Sunday, May 26, 2013

DEMONSTRASI AMAN JUGA PERLU MENGIKUT PERATURAN.

By: rmf7.

Saya terpanggil untuk memaparkan satu ulasan yang panjang lebar adil dan saksana daripada saorang Profesor yang bernama Mohammad Agus Yusoff  yang mana telah memberikan hujan dan pandangan beliau mengenai isu politik sesama didalam negara kita.

Pandangan yang cukup bernas dan menyangkal sama sekali dakwaan undi popular yang dimainkan oleh pihak pembangkang. Sepanjang pengetahuan saya undi popular ini kebiasaannya digunapakai didalam negara negara Republik bukan diamalkan didalam negara seperti Malaysia.

Mari kita bersama -sama meyelami dan memahami yang tersirat dan tersuratnya hujahan yang diberikan dan menjadikan kita saorang pengamal demokrasi yang matang dan bukan hanya mendengar kata kata pemimpin tanpa membuat kajian asas politik itu sendiri.

Hari ini saya menerima banyak pertanyaan dalam inbox saya berkaitan dengan Perhimpunan Hitam 505 dan meminta saya mengulasnya. Saya sebenarnya tidak mahu mengulas perkara ini, tetapi atas permintaan kawan-kawan, saya mencatatkan juga pandangan ringkas saya di sini.

Saya selalu percaya demonstrasi adalah ekspresi demokrasi, apatah lagi jika demonstrasi itu bertujuan untuk membantah sesuatu isu besar yang melibatkan negara. Ini pernah dilakukan oleh parti politik dalam negara kita semasa membantah tindakan AS menyerang Afghanistan dan Iraq serta banyak lagi contoh lain. Begitu juga dengan demonstrasi pekerja yang dilakukan oleh MTUC atau demonstrasi Bersih yang menuntut sistem pilihan raya yang adil.

Jika saya katakan demonstrasi itu adalah ekspresi demokrasi, apatah lagi dengan perhimpunan aman. Perkara 10(1)(b) Perlembagaan mencatatkan perhimpunan aman adalah hak rakyat: “semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.”

Jadi, dalam kes perhimpunan 505, saya melihatnya diadakan secara aman tanpa senjata untuk membantah perjalanan PRU ke-13. Syukur, sehingga kini belum ada kekecohan dan kecederaan kerana perhimpunan ini diadakan tanpa gangguan.

Walaupun PR menamakannya sebagai perhimpunan aman, kenapa pula pihak kerajaan menyatakannya sebagai satu perbuatan provokasi? Ada asaskah untuk pihak kerajaan menyatakan sedemikian?

Kerajaan mempunyai asas untuk menyatakannya sebagai satu perbuatan provokasi. Ini kerana penganjur melakukannya tanpa mengikut peruntukan seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan notis sepuluh hari diberi kepada pihak Polis.

Mengapa susahnya pihak penganjur memberikan notis 10 hari itu? Jika hendak diadakan terlalu cepat pun, tunggulah sehingga notis itu cukup edahnya. Kita yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran jangan melanggar undang-undang. Itu asas hidup bernegara.

Akibat tidak mengikut undang-undang ini besar, khususnya kepada anak-anak muda yang berjiwa panas. Ia boleh mewujudkan suasana tegang apabila anak-anak muda yang sebahagiannya mahasiswa universiti ditangkap.

Masa depan mereka yang sepatutnya cemerlang menjadi suram dan terpaksa melalui kesukaran. Oleh sebab itulah, saya gesa supaya apapun perhimpunan aman yang hendak diadakan, lakukanlah mengikut undang-undang dan peraturan negara.

Saya ada pengalaman seperti ini semasa empat mahasiswa saya dituduh di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 hampir genap tiga tahun dulu kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti pembangkang yang bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor ketika itu.

Mujurnya, mereka menang dalam kes itu dan selepas itu, seksyen ini dimansuhkan. Alhamdulillah, empat mahasiswa sains politik saya itu telah berjaya sekarang ini dan dapat berbangga menggolong ijazah Sains Politik dari UKM. Dan saya juga turut berbangga dengan kejayaan mereka.

Namun, kes saudara Adam Adli yang kental semangatnya, saya dapati keadaannya berbeza. Beliau masih perlu menggolong ijazah untuk cemerlang sebagai pemimpin masa depan.

Tanpa ijazah, sukar untuk beliau muncul hebat. Hujah inilah yang menyebabkan saya menyatakan perlunya perhimpunan aman itu diadakan mengikut peruntukan undang-undang negara supaya anak-anak muda yang berpotensi ini tidak menjadi mangsa keadaan. Saya cukup yakin tamadun sebuah negara bangsa dibina atas asas patuh kepada peraturan dan undang-undang.

Dengan keadaan sekarang ini, perlukah perhimpunan aman diadakan? Wajarkah diadakan atas alasan keputusan pilihan raya tidak adil?

Saya ingin nyatakan bahawa perhimpunan aman adalah hak rakyat yang dibenarkan oleh perlembagaan asalkan mengikut peraturan dan undang-undang lain negara. Teruskanlah berjuang jika itu adalah yang terbaik dapat dilakukan untuk negara.

Tapi dalam soal pengendalian pilihan raya ini, saya tidak salahkan PM dan BN. Saya hujahkan begini kerana yang hadir dalam perhimpunan ini sekitar 100 ribu orang sahaja daripada 28 juta rakyat Malaysia. Betul, kita boleh katakan 100 ribu orang itu mewakili suara majoriti, tapi dalam ilmu sains politik, tanggapan sedemikian adalah hipotetikal.

Jika kita ingin berhujah PR mendapat 51% undi popular dan BN hanya 47%, maka oleh itu BN adalah kerajaan minoriti, saya tidak nampak hujah itu kukuh dan boleh dipertahankan.

Ini kerana Malaysia sejak merdeka menggunakan sistem majoriti mudah berdasarkan kawasan yang ditandingi, bukannya mengamalkan sistem perwakilan bernisbah atau sistem pilihan raya Presiden seperti di Amerika dan Perancis.

Jika kita tidak bersetuju dengan sistem sedia ada, dalam sidang parlimen nanti, desak supaya sistem pilihan raya kita ditukar. Selagi perlembagan kita tidak ditukar, maka hujah untuk menyatakan sistem pilihan raya kita tidak adil adalah tidak relevan.

Maka, siapa yang perlu dipersalahkan? Perlembagaan menetapkan urusan pengendalian dan pengurusan pilihan raya terletak di tangan SPR. Maka, jika ada penyelewengan dan ketidakpuasan hati kepada perjalanan pilihan raya, tujukanlah tuduhan itu kepada SPR yang bertanggungjawab untuk menjawabnya.

Bagaimana kita perlu selesaikan hal ini?

Rakyat telah membuat keputusan dan SPR telah mengumumkan keputusannya. Jika merasakan berlaku ketidakadilan dan penyelewengan, maka buatlah petisyen pilihan raya. Sediakan bukti kukuh kepada semua tuduhan yang dibuat kepada SPR dan kita tunggulah keputusan mahkamah nanti.

Namun, dengan keadaan masyarakat yang sudah terbelah ini, saya melihat keputusan mahkamah nantipun sukar untuk merapatkan perpaduan lagi. Konflik antara masyarakat disebabkan oleh politik ini sudah parah. Masyarakat sudah cukup terbelah.

PM sudah banyak bertolak ansur. DSAI telah banyak mendedahkan kepincangan SPR. Kedua-dua pemimpin kita mempunyai asas masing-masing dalam setiap tindakan mereka.

PM juga telah mencadangkan rekonsialisasi politik, Dr Wan Azizah telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Agenda Pemulihan Demokrasi dan YB Azmin Ali telah bersetuju untuk mengusahakan dialog.

Ayuh, pemimpin! Korbankan ego masing-masing dan selesaikan dengan baik kemelut ini. Saya yakin dialog dan pertemuan atas apa juga nama adalah asas terbaik untuk keluar dari kemelut ini.

Bagi kerajaan juga, saya harap sangat isu perhimpunan 505 ini dikendalikan secara baik. Moga tidak ada penggunaan kekerasan, tangkapan yang tidak perlu dan ugutan kepada rakyat.

Rakyat telah sedar tentang tanggungjawab dan hak mereka. Berikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri dalam ruang yang dibenarkan oleh sistem demokrasi dan undang-undang negara kita.

Saya menulis begini kerana hasrat untuk melihat demokrasi yang subur di negara kita. Tapi demokrasi tidak boleh subur sendirian. Demokrasi memerlukan pembangkang dan kerajaan sama-sama memahami dan meraikannya.

Dan nampaknya, jika sikap kedua-dua pihak tidak berubah, demokrasi kita masih memerlukan perjalanan yang jauh. Pemimpin-pemimpinku, jangan mengecewakan rakyat. Sedarlah bahawa rakyat selalu memerhati.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik