Monday, May 20, 2013

DENDAM BERTERUSAN DAP PADA KDN.

Tindakan DAP untuk mengemukakan usul celaan di Dewan Rakyat ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi adalah usaha politik terdesak parti tersebut bagi menyemarakkan perasaan marah rakyat kepada kementerian berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, apa yang dilakukan oleh DAP bukan berkaitan kenyataan Ahmad Zahid tetapi soal dendam lama DAP kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"DAP sememangnya mahu mewujudkan rasa kurang senang rakyat kepada beberapa institusi teras di negara ini. Kalau dalam musim pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi mangsa mereka.

''Dan saya percaya KDN akan kekal menjadi 'sasaran' utama pembangkang untuk mewujudkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

''Dendam DAP kepada kementerian itu bukan perkara baharu, sebelum ini sudah beberapa kali 'usul dangkal' seperti memotong elaun atau gaji menteri diusulkan di Parlimen oleh wakil DAP," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Ahmad Zahid menarik balik kenyataannya pada Khamis lalu yang menegaskan pembangkang perlu berhijrah ke negara yang mengamalkan sistem republik jika mereka mahu menjadikan hujah undi popular sebagai alasan enggan menerima hakikat kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Guan Eng berkata, jika Naib Presiden UMNO tersebut tidak berbuat demikian, Penasihat DAP, Lit Kit Siang akan mengemukakan usul celaan kepada Ahmad Zahid dalam sidang Dewan Rakyat nanti.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO berkata, apa yang mahu dilakukan oleh DAP adalah taktik politik yang berniat jahat.

''Kit Siang sendiri pernah membawa usul yang sama dan ia hanya menghabiskan masa Parlimen dengan usul cetek dan lemah,'' katanya.

Reezal Merican menegaskan, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan berusaha memastikan usul yang dangkal, bermotifkan politik, berniat jahat seperti yang cuba dibawa oleh DAP ini tidak akan dapat pergi jauh.

''Parlimen tidak perlu terus dijadikan medan dendam politik DAP terhadap KDN. Ahmad Zahid mempunyai hak 'demokratik' mengemukakan pandangan kepada umum. Hak ini tidak seharusnya disekat.

''Bagaimana pula dengan 'hak majoriti' yang mahukan Malaysia yang aman, sejahtera, maju dan makmur tetapi dinodai oleh siri bantahan pembangkang di seluruh negara?," soalnya.

Reezal Merican berkata, perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pembangkang bagi membantah keputusan PRU-13 adalah gerakan 'political desperados' yang menyusahkan rakyat dan pembangkang wajar 'dicela' kerana tidak dapat menerima kekalahan.

"KDN ada tanggungjawab besar dalam memastikan negara berada dalam keadaan aman, sejahtera dan tenteram.

''Dendam politik DAP ini tidak wajar ada jika mereka parti yang bertanggungjawab. Tak perlu politikkan semua perkara. DAP perlu tampil sebagai 'anak jantan' di Parlimen, bukan dengan membuat ugutan politik kepada Menteri Dalam Negeri," ujarnya.

Sumber: UMO.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik