Sunday, May 26, 2013

GODFATHER BUKAN SETAKAT FILEM MAFIA.

By: Johardy Ibrahim.

SATU aktiviti yang pasti kita lakukan semasa musim cuti sekolah ini ialah menonton wayang. Saya belum menetapkan secara khusus filem baharu yang hendak ditonton tetapi yang pasti, akan mengulang tonton trilogi The Godfather, yang entah untuk kali ke berapa ratus.

Filem yang mengisahkan kumpulan jenayah terancang mafia atau La Cosa Nostra di New York ini begitu memberi kesan dan memiliki peminat zaman-berzaman. Malah ada yang membeli dan mengumpul apa saja barangan yang berkaitan dengan filem ini sama ada pita video, VCD, DVD, buku, baju T dan sanggup berbelanja besar untuk mengunjungi lokasi penggambaran di New York dan Las Vegas di Amerika Syarikat serta Sicily di Itali.

Filem 1972 ini diarahkan oleh Francis Ford Coppola, diterbitkan oleh Albert S. Ruddy dengan lakon layar oleh Mario Puzo dan Coppola. Diadaptasi dari novel karya Puzo pada 1969.

Filem ini mengisahkan kumpulan mafia paling berkuasa di New York dari tempoh 1945 hingga 1955, yang berpusat kepada watak Michael Corleone (lakonan Al Pacino) yang merupakan anak ketiga dari empat beradik dan tidak mahu terlibat dengan urusan mafia keluarganya tetapi terjurumus setelah abang dan bapanya diserang oleh pesaing.

Dalam industri perfileman global, filem The Godfather diiktiraf sebagai antara filem terhebat di dunia, khususnya dalam genre gangster. Dikategorikan sebagai filem kedua terbaik dalam dunia perfileman Amerika (selepas filem Citizen Kane) oleh Institut Perfileman Amerika (AFI) dan dipilih untuk pemeliharaan oleh Pendaftar Filem Nasional Amerika Syarikat pada 1990.

Daripada segi hasil kutipan tiket, filem ini kekal sebagai filem terlaris pada 1972. Filem ini memenangi tiga Anugerah Oscar untuk Filem Terbaik, Pelakon Terbaik (Marlon Brando) dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Puzo dan Coppola).

Filem ini menerima tujuh pencalonan merangkumi Al Pacino, James Caan dan Robert Duvall bagi Pelakon Pembantu Terbaik dan Coppola untuk Pengarah Terbaik. Kejayaan filem ini melahirkan dua lagi filem susulan iaitu The Godfather Part II pada 1974, dan The Godfather Part III pada 1990.

Pesta filem Godfather ini adalah acara tahunan tetap bagi saya, sama seperti kita menonton filem P.Ramlee. Beratus kali ulang tapi tidak akan jemu-jemu. Malah, babak-babaknya diingati jelas serta diungkapkan dengan dialog yang menjadi ungkapan sehingga ke hari ini.

Misalnya babak awal semasa Michael berbual dengan bakal isterinya, Kay Adams di majlis perkahwinan adiknya, Connie. Ketika itu, watak Johnny Fontane baru tiba di majlis dan mencetuskan keriuhan peminatnya. (Ramai percaya watak Johnny menggambarkan watak sebenar Frank Sinatra).

Michael: Apabila Johnny baharu hendak bermula, dia telah mengikat kontrak dengan seorang peneraju band. Dan selepas kerjayanya semakin bagus, dia mahu keluar dari kontrak itu. Johnny adalah anak angkat (godson) kepada bapa saya dan bapa saya pergi bertemu dengan peneraju band dan menawarkannya $10,000 untuk melepaskan Johnny tetapi ditolak.

Keesokan hari, bapa saya pergi semula bertemunya, kali ini bersama Luca Brasi dan dalam sejam, peneraju band bersetuju melepaskan Johnny dengan cek bernilai $1,000.

Kay Adams: Bagaimana dia lakukannya?

Michael: Bapa saya membuat satu tawaran yang dia tidak boleh tolak (My father made him an offer he couldnt refuse).

Kay Adams: Apa bendanya?

Michael: Luca Brasi mengacukan pistol ke kepalanya, dan bapa saya menyakinkan dia bahawa sama ada otaknya atau tandatangannya akan tertera pada kontrak.

Babak di atas adalah cara perlambangan Coppola sebagai pengarah menggambarkan kisah ngeri, brutal dan mafia tanpa perlu memaparkan aksinya mengacu pistol. Sebaliknya ia disampaikan menerusi penceritaan verbal Michael. Malah dengan cara mimik muka Michael yang selamba dan reaksi terkejut Kay, situasi itu sudah cukup bertenaga memberitahu penonton betapa kejamnya Don Vito dan konconya, Luca Brasi.

Keganasan sentiasa menjadi elemen yang menjual sesuatu filem tetapi bagaimana ciri itu dipersembahkan hari ini sudah berubah sama sekali. Hari ini babak keganasan (membunuh), dipaparkan begitu terang-terangan, brutal dan melimpah-limpah darah yang sama sekali menidakkan aspek moral.

Dalam filem Godfather, memang terdapat aksi ganas antaranya babak kepala kuda dipotong dan diletakkan dibawah selimut pemilik studio filem, Luca Brasi mati dijerut, Sonny ditembak bertalu-talu dan babak Michael menembak kepala Ketua Polis. Bandingkannya dengan filem francais Bourne atau Pulp Fiction misalnya. Betapa filem era 1970-an kini dianggap bertaraf filem Disney dalam pemaparan adegan tembak menembak.

Babak Michael berbual dengan Kay tersebut juga melahirkan ungkapan yang kekal popular sehingga ke hari ini iaitu made him an offer he couldnt refuse (membuat satu tawaran yang dia tidak boleh tolak). Ungkapan ini berkonotasi negatif dan memanglah negatif kerana ia diungkapkan oleh mafia untuk mengugut. Hari ini, ungkapan ini menjadi sebutan ramai terutama dalam situasi amat sulit kepada seseorang, maka diberi pilihan luar biasa. Tidak semestinya rasuah kerana lebih cenderung berbentuk antara hidup atau mati.

Satu lagi babak yang kental dan menusuk mesej dialognya:

Michael Corleone: Bapa saya tidak ada beza dengan lelaki berkuasa lain, mana-mana lelaki yang bertanggungjawab terhadap orang lain, seperti senator atau presiden.

Kay Adams: Awak tahu betapa naif bunyinya awak?

Michael Corleone: Kenapa?

Kay Adams: Senator dan presiden tidak membunuh orang.

Michael Corleone: Oh. Siapa sebenarnya naif, Kay?

Banyak lagi ungkapan-ungkapan dialog luar biasa yang memberi kesan kepada psikologi penonton untuk jangka masa yang lama. Antaranya:

Fredo, awak abang saya dan saya sayang awak. Tetapi jangan sesekali berpihak kepada sesiapa yang menentang keluarga kita lagi. Tidak boleh sama sekali." kata Michael kepada abangnya Fredo sebelum mengarahkan dia dibunuh kerana berkomplot menentangnya. (The Godfather II)

Saya ada kelemahan sentimental terhadap anak-anak saya dan saya manjakan mereka, seperti awak boleh tengok. Mereka bercakap sewaktu mereka sepatutnya mendengar." kata Don Vito kepada Don Sollozzo merujuk kepada anaknya, Sonny semasa perundingan urus niaga dadah (The Godfather).

Kewangan adalah senjata. Politik ialah mengetahui bila hendak memetik picu." kata Don Lucchesi semasa mesyuarat ketua-ketua mafia (The Godfather III).

Jangan sesekali membenci musuh awak. Ia menjejaskan cara penilaian awak." kata Don Michael kepada Vincent Sonny, anak luar nikah abangnya yang meminta kebenaran untuk menghapuskan Joey Zasa.

Bulan Mac lepas adalah genap 41 tahun filem Godfather ditayangkan. Mengapa filem ini terus menerus disukai oleh semua lapisan usia, termasuk yang baru meningkat remaja sekarang? Selain aspek pemaparan mafia, keganasan dan pembunuhan, trilogi Godfather, terutama filem kedua iaitu Godfather II memberi gambaran sejarah penghijrahan orang Itali ke bumi Amerika Syarikat pada akhir kurun ke-19. Dan seterusnya membuka penempatan mereka sendiri di Manhattan, New York yang dikenali sebagai Little Italy.

Seharusnya sesebuah filem itu wajar memiliki intipati sebegini. Selain sebagai sebuah wadah hiburan, filem juga hendaklah menyelitkan unsur sejarah yang boleh dijadikan panduan bagi generasi akan datang.

Godfather adalah gabungan elemen-elemen ini. Fiksyen dan sejarah menjadikannya sebuah filem unggul dan diperakui oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai khazanah budayanya. Di Malaysia, kita menanti karya seumpamanya. Dan sama seperti kebanyakan anda, saya juga tertunggu-tunggu tarikh tayangan filem Tanda Putera.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik