Friday, May 24, 2013

BUKAN SAHAJA GELOJOH TETAPI MEROSAKKAN.

KENYATAAN Timbalan Ketua Pemuda Pas dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menarik untuk diteliti. Terdahulu daripada itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub menyatakan pihaknya berpegang teguh bahawa demokrasi merupakan jalan terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.

Ini diikuti dengan kenyataan Dewan Pemuda Pas dan Ketua Ulamanya menolak politik jalanan seperti yang dianjurkan oleh Anwar Ibrahim. Pemikiran politik matang ini adalah petanda baik bagi memahami sikap Pas yang tidak bersetuju dengan proses yang tidak demokratik untuk mengambil alih negara.

Nik Abduh dalam kenyataannya menolak usaha Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ingin menjatuhkan kerajaan melalui siri perhimpunan jalanan sebagai tindakan gopoh. Pada hemat penulis ia tidak saja gopoh tetapi merosakkan negara.

Nik Abduh juga mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran, bukan hanya ledakan di jalan raya. Anwar tahu al-Quran memberikan petunjuk "Kebenaran perlu disampaikan dengan rasa kesabaran".

Anwar tidak memiliki kualiti ini sejak demonstrasi awalnya di Baling pada tahun 1974 lagi.

Fakta menyatakan ada kebuluran di Baling didapati tidak benar. Tidak ada kesabaran bagi Anwar untuk menyiasat peristiwa itu tetapi menggunakan pelajar-pelajar untuk kepentingan membina imejnya.

Faktor menyerap kesabaran bagi pemimpin politik adalah penting. Jangan berpolitik semata-mata ingin mendukung kepentingan peribadi.

Anwar mempunyai banyak masalah mahkamah yang belum selesai. Apakah demonstrasi jalanan tanpa permit diharapkan memberinya dukungan apabila menghadapi proses mahkamah nanti.

Anwar tidak perlu bimbang dengan proses mahkamah. Kalau dia berada di pihak yang benar, yang hak akan menyebelahinya. Upaya menyerap kesabaran amat dituntut.

Kata Nik Abduh lagi, kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlunya kemenangan yang isinya belum ranum. Kenyataan ini gambaran politik matang dan berpandangan jauh. Kegopohan Anwar mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri tidak bersama dengan kesabaran.

Awal-awal lagi Anwar terlalu yakin bahawa pakatan pembangkang akan berkuasa dan beliau bakal ditabalkan menjadi Perdana Menteri pada 6 Mei lalu. Lonjakan Anwar ini memberi harapan kepada orang Cina inilah masanya untuk memberi sokongan kepada DAP dan memerintah Malaysia.

Sokongan orang ramai dalam kempen tidak mencerminkan ia adalah dukungan mutlak sehinggalah ia diterjemahkan di peti undi. Mengukur sambutan rakyat terhadap usaha Datuk Seri Najib Tun Razak mendekati orang Cina tidak kurang hebatnya. Tetapi dukungan itu apabila diterjemahkan dalam bentuk undi ia didapati lain.

Pilhan Raya Umum Ke-13 sudah berlalu. Kalau ada yang tidak kena kepada proses, sepatutnya ia dibawa kepada pihak yang berkenaan supaya diadili dan ditentukan kedudukannya. Sayang kegopohan yang dimiliki oleh Anwar menyebabkan maksud demokrasi tidak dihayati.

Menarik diteliti pesan Nik Abduh kepada golongan muda supaya insaf kerana semangat berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu kemenangan. Pesan Nik Abduh ini diinsafi oleh generasi muda yang ghairah dengan politik. Ia tidak saja terkhusus untuk generasi muda tetapi juga generasi lama seperti Anwar.

Bagi Anwar, kalau tidak sekarang bila lagi. Menunggu lima tahun tahun adalah suatu tempoh yang menyiksakan. Apa carapun patut dilakukan supaya kerajaan sekarang perlu ditumbangkan walaupun tidak ikut cara demokratik. Kesabaran seperti pesan Nik Abduh adalah kunci yang membuka.

Lima tahun yang bakal datang adalah tempoh terbaik Anwar buat persiapan politik yang lebih berintegriti. Faktor umur yang sudah melepasi 70 tahun bukanlah penghalang. Izinkan politik ranum terjadi, maka petiklah hasilnya jika rezeki ada dan takdir memihak kepadanya.

Pemikiran politik matang Nik Abduh sekiranya dianut oleh aktivis politik Malaysia bakal memberi landskap baru yang menjanjikan.

Bukan saja politik sesetengah pihak di Malaysia gopoh tetapi gagal membentuk budaya politik sihat supaya perbezaan faham politik jangan sampai menimbulkan permusuhan tajam sesama manusia, keluarga apa lagi masyarakat. Ia menimbulkan kebencian yang mendalam bukannya kematangan untuk berbeza pendirian dan fahaman politik.

Sumber: UMO.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik