Saturday, May 25, 2013

ISYARAT KEARAH PERPADUAN MELAYU.

By : Zainudin Omar.

SELAKU umat Islam yang sudah lama mengimpikan perpaduan, sudah pastilah kita merasa gembira dengan beberapa perkembangan mutakhir yang boleh ditafsir sebagai benih-benih perpaduan Melayu - Islam.

Kenyataan demi kenyataan positif yang dikeluarkan Pas diwakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Harun Taib dan Nik Abduh Nik Aziz berkenaan penolakan terhadap demonstrasi jalanan melegakan banyak pihak.

Cerita-cerita perpaduan Melayu Islam telah disebut-sebut sejak lama. Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, cerita ini dihangatkan dengan pertemuan Presiden dan Timbalan Presiden Pas pada masa itu bersama Abdullah. Begitu juga foto-foto yang tersebar di media apabila begitu ramai pemimpin UMNO menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak, semasa beliau di sebuah hospital di Pulau Pinang dibaca oleh orang Melayu sebagai suatu gambaran masa depan yang amat diidamkan oleh mereka.

Sekalipun agak terlalu awal untuk dibuat kesimpulan terhadap perkembangan terbaru ini, kenyataan-kenyataan dari pihak Pas menjadi signal awal ke arah kerukunan dan keharmonian politik Melayu Islam yang sekian lama terpecah-pecah. Kemuncak perpecahan berlaku apabila kelompok pro Anwar menguasai tampuk kepimpinan Pas melalui Nik Abdul Aziz dan Mohamad Sabu, yang menghilangkan sama sekali peluang perpaduan Melayu-Islam buat seketika.

Namun begitu, kita tidak perlu menjangkakan bentuk perpaduan yang terlalu solid pada ketika ini. Adalah salah dan dangkal sekiranya bacaan kita apabila menyebut istilah 'perpaduan' dengan mengharapkan penyatuan antara parti atau menjemput Pas menyertai Barisan Nasional (BN).

Penyatuan politik sekalipun penting namun bukan mudah dilakukan. Penyatuan politik akan membabitkan bukan sahaja strategi, malah periuk nasi bagi banyak kumpulan pendokong dengan halangan terbesar pastilah jurang ideologi. Dalam keadaan apa sekalipun, halangan ideologi ini, misalnya antara ideologi Pas dan UMNO diakui bukan senang untuk didamaikan.

Ketika ini, cukuplah dahulu dengan penolakan Pas yang selalu dikatakan mewakili jentera, strategi dan penyertaan teramai bagi siri-siri demonstrasi menolak keputusan PRU dan juga demonstrasi jalanan yang diatur oleh pakatan pembangkang.

Penolakan ini sekalipun tidak membawa makna menyokong BN, serta penerimaan keputusan pilihan raya oleh Pas besar ertinya dalam usaha negara menstabilkan ekonomi selepas berpecah-belah sewaktu kempen PRU-13 yang sengit.

Signal-signal yang diberikan oleh Pas tidak terhenti setakat itu sahaja. Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi yang baru memenangi kerusi Parlimen Temerloh menyambut baik saranan Menteri Belia dan Sukan untuk menyumbang idea dan kerjasama pembangkang dalam menangani isu-isu belia terutamanya.

Secara konkritnya, mungkin kita akan melihat selepas ini wakil-wakil Pas akan bersama-sama wakil BN dan kementerian dalam kempen-kempen dan program menangani gejala maksiat, menangani kes buang bayi atau gejala rempit dalam kalangan belia. Pas dijangka mengemukakan perspektif keagamaan untuk mengimbangkan perspektif lain yang bakal dikemukakan.

Begitu juga di dalam komponen-komponen lain di mana kerjasama UMNO-BN dengan Pas boleh dilaksanakan. Sekalipun saranan Tan Sri Nordin Kardi (di dalam facebooknya) agar dilantik seorang exco mewakili Pas di Kedah tidak disahut Datuk Mukhriz Mahathir, sekurang-kurangnya mesej yang ingin diberikan sampai iaitu; masa bercakaran antara dua parti Melayu itu hampir boleh diakhirkan. Dalam konteks Kedah atau Kelantan misalnya, sudah pastilah agak sukar untuk dilaksanakan cadangan sebegitu kerana ia akan membentuk kerajaan campuran yang memerlukan persetujuan parti di peringkat Pusat.

Namun masih belum terlambat, misalnya di negeri-negeri di mana pentadbiran sudah dibentuk dan barisan exco telah dilantik untuk melonggarkan sedikit tradisi bekerja sesama satu pakatan atau parti kepada menjemput wakil-wakil parti lain untuk membantu pentadbiran dengan diberikan peranan tertentu.

Usaha begini jangan terhenti kepada jawatan-jawatan yang besar dan glamor sahaja. Begitu banyak ruang yang boleh dan memerlukan peranan pelbagai pihak bagi mendapatkan hasil program yang lebih menyeluruh. Kekangan mungkin ada, tetapi itu bukanlah halangan. Kekangan utama yang selalu dikatakan menjadi masalah pastilah peruntukan kewangan bagi menjalankan program-program di bawah sesebuah exco yang dibentuk.

Sekiranya idea-idea kasar di atas dapat dilaksanakan, maka kita akan melihat satu suasana baru yang sebenarnya memperlihatkan kematangan berpolitik di Negara kita. Kemungkinan serangan-serangan peribadi dan kata-mengata akan berkurangan apabila kedua-dua pihak telah kerap bekerjasama.

Sekalipun demikian, sesuai dengan semangat demokrasi, setiap kali tiba pilihan raya, mereka akan tetap bertanding dan akan melalui siri kempen yang sengit. Namun sudah tentu suasananya bukan seperti hampir ingin berperang seperti sekarang kerana sepanjang lima tahun sebelumnya, mereka saling bekerjasama.

Apa yang berlaku adalah benar-benar kempen untuk melihat perspektif siapakah yang paling bagus di dalam menyelesaikan masalah negara dan warganya. Situasi seperti di negara maju yang tidak terbayangkan sebelum ini akan berlaku, misalnya pemimpin yang kalah akan serta-merta memperakui kemenangan kepada pihak yang menang tidak sampai 24 jam keputusan diumumkan.

Inilah kemungkinan hasil daripada cara berpolitik generasi baru ini. Itupun sekiranya hasrat yang baik itu tidak serta-merta dikambus oleh pihak-pihak yang ingin meneruskan politik perseteruan sebagaimana yang kelihatan pada kumpulan yang masih tidak henti-henti berdemonstrasi membantah keputusan PRU-13 pada masa ini.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik