Monday, May 13, 2013

ISLAM SEBAGAI UNSUR PERPADUAN SEJATI.

By: Azrina Sobian.

PADA setiap masa dan ketika, akan adanya ancaman perpecahan dalam masyarakat. Sebagai ahli dalam masyarakat, kita tidak dapat lari daripada berasa bimbang terhadap ancaman perpecahan dan ketegangan yang berlaku dalam masyarakat. Ketegangan ini berpunca daripada perbezaan yang wujud dalam masyarakat sama ada dari segi pemikiran, pandangan, kefahaman mahupun cara hidup.

Apa yang jelas, perbezaan yang wujud dalam masyarakat kadang-kala begitu diraikan sehingga menimbulkan pertelingkahan sesama ahli masyarakat. Bukan sahaja masyarakat berbilang bangsa tetapi dalam kalangan masyarakat satu bangsa juga hal ini berlaku. Oleh itu, masyarakat Islam di Malaysia tidak terkecuali.

Hakikatnya, kita memang berbeza. Lain rupa, lain rasa, lain bicara. Malah, cara berfikir juga berbeza. Apatah lagi rupa paras dan warna kulit. Perbezaan ini bukan sesuatu yang asing kerana perbezaan ini merupakan ketentuan Allah SWT. Disebutkan di dalam kitab suci al-Quran, dalam surah al-Hujurat, ayat 13, bahawa sememangnya Allah SWT menjadikan kita berbeza-beza supaya kita saling berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama yang lain.

Namun malangnya, dalam keadaan dunia masa kini, kita sengaja menjadikan perbezaan itu sebagai unsur untuk bertelagah. Kononnya yang berkulit putih lebih suci dan mulia, yang gelap tidak bijak, yang berpakaian sebegini dan sebegitu lebih beragama, dan sebagainya.

Persepsi-persepsi tidak baik terhadap perbezaan manusia menjadikan kita berlumba-lumba dan berebut mengejar sesuatu untuk membuktikan bahawa kita lebih baik daripada yang lain. Dalam perlumbaan ini pula, pelbagai cercaan dan hinaan dilemparkan. Hakikatnya, bukan ini tugas kita sebagai seorang Muslim yang beriman.

Salah satu tugas utama seorang Muslim adalah untuk mengasihi saudara seagamanya. Malah mengasihi saudara ini diibaratkan sebagai pelengkap keimanannya (HR Anas r.a.). Kasih sayang ini akan membawa kepada perhubungan yang baik dan mesra. Malah dengan kasih sayang ini juga, apa-apa pertentangan yang wujud di antara saudara-saudara seagama ini boleh diselesaikan secara bijaksana.

Di dalam surah al-Hujurat, ayat 10 ditegaskan pula bukan sahaja orang yang beriman itu bersaudara, malah menjadi tanggungjawab seorang yang beriman untuk mendamaikan dua pihak bertelagah. Perdamaian yang ingin ditegakkan ini bukan kerana sebab-sebab kebendaan dan kedudukan tetapi haruslah berpaksi kepada menegakkan agama Islam itu sendiri.

Oleh itu, Islam seharusnya menjadi unsur pengikat dan menghapuskan perpecahan. Jika ini benar-benar difahami, maka apa-apa unsur yang cuba memecahbelahkan umat Islam akan dapat ditepis dengan sebaik mungkin. Malah, jika berlaku pertentangan sesama Muslim sekalipun, haruslah ada usaha untuk berdamai atas nama Islam. Namun, kesediaan untuk melawan perbezaan sesama Muslim atas nama agama inilah yang kebanyakan daripada kita masih belum bersedia melakukannya. Tetapi, sampai bilakah baru kita akan bersedia? Berapa lama lagi perlu tunggu?

Oleh itu, sikap keterbukaan untuk menerima perbezaan haruslah diusahakan agar umat Islam dapat membentuk satu umat yang benar-benar bersaudara dengan penuh kasih sayang. Yang bijak membantu yang pandir. Yang kaya menolong yang miskin. Yang tersasar, bawalah ke jalan yang lurus. Yang salah pula sedialah menerima nasihat.

Ambillah iktibar dari sirah Nabi SAW. Ketika Baginda dan umat Islam berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan Baginda SAW adalah mengikat hubungan dua kaum utama di Madinah ketika itu iaitu 'Aus dan Khazraj di dalam satu persaudaraan Islam yang suci. Kedua-dua kaum ini pula bersedia untuk berdamai atas nama Islam yang dibawa Rasulullah SAW, sedangkan sebelum itu, telah beradab lamanya mereka bermusuhan. Gabungan kaum 'Aus dan Khazraj ini pula dinamakan sebagai kaum Ansar dan golongan Ansar ini pula menjadi pelindung kepada kaum Muhajirin yang berhijrah bersama-sama Rasulullah SAW dan ini juga dilakukan atas nama persaudaraan Islam.

Oleh itu, ketika umat Islam dilanda badai hebat yang mencondong kepada perpecahan, maka ingatlah bahawa kita semua bersaudara dan bertanggungjawab untuk menegakkan persaudaraan Islam. Persaudaraan Islam yang kukuh inilah yang perlu bagi membentuk umat Islam yang kuat dan seterusnya memungkinkan tamadun Islam dihidupkan semula. Hakikatnya, perselisihan yang membina perlu dalam membentuk umat Islam yang kuat tetapi perselisihan yang berpanjangan hanya akan meruntuhkan umat Islam itu sendiri.

Bagi umat Islam di Malaysia ini, apa sahaja usaha untuk menyatupadukan umat haruslah diterima dengan hati terbuka. Ia tidak wajar dianggap seruan yang remeh mahupun dianggap mempunyai agenda tertentu. Janganlah kita asyik menegakkan kepentingan diri dengan meletakkan syarat tertentu untuk bersatu terutamanya berkaitan hak diri yang perlu dihormati atau dipenuhi. Apakah begitu sukar bagi kita untuk bersangka baik terhadap seruan perpaduan itu?Sampai bilakah pula kita harus berfikir sebegini?

Kefahaman terhadap hak dan tanggungjawab ini merupakan salah satu perkara yang juga penting dalam mencapai persaudaraan Islam. Setiap orang akan cuba menegakkan hak masing-masing. Setiap orang juga mahu agar hak mereka ini dihormati. Namun, dalam memperkatakan tentang hak, ramai yang lupa bahawa hak datang secara beriringan dengan tanggungjawab. Malangnya pula, tidak ramai yang suka bercakap tentang tanggungjawab masing-masing.

Hakikatnya, kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain dan kita juga bertanggungjawab kepada keseluruhan masyarakat. Dengan itu, cara terbaik untuk memastikan hak diri dihormati adalah dengan menjalankan tanggungjawab untuk menghormati hak orang lain dan juga menjalankan tanggungjawab untuk bersatu demi kekuatan ummah.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik