Thursday, May 16, 2013

BARISAN KABINET BARU.

by: Zulkifli Jalil.

Barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan seorang pun anggota yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu. Ini berbeza dengan Kabinet 2009 yang masih ada elemen berkenaan.

Ternyata Barisan Nasional (BN) membalas kepercayaan mandat rakyat dengan menampilkan Kabinet yang akan lebih berkhidmat untuk rakyat.

Kabinet kali ini menampilkan gandingan muka lama dan baharu dalam usaha meneruskan agenda transformasi negara. Mereka terdiri daripada 29 menteri dan 27 timbalan menteri bagi 24 kementerian.

Selain terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda, Kabinet yang dibentuk 10 hari selepas PRU-13 itu meskipun membarisi Bumiputera namun ia merupakan Kabinet Malaysia yang boleh berkhidmat untuk semua kaum.

Lagi pun, Bumiputera turut merangkumi pelbagai etnik, budaya agama termasuk Kristian di Sabah dan Sarawak. Sesuatu yang menyerlah dalam barisan baharu ini adalah keanggotaan ramai wakil Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan satu penghargaan kepada parti-parti komponen BN kedua-dua negeri itu yang telah membentuk lebih 30 peratus atau 47 kerusi daripada keseluruhan 133 kerusi Parlimen yang dimenangi BN di peringkat Persekutuan.

Dan jika sebelum ini Kabinet menampilkan empat menteri dari Sabah, kini bertambah dua, menjadikan enam. Sarawak pula menyaksikan tujuh menteri berbanding tiga sebelum ini.

Antaranya muka baharu, Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Richard Riot (Sumber Manusia), Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Dr. Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Selain itu yang dikekalkan, Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau) dan Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Pada PRU-13, BN Sarawak menyumbang kemenangan 25 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala Sabah menang 22 daripada 25 kerusi Parlimen.

Semalam, Najib turut memperkenalkan kabinet yang mantap dengan mengurangkan bilangan kementerian kepada 24 daripada 25, dan menyelaras beberapa aktiviti dan bidang tugas kementerian-kementerian.

Antara kementerian yang diselaraskan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan menjadi Kementerian Pelajaran yang akan diterajui dua orang menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diselaraskan menjadi Kementerian Wilayah Persekutuan manakala portfolio kesejahteraan bandar di bawah kementerian itu digabungkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Fungsi kementerian diyakini mempunyai sinergi agar lebih efektif. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pula diselaraskan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala elemen kebudayaan dicantumkan dengan Kementerian Pelancongan.

Dengan keyakinan untuk meneruskan momentum transformasi nasional di samping dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Kabinet baharu ini diyakini memiliki kewibawaan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran serta mempunyai tingkah laku yang disukai rakyat.

Selain diperkukuhkan oleh dua wakil generasi muda, Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) dan Abdul Rahman Dahalan, Najib turut membawa masuk Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low, yang dilihat sebagai bukti keseriusan beliau untuk mempertingkatkan lagi integriti dalam kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Pemilihan Presiden Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menganggotai Kabinet juga dilihat sebagai usaha serius Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan agenda transformasi ekonomi negara.

Pengalaman Abdul Wahid sebagai teknokrat dalam bidang perbankan dipercayai dapat membantu kerajaan menjayakan lagi program transformasi. Paul Low pula akan menumpukan kepada pengukuhan integriti menerusi Institut Integriti Nasional (IIN) dan menangani hal-hal berkaitan Biro Pengaduan Awam.

Ketiadaan wakil MCA dalam Kabinet kali ini semua maklum kerana pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan setelah prestasinya pada PRU-13 lebih teruk daripada PRU-12.

Pada PRU-13, MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri. Bagaimanapun kedudukan MCA dalam Kabinet menerusi satu slot untuk portfolio Menteri Pengangkutan akan ditentukan kemudian.

Sebelum Parlimen dibubar pada 3 April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan). Chee Heung dan Tiong Lai menang dalam PRU-13.

Selain itu terdapat tujuh timbalan menteri dari MCA iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani); Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir. Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr. Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Dalam pada itu, Gerakan yang turut gagal meraih sokongan kaum Cina dalam PRU-13 tidak mengisi slot dalam Kabinet. Sebelum ini, Gerakan mempunyai seorang menteri penuh apabila Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, sebelum ini dua lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Penyertaan enam wakil India dalam Kabinet Najib - dua menteri dan empat timbalan menteri - juga adalah julung kali dilakukan Perdana Menteri. Ini termasuk memberi keutamaan dan kepercayaan kepada dua wakil yang bukannya dari MIC, yang membawa perubahan besar terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat India.

Mereka ialah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, mengetuai barisan wakil MIC dalam Kabinet ialah Presiden parti itu Datuk Seri G.Palanivel yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan timbalannya Datuk Seri Dr. S.Subramaniam pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Ketiadaan menteri dari Selangor dalam Kabinet, dengan pengguguran Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dipercayai ada kaitan dengan prestasi merudum BN Selangor dalam PRU-13.

Ketiadaan Datuk Shaziman Abu Mansor (penyandang Menteri Kerja Raya) dalam Kabinet baharu ini dikatakan dari keputusannya sendiri yang menarik diri. Kabinet kali ini juga menyaksikan Datuk Seri Idris Jusoh kembali menganggotai Kabinet manakala Datuk Seri Shahidan Kassim dari negeri ke Pusat. Yang naik pangkat dari timbalan menteri ke menteri pula ialah Datuk Hasan Malek dan Rohani.

Sementara itu, penyertaan kali pertama Khairy yang lompat terus ke jawatan menteri sememangnya diramalkan banyak pihak dan pemerhati. Dan lebih ketara lagi, Khairy mampu mendampingi golongan muda.

Dalam keadaan sekarang suara anak muda tidak boleh dipinggirkan kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik negara mewakili jumlah yang bukan sedikit. Dan buktinya, keputusan PRU-13 baru-baru ini turut dipengaruhi oleh pengundi muda yang rata-ratanya dilihat ke sebelah sana.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik