Tuesday, May 21, 2013

AURA PEMIMPIN MUDA DI KEDAH.


ANGKA 48 memberi erti persamaan antara Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Hussein Obama ketika berada di puncak kuasa.

Mukhriz yang dilahirkan pada November 1964, mengangkat sumpah memegang jawatan orang nombor satu di Kedah itu pada 6 Mei lalu ketika berusia 48 tahun, enam bulan (mengikut kiraan bulan).

Obama yang dilahirkan pada 1961, mengangkat sumpah memegang jawatan yang dikatakan paling berpengaruh di dunia itu, juga ketika berusia 48 tahun iaitu pada Januari 2009 selepas menang pilihan raya presiden pada November 2008.

Sungguh pun begitu, dari segi usia, Mukhriz dan Obama tidak dapat menandingi kehebatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Menteri Besar Pahang dengan jayanya seawal usia 29 tahun pada 1982.

Dari sudut lain, Mukhriz sebagaimana Obama, sebaik-baik sahaja memegang jawatan tertinggi masing-masing, berdepan dengan cabaran yang hampir sama iaitu mengurus krisis kewangan.

Obama terpaksa menangani krisis kemelesetan ekonomi global dan krisis kewangan AS manakala Mukhriz berdepan dengan usaha mengatasi masalah kewangan negeri dan kelembapan ekonominya selepas gagal ditadbir oleh Pas Kedah.

Akibat kekurangan sumber kewangan negeri, Pas Kedah terpaksa menebang balak, timbul krisis kewangan di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hingga kebajikan warganya terabai, kerajaan negeri memansuhkan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM), lesen pusat hiburan banyak dikeluarkan dan sebagainya.

Warisan peninggalan Pas Kedah penuh permasalahan, contohnya kadar kemasukan pelaburan asing terlalu kecil hingga projek-projek pembangunan terbantut dan hasil pendapatan negeri tidak berkembang.

Ke depan, rakyat meletakkan harapan menggunung tinggi terhadap pentadbiran Mukhriz bersama saf kepimpinan exco-exco baharu untuk membawa mereka keluar daripada belenggu itu dan seterusnya mencapai hasrat Kedah sebagai sebuah negeri maju berpendapatan tinggi.

Apa yang menarik barisan Exco itu juga mencerminkan keyakinan terhadap golongan muda apabila enam daripada lapan Exco dilantik pada 15 Mei lalu adalah pemimpin berusia 40-an dan yang termuda ialah Pengerusi Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Nor sabrina Mohd. Noor, 34.

Exco berusia 40-an ialah Datuk Suraya Yaacob, 44, sebagai Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan; Badrul Hisham Hashim, 44, (Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan), Aminuddin Omar, 45, (Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-Badan Bukan Kerajaan), Mohd. Rawi Abd. Hamid, 46, (Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan) dan Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, 49, (Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan).

Hakikatnya, pelantikan mereka bukan sahaja diyakini mampu membawa idea-idea baharu dan segar dalam pasukan tranformasi negeri tetapi juga dilihat berupaya menggalas tanggungjawab di portfolio masing-masing berdasarkan latar belakang dan merit.

Apatah lagi, mereka digabungkan dalam kombinasi mantap pemimpin berpengalaman iaitu Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail, 60, selaku Pengerusi Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dan Datuk Tajul Urus Mat Zain, 61, selaku Pengerusi Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya.

Melihat kepada strategi dan pendekatan kepimpinan negeri dengan dibantu kesinambungan erat antara pentadbiran Kedah dengan Kerajaan Pusat, hasrat rakyat tersebut tidak mustahil untuk dicapai.

“Mungkin ada yang akan berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil, Kedah takkan maju, takkan mampu majukan Kedah, tapi percayalah ia tidak mustahil selagi kita fikirkan inilah masanya untuk melakar masa depan yang lebih cerah," kata Mukhriz pada majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional (BN) peringkat Jerlun baru-baru ini.

Antara strategi itu ialah cadangan mewujudkan bandar getah di Padang Terap, hab aeroangkasa di Changlon, kawasan perindustrian bercampur Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dan pusat industri minyak di Jerlun dan Yan.

Kerajaan negeri bakal meningkatkan jumlah pelaburan berskala besar dengan mewujudkan taman teknologi baharu seumpama Taman Teknologi Tinggi Kulim selain memajukan lagi sektor pelancongan.

Melalui sektor pendidikan tinggi dengan membuka sebuah universiti penyelidikan dan pembangunan teknologi tinggi antarabangsa di Alor Setar.

Mukhriz juga menggariskan agar kemajuan negeri bukanlah pembangunan infrastuktur fikizal sahaja tetapi ia juga merangkumi pembangunan sahsiah, rohani, sosial dan kebajikan rakyat.

Kesemua rancangan itu dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun sebagaimana terkandung dalam manifesto Aku Janji BN.

Apa pun, di bahu kepimpinan negeri kini tergalas amanah besar untuk menjayakan segala perancangan berkenaan dan sekali gus memastikan kemajuan rakyat dan negeri Jelapang Padi ini.

Sumber : UMO.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik