Friday, May 10, 2013

JANGAN LAGI SEMAI POLITIK KEBENCIAN.

By: Dr Mashitah Ibrahim.

Keputusan PRU13 Ahad lalu mempunyai beberapa persamaan dengan keputusan pilihan raya umum 44 tahun lalu. Dalam pilihan raya 1969, pengundian jelas mengikut kecenderungan kaum. Kaum-kaum utama memilih parti yang didukung oleh kaumnya sendiri ataupun parti memperjuangkan isu-isu yang memberi keuntungan maksimum kepada kepentingan mereka.

Perbezaan yang jelas juga berlaku dalam selera pengundi bandar dan luar bandar. Majoriti pengundi bandar memilih parti pembangkang yang ekstremis, manakala majoriti pengundi luar bandar memilih parti-parti yang sederhana pendekatannya.

Akibatnya, pertambahan kerusi yang dimenangi pembangkang dianggap sebagai satu indikator kelemahan Perikatan sebagai sebuah kerajaan. Ia juga dilihat sebagai kelemahan penguasaan politik orang Melayu dan Umno.

Maka cabaran-cabaran terbuka yang bersifat perkauman mula dilakukan sehingga mencetuskan permusuhan dan kemarahan terbuka di antara orang Melayu dan Cina. Hal ini menjadi lebih tenat apabila ada pihak luar (Parti Komunis Malaya) dan gerakan subversif lain, mengambil kesempatan. Ada NGO yang bermotif politik ‘tumpang semangkuk’ menunjukkan simpati mereka kepada parti pembangkang. Akhirnya, berlakulah pertumpahan darah pada 13 Mei 1969.

Senario pasca-PRU 1969 dan pengalaman yang dilalui Pengerusi Perikatan dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, kini sedang dihadapi anaknya, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri. Seperti bapanya dahulu, Najib kini berdepan dengan budaya politik benci yang dicetus pembangkang. Sebahagian rakyat terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk menzahirkan benci kepada kerajaan, benci kepada Islam, benci kepada Melayu, benci kepada pemimpin tertentu dan benci kepada institusi seperti polis, tentera, mahkamah dan Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam buku The New Hate (New York, 2012), Arthur Goldwag menerangkan bagaimana pihak yang bermanipulatif sengaja mencipta pelbagai teori konspirasi dan mempengaruhi penyokong yang taksub untuk memperoleh kuasa. Mereka sentiasa mencari ‘kambing hitam’ sebagai sasaran dan menjadikan perbalahan, kemarahan, kebencian dan huru-hara sebagai alat untuk mencapai cita-cita politik.

Politik adalah perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara, namun jika kuasa politik disalah guna, semuanya boleh hancur. Sejarah dunia menunjukkan bahawa banyak tamadun runtuh akibat perpecahan, pertembungan emosi dan kejahilan yang mendorong kepada ketaksuban dan kefanatikan melulu sehingga menafikan kebenaran pihak lain. Golongan yang taksub, fanatik dan ekstrem adalah mangsa kepada gerakan yang semata-mata mengejar kepentingan politik, yakni merebut kuasa tanpa mengambil kira risiko perpecahan dan huru-hara.

Berdemonstrasi, mentakfir, menyebar budaya fitnah dan benci serta berkelakuan mencaci, menghina dan memaki hamun pihak lain adalah perbuatan yang melanggar batasan dan bertentangan dengan adab berpolitik dalam Islam.

Rakyat memang berhak menegur pemimpin seperti inti pati ucapan sulung Saidina Abu Bakar sebaik diangkat menjadi khalifah yang pertama. Ini disokong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Mana-mana hamba ALLAH yang diamanahkan suatu kumpulan rakyat dan siapa yang mati dengan menipu rakyat, ALLAH akan jauhkannya dari syurga. (Riwayat Muslim) 

Melihat kepada keadaan hari ini, nampaknya perjuangan Pakatan Rakyat yang kononnya mahu menegakkan hak asasi, membasmi rasuah dan penjimatan sudah bercampur aduk dengan kecenderungan sikap fanatik, kebencian melampau dan kemaruk mendapat kuasa dan kedudukan semata-mata. Atas nama kebebasan dan keadilan, mereka berdemonstrasi, menggugat keselamatan, menyusahkan orang ramai dan merisikokan perpaduan. Mereka seharusnya dipandu ajaran seperti yang dijelaskan dalam al-Quran (maksudnya): “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi kerana ALLAH tidak menyukai orang yang membuat kerosakan.”

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik