Wednesday, May 15, 2013

GERAK GERI ABDUL KHALID DIPANTAU.

PERTIKAIAN berhubung pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tamat apabila beliau secara rasmi mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi penggal kedua semalam. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertindak sebagai payung rakyat negeri Selangor telah memberikan perkenan buat kali kedua kepada Abdul Khalid untuk menerajui pentadbiran negeri.

Alasan perkenan itu adalah kerana nama Abdul Khalid adalah satu-satu nama yang dicalonkan oleh komponen pakatan pembangkang dan kelewatan pelantikan jawatan Menteri Besar itu adalah disebabkan pihak Istana Selangor menunggu pengesahan nama calon Menteri Besar Selangor daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Satu episod sudah berakhir. Selepas ini menanti fasa pemilihan barisan Exco kerajaan negeri. Adakah ini juga bakal menyaksikan ketiga-tiga parti pembangkang itu bertekak lagi?

Rakyat Selangor perlu menunggu seminggu atau dua minggu lagi untuk menyaksikan rentak perjalanan pembentukan pentadbiran pakatan pembangkang. Letih!

DAP yang memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi tidak layak mengemukakan calon Menteri Besar pasti akan terus kekal diberikan jawatan Speaker DUN manakala jawatan timbalan Speaker sama ada dikekalkan milik PKR atau diberikan kepada Pas yang terlepas jawatan Menteri Besar.

Perkara itu perlu difikirkan kerana setakat ini Abdul Khalid tidak bercadang untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar bagi diisi oleh wakil rakyat daripada Pas. Justeru, pilihan terdekat ialah menambah kuota Exco untuk Pas dan DAP masing-masing empat kerusi manakala dua lagi kepada PKR.

Pas juga wajar menuntut kembali kerusi Exco Hal Ehwal Islam yang sebelum ini disandang oleh Abdul Khalid setelah pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali daripada parti pada Januari lalu.

Dalam pada itu, dengan ikrar 10 aku janji yang dilafaz secara terbuka oleh Abdul Khalid dalam istiadat angkat sumpah menyaksikan penggal kedua pentadbirannya akan lebih mencabar.

Abdul Khalid perlu memastikan sendi-sendi utama negara dan negeri ini terutama agama Islam dan hak orang Melayu perlu dipertahankan. Selain itu beliau perlu sentiasa mematuhi semua arahan Sultan Selangor.

Abdul Khalid ketika melafazkan dengan lancar ikrar tersebut sambil memegang tombak perlu ingat, aku janji tersebut sudah ditandatangani di hadapan Sultan Selangor. Ia bukan seperti manifesto pembangkang yang beliau anggap bukan satu perjanjian. Dalam aku janji itu juga disebut supaya rakyat perlu didahulukan.

Perkara ini jelas menunjukkan Abdul Khalid perlu memastikan segala janji dalam manifesto pakatan harapan rakyat itu dilaksanakan.

Malah Abdul Khalid sedang dipantau oleh pemimpin partinya sendiri seperti Azmin Ali yang sebelum ini tanpa berselindung mengkritik pentadbiran Menteri Besar itu gara-gara nama Abdul Khalid dicalonkan menduduki jawatan tersebut.

Sebab itu Abdul Khalid dengan cepat mengambil tindakan untuk membesarkan lagi peranan Pejabat Menteri Besar antara lainnya untuk mendekatkan diri dengan rakyat Selangor.

Beliau bersama kakitangan tingkat 20 dan 21 bangunan SUK perlu bekerja lebih keras untuk memastikan mereka tidak akan dibedil oleh para pemimpin PKR sendiri.

Ini kerana sebelum ini, orang parti dilihat tidak banyak membantu Abdul Khalid dalam berdepan isu-isu semasa yang dibangkitkan. Beliau hanya berjuang bersama Setiausaha Politiknya, Faekah Hussin yang lantang itu.

Abdul Khalid perlu memastikan sikap pemimpin dan penyokong pembangkang tidak lagi membuat hasutan dengan menolak keputusan pilihan raya umum tersebut. Mereka sewajarnya menumpukan kepada keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang mereka miliki dengan majoriti lebih besar.

Selain itu, Abdul Khalid perlu memastikan tumpuan utama pentadbirannya adalah untuk menyelesaikan isu penstrukturan perkhidmatan bekalan air yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya umum baru-baru ini.

Sewajarnya kerajaan negeri mengadakan perundingan dengan Kerajaan Pusat untuk memastikan pertelagahan isu tersebut dapat diselesaikan segera bagi mengelak rakyat Selangor menderita akibat krisis bekalan air menjelang 2014 atau 2016 nanti.

Kerajaan negeri perlu mengambil kira keperluan mendesak kelancaran Projek Loji Rawatan Air Langat 2 untuk memastikan bekalan air terawat untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan mencukupi.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik