Thursday, May 16, 2013

BARISAN MENTERI DAN TIMB. MENTERI ANGKAT SUMPAH JAWATAN.


16 MAY 2013.
TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH
Oleh: Hilmi Haji Ali.
Barisan menteri dan timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini.
Mendahului upacara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1.
Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula jam 10.10 pagi disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia kemudian diteruskan bagi menteri dan timbalan menteri. Ia dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.
Dalam pada itu, menteri dan timbalan menteri yang ditemui menyifatkannya tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka merupakan satu amanah yang berat.
Namun mereka berikrar untuk menggalasnya dengan baik.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pelantikan beliau memberi harapan yang tinggi kepada belia terutama dalam industri sukan negara.
“Mereka mengharapkan Malaysia akan layak ke Piala Dunia.  Selaku wakil belia juga, saya akan cuba memperbetulkan tanggapan orang muda terhadap kerajaan supaya aspirasi dan pandangan mereka dapat diketengahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan pelantikannya itu merupakan satu amanah dan memegang tanggungjawab yang tinggi terutama bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.
“Ia (pelantikan) merupakan satu langkah tepat oleh Perdana Menteri, saya percaya beliau mengetahuinya kerana Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan,” katanya.
Seorang lagi Menteri, Datuk Seri Shahiddan Kassim ketika ditemui pula  merakamkan penghargaan kepada Najib atas pelantikan tersebut.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya mulakan kehidupan baru dengan bekerja keras kerana rakyat telah membuat keputusan,” katanya.
Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pula menyifatkan pelantikannya sebagai pengiktirafan kepada Puteri UMNO.
“Saya akan bekerja keras untuk memastikan semua program di bawah Kementerian Kerja Raya akan berjalan lancar,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan.
Bagi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Saddique pula, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada wanita sekali gus menunjukkan peranan wanita dihargai kerajaan.
“Kali ini ramai wanita duduk di dalam Kabinet. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya.
Seramai 33 menteri dan 26 timbalan menteri mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13,  5 Mei lepas, Barisan Nasional mengekalkan kuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik