Friday, May 17, 2013

BERSIHKAN MAKHLUK PEROSAK PERKHIDMATAN AWAM.

By: Jamal Lulkhir Jaludin.

PILIHAN Raya Umum Ke-13 telah pun menutup tirainya. Alhamdulillah, keputusan masih berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Majoriti rakyat Malaysia masih yakin akan kredibiliti dan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Satu petanda dan isyarat yang jelas bahawa kaum Cina menolak BN secara total, dianggarkan tidak sampai 10 peratus yang menyokong BN pada PRU-13.

Mereka memberi kepercayaan penuh kepada parti harapan mereka iaitu DAP. Sukar untuk difahami kehendak mereka dan janji-janji yang telah disimpul rapi antara DAP dan kaum Cina itu sendiri. Satu isyarat juga kepada bangsa Melayu untuk kembali bersatu seperti yang telah kaum Cina tunjukkan kepada kita.

Perkara yang amat penting buat BN terutama kepada UMNO dalam membuat analisis dan kaji selidik PRU-13 ialah sokongan kakitangan kerajaan kepada BN.

Perkara ini perlu diambil serius kerana terdapat di kalangan kakitangan kerajaan yang menyokong pembangkang pada PRU-13 telah bertindak agak keterlaluan dan mereka ini saya gelar 'makhluk perosak'.

Makhluk perosak ini amat bahaya kerana mereka bukan sahaja menghasut ahli keluarga dan saudara-mara untuk menyokong pembangkang pada PRU-13 malahan hingga ke peringkat menghasut rakan sekerja dengan melemparkan pelbagai dakwaan yang kebanyakannya dikutip daripada sumber maklumat internet dan program ceramah pihak pembangkang yang mereka ikuti untuk memburukkan imej majikan mereka iaitu pihak kerajaan.

Ia menular ke seluruh tanah air bagaikan virus yang merebak dalam skala yang besar termasuk di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan iaitu Putrajaya. Makhluk perosak ini perlu diberi kaunseling dan nasihat supaya menghentikan segera kerja terkutuk mereka.

Sebagai kakitangan awam yang bekerja dengan pihak kerajaan maka mereka tertakluk dengan etika dan peraturan tertentu sebagai penjawat awam.

Mereka ini seperti 'duri dalam daging'. Walaupun PRU-13 telah selesai namun kerja hasutan mereka masih bergerak secara aktif sama ada ditempat kerja mahupun di laman media sosial.

Untuk jangka masa panjang, ia amat berbahaya dan akan memberi kesan secara langsung kepada keputusan PRU-14 akan datang.

Jika mereka masih meneruskan kerja terkutuk dengan menabur fitnah untuk memburukkan imej pemimpin dan kerajaan yang memerintah, jalan terbaik untuk mereka ialah ditamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan kerajaan.

Beri peluang kepada orang lain untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Sebaiknya, makhluk perosak ini berhenti kerja secara terhormat dan bermaruah.

Pihak kerajaan juga perlu menggerakkan kempen kesedaran untuk menyedarkan rakyat Malaysia mengenai gejala fitnah yang berleluasa di internet terutama di laman sosial seperti Facebook.

Pihak pembangkang menggunakan internet sebagai senjata paling utama sepanjang kempen PRU-13 berlangsung. Kempen kesedaran ini amat penting terutama kepada generasi muda bagi menggelakkan mereka terpedaya dengan segala cerita fitnah yang dijajakan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik