Saturday, May 25, 2013

CARA TUN DR ISMAIL TANGANI PELAMPAU.

DR MASHITAH IBRAHIM
DR MASHITAH IBRAHIM

Tahun ini genap 40 tahun pemergian pemimpin hebat dan negarawan ulung Tun Dr Ismail Abdul Rahman, anak Melayu pertama memperoleh ijazah doktor perubatan Universiti Melbourne pada 1945.

Lahir di Johor Baru pada 4 November 1915, bapa beliau ialah bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Hj Abdul Rahman Yasin manakala abangnya, Datuk Sulaiman adalah bekas menteri Kabinet.

Seorang yang kuat berpegang kepada agama, dia juga meminati sukan (golf, ragbi, tenis, badminton, tinju dan bola sepak) selain menanam pokok dan mengumpul barangan antik, terutama paip dan pemetik api. Beliau sangat gemar lagu-lagu Melayu asli.

Tun Dr Ismail masuk politik pada 1948 dan menjadi ahli Umno tiga tahun kemudian. Antara jawatan awalnya termasuklah Exco Negeri Johor dan Ketua Pemuda Umno dua kali, iaitu 1954-56 dan 1964-67.

Tun Dr Ismail berperanan penting dalam gerakan mencapai kemerdekaan, termasuk dalam Rundingan Meja Bulat pada 1953 untuk menjalin persefahaman dan persahabatan antara kaum Melayu dan Cina.

Atas ketokohan, keupayaan dan pengalaman beliau, Tun Dr Ismail dilantik Duta ke Amerika Syarikat dan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sepanjang berkhidmat dalam kerajaan, beliau pernah memegang jawatan Menteri Tak Berportfolio, Menteri Hasil Bumi, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Beliau letak jawatan pada 1967, tapi ekoran peristiwa 13 Mei 1969, khidmatnya diperlukan semula dan terus dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Tun Dr Ismail berperanan penting dalam penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) bertujuan memulih ketenteraman awam dan menyelaras semula perkhidmatan awam, tentera dan polis.

Sebagai anggota Majlis Perundingan Negara, Tun Dr Ismail sama-sama terbabit bagi penubuhan Jabatan Perpaduan Negara, penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi nasional, Rukunegara. 

Apabila Mageran bubar dan Parlimen bersidang semula pada 20 Februari 1970, Tun Dr Ismail dilantik Timbalan Perdana Menteri. Beliau cukup berdisiplin dan menjaga masa. Dia juga dikenali kerana ketegasan dan keberaniannya.

Tun Dr Ismail adalah seorang yang suka bercakap terus-terang. Kata-katanya jelas, tiada berselindung atau putar belit. Dalam membuat keputusan, dia teliti tapi rasional dan praktikal.

Beliau memperjuang kepentingan Melayu khususnya hak istimewa orang Melayu, dasar pendidikan negara, mendaulat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu, tetapi tidak meminggirkan hak yang sah bagi bukan Bumiputera untuk melahirkan masyarakat adil dan bersatu padu.

Dari segi kepimpinan, beliau seorang yang moderat dan menentang mereka yang taksub dan ekstrem. Kepada anasir yang menggugat keamanan negara, Tun Dr Ismail berpendirian mereka mesti dibanteras. Kata beliau, orang seperti ini hanya mengikut rasa hati untuk memuaskan nafsu.

“Mereka adalah petualang politik dari jenis yang paling hina kerana tidak dapat memisahkan diri dari kepentingan politik sendiri pada ketika negara memerlukan perpaduan untuk survival. Mereka berlagak sebagai parasit politik. Mereka pura-pura hati kononnya berpandu di atas undi rakyat,” kata beliau.

Tun Dr Ismail berpandangan jauh dan mempunyai keyakinan tinggi kepada golongan anak muda. Padanya, belia boleh digembleng untuk menjadi kuasa positif untuk membina negara. Justeru, mereka perlu berwaspada dan elak daripada dipengaruhi anasir negatif yang mahu menjahanamkan negara.

Belia harus programme atau action-oriented, dan bukannya issue-oriented. Pelajar harus tumpukan pelajaran untuk menimba ilmu yang cukup. Mereka boleh membabitkan diri dengan politik selagi memahami sifat masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, budaya dan agama serta tidak terjebak dengan golongan pelampau.

Pesannya kepada golongan muda: “Tiada buku teks yang mengajar kita untuk memimpin atau untuk hidup. Buku teks hanya penting dan berguna sebagai panduan tapi ujian dan teori yang dipelajari dari buku mestilah dipakai kepada keadaan-keadaan yang konkrit.

"Tiada jawapan yang standard kepada sesuatu masalah kerana tiada masalah yang standard dalam kehidupan.”



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik