Monday, May 13, 2013

DEMAM SELEPAS PILIHANRAYA.

SESUNGGUHNYA adalah sukar untuk memenuhi kehendak manusia. Jika tidak menepati apa yang dihajati maka perasaan marah akan mudah terpercik dan kegilaan semakin menjadi-jadi.

Kerana itu berlakunya rusuhan dan tunjuk perasaan untuk menyatakan perasaan tidak puas hati.

Jika apa yang dituntut itu betul tidak mengapalah tetapi hanya kerana sokongan segelintir minoriti yang cuba menunjukkan bahawa mereka lebih kuat dan berpengaruh tetapi akhirnya menghumban negara dalam keadaan huru-hara, pastinya ia bukanlah sesuatu yang berbaloi.

Pancawarna minggu ini cuba melihat beberapa kejadian berunsur perasaan tidak puas hati akibat keputusan pilihan raya yang kemudiannya diheret ke jalanan hanya kerana tidak dapat menerima kekalahan.

Rusia antara negara yang terheret dalam kancah ini walaupun Presiden Vladimir Putin menang tetapi faktor beliau juga yang masih mahukan kuasa, mengakibatkan rakyat bangkit.

Keadaan sama juga berlaku di Venezuela yang akhirnya berlaku pergaduhan memalukan di Parlimen.

Di Fiji akibat takut kehilangan hak dan keistimewaan, penduduk asalnya telah bangkit dan kemudian bertindak menawan Parlimen akibat hilang kuasa politik.

PILIHAN raya yang berlangsung pada 4 Disember 2011 ini telah menimbulkan kontroversi sejak awal apabila bekas Presiden yang juga Perdana Menteri, Vladimir Putin mahu meneruskan legasi politiknya di negara itu.

Dalam Pilihan Raya Parlimen atau Duma dalam bahasa tempatan, Putin menyimpan hasrat untuk bertanding semula sebagai Presiden setelah tiga tahun menduduki kerusi Perdana Menteri.

Ketika musim berkempen, ramai pemerhati politik menjangkakan Parti Rusia Bersatu (United Russian Party) pimpinan Putin akan menang besar. Tambahan lagi, parti inilah yang telah mengembalikan kegemilangan ekonomi Rusia setelah keruntuhan empayar Soviet dan kepimpinan lemah Boris Yeltsin.

Bagaimanapun keputusannya mengejutkan kerana walaupun menang, majoriti parti itu berkurangan kepada 238 kerusi dari 450 yang dipertandingkan, hilang 77 kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.

Akibatnya rakyat yang sejak awal marah dengan kehendak Putin, serta dengan bertebaran cakap-cakap berlakunya penipuan dalam pilihan raya telah membangkitkan kemarahan segelintir warga Rusia.

Seterusnya berlaku demonstrasi di ibu kota Moscow dan ia membawa persoalan, apakah ini titik permulaan perubahan ala Timur Tengah di Rusia.

Puluhan ribu rakyat Rusia membanjiri jalan-jalan utama bandar raya ini hampir setiap hari sebagai tanda protes pertama terhadap kepimpinan Presiden Putin.

Seperti dijangka, reaksi Putin ternyata keras. Beliau mengarahkan polis untuk meleraikan demonstrasi itu dan menegaskan masih akan terus memegang jawatan Presiden. Namun, kemerosotan sokongan terhadap Putin dan partinya sememangnya mencalarkan imejnya sebagai pemimpin hebat.

Dalam tempoh kurang sehari perhimpunan menentang Putin berlaku, pemimpin pembangkang telah disoalsiasat oleh polis, sekali gus tindakan itu dilihat cubaan menakut-nakutkan mereka yang menyertai protes.

Bagaimanapun, bantahan yang dilancarkan pembangkang Rusia itu mendapat kelulusan pihak berkuasa tetapi sebarang anjakan dari lokasi dan masa bakal mencetuskan tindakan keras oleh polis.

Dalam kebanyakan perhimpunan menentang Putin, ia berakhir dengan pertempuran hebat antara polis dan penunjuk perasaan dan beberapa aktivis pembangkang berkata keganasan yang timbul adalah disebabkan provokasi samseng-samseng pro-Kremlin.

Selain itu pihak berkuasa turut menyerbu kediaman pemimpin berhaluan kiri serta menyoal siasat mereka yang dikaitkan dengan bantahan itu.

Sejak itu puluhan protes telah berlaku di Rusia sehingga sekarang dan masih tidak nampak sebarang jalan penyelesaiannya. Bagi Putin, beliau menyelar cubaan pihak asing yang cuba masuk campur dalam politik negara itu terutama Amerika Syarikat (AS) selain cubaan mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menggulingkan kerajaan yang sah.

Namun punca masalah di Rusia dilihat kerana hasrat Putin untuk kekal berkuasa. Jika beliau berundur dengan penuh hormat pada 2008, beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang berjaya membangunkan dan memajukan Rusia, walaupun dengan cara agak kontroversi.

By: Hafizahril Hamid.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik