Sunday, May 19, 2013

CAHAYA DI HUJUNG TROWONG UNTUK PAS.


By: Dr Hassan Ali.

Fakta yang menunjukkan bahawa Pas sedang dikuasai oleh golongan Anwarinas atau Parasit sukar dinafikan. Sejak awal kemasukan beberapa personaliti yang rapat dengan Anwar Ibrahim ke dalam Parti Islam, keadaan itu telah berjaya merubah struktur kepimpinan parti.

Bukan sahaja struktur kepimpinan berubah tetapi disebabkan kelicikan mereka menjalankan misi yang digariskan, mereka telah berjaya mengubah hala tuju perjuangan Pas. Daripada perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan hudud kepada negara berkebajikan yang diwarnai dengan usur-unsur faham liberalisme Barat . Fahaman ini sangat dekat di hati Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP.

Sejak 2008 gerakan Anwarinas atau parasit ini menampakkan tembelang mereka yang sebelum ini berlaku secara covert. Muktamar selepas itu membuktikan bahawa gerakan tersebut telah turun ke akar umbi menjalar ke peringkat cawangan dan kawasan dan akhirnya ke pentadbiran Pas Negeri.

Keputusan pemilihan pada muktamar tahun 2011 adalah kemuncaknya apabila telah merubah struktur dan perjuangan parti seperti yang telah disebutkan.

Mohamad Sabu dengan imej syiah dan masalah “Normah“nya dipilih menjadi Timbalan Presiden mengalahkan calon pilihan Allahyarham Datuk Fadhil Nor, Nasharudin Mat Isa. Husam Musa, Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub terpilih menjadi Naib-naib Presiden yang kesemuanya bukan berlatarbelakangkan ulama.

Begitu juga muka-muka bukan ulama yang dikatakan menguasai lebih 70 peratus keanggotaan Jawatankuasa Agung Pas Pusat. Keputusan muktamar tersebut tanpa disedari sebenarnya telah secara tidak langsung memansuhkan keputusan Muktamar Pas tahun 1982 yang memutuskan bahawa Pas mesti dipimpin oleh Kepimpinan Ulama.

Dominasi golongan Anwarinas atau parasit telah menyebabkan Pas sentiasa berada dalam keadaan terumbang-ambing dan hilang arah tuju. Isu-isu besar masih tergantung-gantung dan terapung-apung.

Isu-isu besar itu termasuklah seperti negara Islam, hudud, kalimah Allah, pluralisme agama, Islam liberal, penggabungan politik (tahaluf siyasi) bersama penentang-penentang Islam dan ada yang menyebutnya sebagai kafir harbi seperti DAP dan sebahagian daripada pimpinan PKR.

Tidak ada kecuali Datuk Dr. Haron Din dan Datuk Harun Taib yang kelihatan cuba bertegas untuk meletakkan Pas kembali ke landasannya bersabit dengan beberapa isu besar yang dilontar kepada masyarakat.
Budaya “flip flop" terbayang begitu jelas. Presiden kata “A", Mursyidul Am kata “B" dan Naib-naib Presiden biasanya berlagak seperti Presiden mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang jelas pada semangatnya berorientasikan pemikiran Anwar dan golongan liberalis di dalam Pakatan Rakyat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 menampakkan ahli-ahli dan penyokong Pas serta pengundi-pengundi Melayu Islam ingin melihat Pas kembali ke tampuk asalnya. Masyarakat Islam memang rimas dan resah dengan cara gaya pimpinan Pas menangani beberapa isu besar. Pengaruh Anwar yang dari segi namanya sendiripun telah tercemar dan tidak dapat diterima terserlah di dalam peti-peti undi.

Maka gugurlah Mohamad Sabu, Husam Musa, Salahudin Ayub, Dr. Dzulkefli Ahmad. Nama-nama “besar" ini kalau diteliti sungguh-sungguh, inilah manusia yang dikatakan bertanggungjawab dan mempunyai peranan mengeluarkan Pas daripada landasan asalnya. Mereka begitu terpengaruh dengan idealisme liberal Barat Anwar Ibrahim.

Dalam banyak hal mereka membantu mengelukan lidah parti Islam itu daripada memberi pandangan dan pendapat mengenai isu-isu fundamental yang melibatkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam.
Tewasnya nama-nama “besar" yang disebutkan mempunyai hikmahnya yang tersendiri apabila digantikan pula dengan nama-nama yang disinonimkan dengan golongan ulama.

Nasarudin Hasan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Khairudin Attakiri, Idris Ahmad, Marzuk termasuk Ahmad Yaacob dan Nik Amar Abdullah yang baru dilantik menjadi Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baru bagi negeri Kelantan adalah antara barisan pimpinan ulama yang Allah telah memilih mereka untuk memurnikan semula arah tuju perjuangan parti Islam itu.

Keadaan bertambah gawat. Gerakan yang diterajui oleh Anwar untuk mengadakan himpunan raksasa menentang keputusan PRU-13 didapati tidak menjadi.

Tidak dinafikan memang ramai yang hadir. Tetapi laporan mengatakan yang hadir kebanyakannya orang bukan Islam dan anak-anak muda yang terikut-ikut dengan propaganda dan dakyah songsang Anwar Ibrahim.
Menjauhi

Dewan Ulama Pas melalui ketuanya menasihatkan pimpinan dan ahli Pas menjauhi gerakan itu. Karpal Singh juga meminta ahli dan penyokong DAP tidak bersekongkol dengan Anwar sebaliknya menumpukan kepada saluran mahkamah sekiranya ingin mendapatkan keadilan.

Jelas kelihatan golongan Anwarinas atau parasit sedang terkapai-kapai mencari sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka dan menyelamatkan aliran liberalisme barat yang cuba diterapkan dalam tubuh badan Pas.

Dengan kecundangnya beberapa pemimpin utama mereka termasuk mereka yang disebut sebagai “the brains" dalam parti Islam itu maka jangka hayat mereka pun turut terjejas dengan teruknya ibarat telur di hujung tanduk.

Hujung tahun ini berlangsung Muktamar Pas yang Ke-59 bagi parti Islam itu. Muktamar kali ini dikatakan antara muktamar yang paling sengit dari segi percaturan di antara calon-calon Anwarinas atau parasit dengan calon-calon yang bakal mempertahankan ketulenan institusi ulama dalam Pas.

Prestasi Pas secara relatif yang begitu buruk dalam PRU-13 menjadikan muktamar sebagai gelanggang bermuhasabah secara kritikal terutamanya ke mana Parti Islam itu mesti dihalatujukan dalam dekad-dekad yang akan datang.

Ternyata barisan kepimpinan yang dilantik dalam muktamar yang lalu yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden sendiri sebagai “Kepimpinan (Kabinet) Pilihan raya" telah gagal sama sekali melonjakkan prestasi parti Islam itu.

Pengaruh Anwar Ibrahim sudah merudum. Di Permatang Pauh sendiri kekurangan majoriti hampir lebih 5,000 undi sepatutnya membawa kesedaran dan keinsafan kepada beliau dan kepimpinan yang menyokongnya di dalam PKR dan juga Pakatan Rakyat.

“Tsunami Cina" walaupun ditolak oleh DAP tetapi pimpinan DAP sendiri tidak mungkin dapat menidakkan wujudnya “Tsunami Cina" itu berdasarkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon-calon DAP.

Di dalam Pas sendiri jatuhnya kerajaan Pas Kedah dan kegagalan memperbaiki jumlah undi di beberapa kawasan dan negeri yang menjadi kubu tradisi Pas sepatutnya dijadikan bahan renungan kepada para perwakilan yang akan menghadiri muktamar Pas nanti.

Pemerhati politik menjangkakan akan berlaku sesuatu dari segi struktur kepimpinan parti tersebut menjelang muktamar nanti. Golongan ulama yang rata-ratanya diperkasakan oleh golongan muda dan pelapis parti mempunyai segala potensi untuk berada di barisan hadapan di dalam saf kepimpinan parti.
Golongan Anwarinas dan parasit pula sedang, masih dan akan merawat kejutan psikologi akibat kekalahan yang tidak dijangkakan oleh sebahagian besar pimpinan mereka.

Ramalan
Atas sebab itu pemerhati politik sekali lagi membuat ramalan bahawa dalam masa terdekat menjelang muktamar Pas Ke-59, ahli dan penyokong Pas boleh menarik nafas panjang menikmati rasa lega bahawa parti yang mereka sayangi lambat laun pulang semula ke tampuknya untuk berada di bawah lembayung Kepimpinan Ulama.

Ahli dan penyokong PAS pastinya tidak dapat melupakan mutiara-mutiara hikmat yang keluar daripada mulut Dr. Burhanudin Helmi, Prof. Dr. Zulkifli Mohamad, Yusuf Rawa dan Fadhil Nor mengenai impian mereka untuk melihat Pas berada di hadapan sebagai pemacu untuk membawa negara ini menjadi negara yang digambarkan di dalam al-Quran Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghaffur.

Seandainya apa yang ada di dalam pemikiran dan benak sebahagian besar ahli dan penyokong Pas untuk melihat Islam itu berada di persadanya maka sudah tentu dengan kekuatan secara “bottom-up" yang boleh dijana oleh anggota parti itu tidak hairan kalau satu jalur baru politik akan diambil oleh pimpinan parti. Jalur baru itu wajar diambil akibat malapetaka yang akan timbul seandainya Pas terus bersekongkol dengan DAP dan PKR. Tanpa berselindung jalur baru itu ialah Pas meninggalkan Pakatan Rakyat.

Jika ini berlaku maka usaha yang selama ini telah dimulakan dan ada waktunya begitu gigih perlu disambung semula. Usaha yang natijahnya akan menentukan kelangsungan umat Islam Melayu di bumi tercinta ini. Kerjasama dan gabungan politik antara Pas dan UMNO mungkin menjadi lebih realistik dan nyata di mata dan hati pimpinan, ahli dan penyokong Pas khasnya.

Didoakan niat suci ini disertai dengan usaha murni oleh semua pihak khususnya ahli dan penyokong Pas untuk membolehkan mereka melaungkan kalimah Allahuakbar.

Kalimat yang benar-benar membawa mesej Allah Maha Besar dan Allah Maha Agung yang cuba untuk dihidup suburkan di bumi Malaysia negara tercinta ini.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik