Sunday, May 19, 2013

HANYA ALLAH BERHAK MENILAI AMALAN SESAORANG.

By: Fathul Bari.

KALAU dia mengatakan solat seseorang itu tidak diterima, itu menunjukkan bahawa orang itu kafir. Walaupun dia tidak sebut kafir, tetapi apabila dia menyebut bahawa solat engkau ALLAH tidak terima, bererti secara langsung atau tidak dia telah menghukum orang itu kafir. Mengapa tiba-tiba mengatakan solat orang lain tidak diterima? Mereka mengatakan kita tolak Islam.

Di mana kita menolak Islam?

Apabila bangkit isu seperti ini; contohnya solat. Sabda Nabi dalam hadith maksudnya, “Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah solat. Barang siapa meninggalkannya maka dia telah kafir.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, An Nasa-i, Ibnu Majah. Dinilai sahih oleh Syaikh Al Albani) Maknanya solat itu adalah asas yang terpenting setelah akidah. Rukun Islam yang kedua, setelah La Ilaha illa Allah Muhammadur Rasulullah adalah solat. Maka jangan main-main kita menghukum solat orang diterima atau tidak diterima.

Kedua, dia mengatakan kerajaan buat masjid tidak ikhlas dan tidak diterima oleh ALLAH. Sabda Nabi SAW maksudnya, “Barang siapa membina masjid kerana mengharap wajah ALLAH maka ALLAH akan membina untuknya yang semisalnya di dalam Syurga.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Dan dalam Riwayat Muslim disebutkan dengan lafaz: “Sebuah rumah di dalam syurga.”

Mereka mengatakan kerajaan tidak ikhlas. Kita tahukah orang itu ikhlas atau tidak? Ikhlas adalah isu hati manusia. Kita berhak untuk menasihati manusia supaya ikhlas. Tetapi untuk menghukum orang tidak ikhlas, itu bukan kerja kita.

Usamah bin Zaid r.a merupakan cucu kesayangan Nabi SAW. Beliau merupakan anak kepada Zaid bin Haritsah dengan Ummu Aiman. Usamah bin Zaid menceritakan, “Kami pernah diutuskan Rasulullah SAW dalam satu pasukan perang. Lalu kami sampai di Al-Huruqaat, daerah Juhainah pada waktu subuh. Maka aku temukan seorang lelaki (dari pihak musuh). Dia mengucapkan Laa ilaha illallah, lalu aku pun menikamnya. Kemudian aku sampaikan hal itu kepada Nabi SAW. Baginda bersabda : “Apakah dia telah mengucapkan Laa ilaha illallah lantas engkau tetap membunuhnya ?”

Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia hanya mengucapkannya kerana takut terhadap hunusan pedang”. Baginda bersabda : “Tidakkah engkau belah hati orang tersebut sehingga engkau mengetahui apakah hatinya mengucapkannya atau tidak ?” Baginda terus-menerus mengucapkannya kepadaku hingga aku berangan-angan aku baru masuk Islam pada hari itu” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Mengapa tidak engkau belah hatinya dan lihat hatinya sehingga engkau menghukumnya tidak ikhlas? Bermakna Nabi melarang kita menghukum niat-niat manusia. Nabi melarang kita menghukum keikhlasan niat-niat manusia.

Dia buat masjid, biarkan dia buat masjid. Kita doa agar dia ikhlas kepada ALLAH. Bukan kita bersangka buruk dan mengatakan dia tidak ikhlas membina masjid. Tidak boleh menghukum manusia seperti itu.

Demikian juga kisah perempuan pelacur tua, di mana masyarakat sekelilingnya menghinanya kerana dia pelacur. Siapa tahu bahawa dia rupa-rupanya menjadi ahli syurga. Sahabat Nabi bertanya mengapa dia menjadi ahli syurga? Kerana dia memberi minum seekor anjing.

Jadi jangan kita main menghukum orang, ibadat orang itu tidak diterima, ibadat orang ini tidak diterima. Kita sepatutnya melihat pada diri sendiri, amal ibadat, solat, zakat, puasa dan haji kita. Jauhi penyakit dan sindrom menghukum orang. Tetapi sekarang ini ada pihak yang sibuk menilai solat orang, haji orang, masjid orang buat dan sebagainya, apa semua ini? Semua ada kebatilan kalau namanya manusia, tidak terlepas dari salah dan silap.

Sebab itu saya selalu tekankan, jangan gunakan agama untuk kepentingan politik. Jangan menjual agama, jangan menjual syurga dan neraka. Yang menjual syurga dan neraka hanya Dajjal sahaja, seperti mana yang disebut di dalam hadith.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik