundi Cina secara besar-besaran, manakala MCA dan Gerakan yang lebih bersahabat dengan bangsa Melayu, diabaikan.

Semua itu menyebabkan bangsa Melayu merasa kuasa politik mereka semakin terhakis sedangkan kemajuan sosio-ekonomi mereka masih jauh terkebelakang berbanding orang Cina. Itulah yang menyebabkan seorang kawan berbangsa Melayu bertanya: "Dalam percaturan politik antara kaum di negeri ini sekarang di manakah batas keterhakisan politik Melayu?" Atau sejauh manakah keputusan PRU-13 itu memperlihatkan keterhakisan politik Melayu?"

Sehubungan dengan semua soalan di atas saya sendiri ingin menanyakan soalan lain yang yang ada kaitannya dengan keterhakisan politik dan pendirian dua parti politik Melayu yang besar di negara ini. "Apa yang sebenarnya Pas mahu?" Dan kalau soalan itu hendak ditambah satu lagi, saya ingin bertanya: "Di mana sebenarnya silap UMNO?"

Mahu tidak mahu kita mesti mengakui bahawa keterhakisan politik Melayu seperti terbayang dalam keputusan PRU-13 itu mempunyai kaitan dengan keinginan dan arah tuju Pas dan "kesilapan (kecuaian dan kesombongan?) UMNO". Kerana itulah kita mesti bertanya: "Apa sebenarnya yang Pas mahu?" dan "Di manakah UMNO silap langkah?" Atau mungkin ada pula yang ingin bertanya: "Apakah UMNO masih relevan?"

Prestasi Pas di Kedah dan Kelantan dalam PRU-13 lalu merosot secara hakiki (dengan kehilangan kuasa memerintah di Kedah dan kemerosotan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi di Kelantan). Pada keseluruhannya di Parlimen pun bilangan kerusi yang dimenangi merosot berbanding sebelum PRU-13 dan berbanding dengan DAP dan PKR, bilangan kerusi yang dimiliki Pas diParlimen adalah paling sedikit.

Pada keseluruhannya antara tiga parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat yang paling besar mendapat kemenangan adalah DAP (38 Parlimen dan 95 DUN). Prestasi PKR di peringkat Parlimen (30 kerusi) melebihi Pas (21 kerusi). Tetapi pada peringkat DUN, prestasi Pas (85 kerusi) lebih tinggi daripada PKR (49 kerusi).

Kesimpulannya, yang paling beruntung adalah DAP. Dan secara perbandingan yang paling kecundang adalah Pas, walaupun pada peringkat DUN bilangan kerusinya bertambah, termasuk pertambahan di Selangor daripada lapan kepada 15. Tetapi Pas kehilangan satu negeri (Kedah) dan mengalami kemerosotan kerusi dalam DUN Kelantan.

Pertambahan kerusi yang dimenangi Pas dalam DUN Selangor itu perlulah dinilai dari pelbagai sudut dan perlu juga dilihat daripada manfaat yang diperoleh Pas dalam mencapai matlamat perjuangannya. Apakah peranan dan sebesar apakah "saham" yang akan diberikan kepada Pas dalam mentadbir Selangor. Adakah nasib Datuk Dr. Hasan Ali (bekas Exco ) yang menjadi mangsa konspirasi DAP akan menimpa Pas sekali lagi?

Adakah pertambahan bilangan kerusi DUN Selangor yang dimenangi Pas itu akan menambah kuasa tawar-menawarnya dalam percaturan politik intra-Pakatan. Apakah tidak wajar untuk menimbangkan ADUN Pas dilantik menjadi Menteri Besar? Atau adakah Pas akan merelakan dirinya menjadi "bunga kertas" atau "penghias" dalam Pakatan Rakyat?

Tetapi yang lebih penting dari segalanya dan wajib ditanyakan dalam realiti politik yang wujud sekarang ialah: "Apakah sebenarnya yang Pas mahu?" Dan untuk apa sebenarnya Pas menyertai Pakatan Rakyat? Adakah tujuannya sekadar untuk meminggirkan UMNO kerana "dendam" dan "kebencian" terhadap tokoh-tokoh tertentu dalam UMNO? Tidakkah Pas "membakar kelambu kerana marahkan nyamuk?' Adakah Pas benar-benar yakin bahawa matlamat perjuangannya lebih mudah dicapai melalui persekongkolan dengan DAP?

Secara jujur Pas perlu bermuhasabah. Soalan "Apa yang sebenarnya Pas mahu?" mestilah ditanyakan kembali dengan keinginan mencapai matlamat perjuangan. Pas itu mestilah diungkap dan dirumuskan kembali secara konsepsual dan sistematik. Strategi untuk mencapai "matlamat" . Dan "rakan kongsi" untuk mencapai matlamat perjuangan itu mestilah dikenal pasti dengan bijaksana. Meminjam nasihat dari satu perbilangan adat Minangkabau: "Jangan sampai tukang pancing dilarikan ikan" Jika sesat di tengah jalan, eloklah kembali ke pangkal jalan. Allahua'lam


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik