Friday, May 17, 2013

DEMKIANLAH HAKIKAT POLITIK.

By: Dr Mashitah Ibrahim.

Minggu lepas saya berbicara tentang masa refraktori, iaitu masa untuk ahli-ahli politik berehat. Namun, pada 8 Mei 2013, bertempat di Kelana Jaya, terdapat perhimpunan yang agak besar.

Maksud perhimpunan itu ialah untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan pilihan raya ke-13. Akhbar pembangkang mengatakan pilihan raya ke-13 ini terburuk, satu tanggapan dan saranan persepsi. Perbahasan tentang hal ini akan berlarutan. Khusus untuk masalah dakwat kekal saja, Datuk Haron Din bersikap sederhana. Beliau mengemukakan dua kemungkinan, “...mungkin pembekal menipu SPR, atau mungkin BN melalui SPR menipu rakyat." (Suara Keadilan 7 Mei, 2013). 

Perhimpunan di Kelana Jaya menunjukkan masa refraktori digunakan oleh pembangkang untuk terus berpolitik. Ini ialah pengaruh slogan ‘lawan tetap lawan’.

Kepada calon yang gagal dalam pilihan raya ini, sikap tenang elok diamalkan.  Saifuddin Nasution Ismail kalah menentang Barisan Nasional, manakala Shahlan Nasution Ismail tewas menentang Pakatan Rakyat.

Oleh sebab kedua-dua beradik ini gagal, maka hikmahnya ialah mereka mempunyai masa untuk berbual-bual di atas bangku di halaman rumah, di Kedah. Calon yang menang tentu kekurangan masa.

Shahrir Abd Samad dan Khalid Abd Samad memperoleh keputusan sebaliknya. Tokoh Umno dan tokoh PKR itu menang. Inilah rahmat ALLAH untuk orang yang mengerti. Sesiapa yang tidak bersyukur, ditutup oleh ALLAH akan mata hatinya, lalu terus meraung-raung. 

Menang dan kalah adalah hal biasa. Anak-anak Ismail kalah kedua-duanya, anak-anak Abd Samad menang kedua-duanya.

Dalam pilihan raya yang hebat ini, tokoh-tokoh Umno, iaitu Mohd Ali Rustam, Abdul Ghani Othman, Saifuddin Abdullah, Raja Nong Chik, Mohd Puad Zarkasi dan beberapa lagi tewas di tangan pembangkang.

Di samping itu, di pihak pembangkang pula, selain Saifuddin Nasution, kita dapati Haron Din, Salahuddin Ayub dan Husam Musa turut kalah. Tiada sesiapa menipu sesiapa: jika tidak kalah, maka menang.

Pilihan raya ke-13 ada keseimbangan kalah dan menang. Jika kita mahu bersimpati, kita bersimpatilah kepada semua yang kalah, dan jika kita mahu mengucapkan tahniah, itu adalah untuk semua yang menang. Perhatikan rangkap puisi adaptasi karya penyair terkemuka:

Jika kita berduka simpati atas kekalahan satu kumpulan/ dan kita bersenang hati atas kekalahan kumpulan lain/ maka keadilan tidak berada di mahkota kebenaran/ kerana, bukanlah keadilan jika ia ada batasan.

Ahli politik menawarkan bakti untuk masyarakat. Berulang kali saya sebutkan, Anwar dan Najib itu bukannya orang lain. Dulu mereka sama-sama  menawarkan bakti melalui Pemuda Umno. Sekarang mereka berebut-rebut untuk berbakti melalui parti yang berbeza. Itu saja.

Kita berharap kerajaan yang ditubuhkan kini akan dapat menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat. Najib Razak tentulah dapat mengesan kelemahan yang terdapat di sana sini. Anwar Ibrahim juga pasti memahami kesilapannya dalam menerajui pembangkang.

Negara kita sesekali bergoncang kerana kelemahan-kelemahan tertentu.  Terbaru, beberapa orang di pihak kerajaan menggunakan istilah ‘tsunami Cina’ dalam melukiskan kejatuhan beberapa kawasan. Seeloknya istilah itu tidak timbul.  Sebenarnya tiada tsunami, hanya keputusan biasa.

Pihak pembangkang, setelah mengetahui keputusan pilihan raya, menuding SPR, mengatakan ada penipuan. Itu juga satu kesilapan yang tidak wajar timbul.  Keterlanjuran kata akan membawa pertelingkahan berterusan. Keputusan pilihan raya ini bagus, bahkan untuk pembangkang, keputusan ini mengatasi keputusan yang lepas.

Jalan terbaik untuk pihak pembangkang dan kerajaan kini ialah bekerja untuk rakyat. Anwar mungkin masih boleh menjadi Ketua Pembangkang, kerana DAP mahu menerimanya. Itu pun jika beliau benar-benar membatalkan hasrat untuk menjadi pensyarah, satu tugas yang mulia.

Elok disebutkan, seorang mantan pensyarah, Abdul Aziz Bari namanya, boleh kalah di Sabak Bernam. Beliau kalah dalam negeri Selangor yang dikuasai Pakatan. Ternyata, mantan pensyarah memerlukan latihan untuk menjadi ahli politik. Ahli politik juga tentu memerlukan latihan untuk menjadi pensyarah.

Kawan baik saya mengatakan Anwar tidak akan meninggalkan politik. Penyuaraan untuk menjadi pensyarah ialah penyuaraan yang boleh berubah-ubah, dan itu ialah hakikat politik.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik