Saturday, May 25, 2013

JANGAN SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH.

By: Suffian Abu Bakar.

PENGUMUMAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menubuhkan Jabatan Pencegahan Jenayah sebagai satu cabang baharu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini membuktikan keseriusan pasukan itu membanteras jenayah sejak di peringkat awal.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang berhasrat menubuhkan pasukan cegah jenayah kerana difahamkan, beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, India, Hong Kong, Korea dan Kanada sudah mempunyai Jabatan atau Biro Pencegahan Jenayah masing-masing.

Tidak salah jika Khalid mengambil langkah yang sama menubuhkan pasukan jabatan cegah jenayah yang akan mempunyai pegawai berpangkat pengarah di peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selain dibantu pegawai di setiap kontinjen dan daerah.

Tugas membanteras jenayah sudah sememangnya menjadi salah satu tanggungjawab pasukan polis. Walaupun jabatan pencegahan jenayah ini tidak diwujudkan, PDRM sudah sememangnya mempunyai kuasa dan tugas untuk mengekang jenayah daripada berlaku, semua sudah maklum mengenai perkara itu.

Namun seperti kata Khalid dalam sesi sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara baru-baru ini, kewujudan jabatan itu adalah kelangsungan pihaknya untuk meneruskan usaha mewujudkan sifar jenayah di seluruh negara.

Rakyat perlu tahu bahawa untuk merealisasikan sifar jenayah, perlu ada satu mekanisme yang boleh memberi kuasa dan bidang tugas yang khusus kepada polis untuk melaksanakan tugas itu.

Dan itulah yang dimaksudkan oleh Khalid bahawa mereka perlu ada satu jabatan khas seperti di negara-negara luar yang berperanan memberi tumpuan untuk mencegah jenayah sebelum ia berlaku. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Bagi melicinkan perjalanan jabatan ini, beberapa cadangan perlu diberi perhatian oleh PDRM supaya fungsi jabatan ini yang akan diumumkan bersama pengarah dan pegawainya serta peranannya dalam tempoh terdekat agar tidak bertindan dengan jabatan lain.

Pertama, orang ramai perlu tahu peranan jabatan ini dalam mencegah perlakuan jenayah dan tidak hanya menjalankan tugas hanya semata-mata mengikut tanggungjawab yang ditulis atas kertas.

Ramai yang belum nampak, bidang tugas jabatan ini. Maklumlah satu jabatan baharu dan namanya pun untuk mencegah jenayah seperti mengadakan kempen antijenayah dan sebagainya. Jika sesuatu jenayah itu sudah berlaku, itu bukan di bawah bidang kuasa jabatan ini kerana diambil perhatian oleh Jabatan Siasatan Jenayah. Masyarakat perlu tahu setakat mana bidang tugas jabatan yang baharu ini.

Jabatan ini kelak harus sentiasa berada di hadapan, kerana tidak dinafikan mereka iaitu para pegawai dan anggotanya bertanggungjawab untuk memastikan jenayah itu tidak berlaku.

Jadi apa yang akan dilaksanakan oleh jabatan ini ketika berada di barisan paling hadapan PDRM? Adakah mereka akan sekadar mengadakan kempen-kempen, mengedarkan risalah atau memberi khidmat nasihat kepada orang ramai untuk mencegah jenayah atau ada sesuatu mekanisme yang baharu, bagi membezakan jabatan ini dengan jabatan-jabatan lain.

Kedua, bagaimana jabatan ini bergerak untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar jenayah termasuk menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Adakah jabatan ini akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO)? Jika ini berlaku, sudah pasti bidang tugas yang melibatkan anggota dan pegawai ini agak besar dan perlu pertambahan anggota yang banyak.

Ketiga pula, bagaimana jabatan baharu ini mampu memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa usaha PDRM untuk mengurangkan jenayah berhasil. Mereka perlu nampak setiap usaha yang dilakukan oleh polis. Rakyat perlu diberi keyakinan oleh polis bahawa jenayah itu

Secara tidak langsung juga, rakyat akan sedia maklum bahawa mereka juga memainkan peranan untuk membantu PDRM melaksanakan tugas mencegah jenayah, sebelum jenayah itu berlaku.

Bagi Khalid pula, idea untuk menubuhkan jabatan ini dicadangkan oleh beliau selepas mendapati sudah tiba masanya polis perlu menghalang jenayah daripada berlaku.

Sudah tiba masanya jabatan ini ditubuhkan kerana seperti mana saranan PM (Perdana Menteri) supaya rakyat didahulukan. Kita dengar semua rungutan rakyat, kegusaran masyarakat yang bimbang dengan jenayah di tempat mereka.

PDRM perlu buat inovasi tertentu dalam menangani ancaman jenayah, tujuan jabatan ini secara umum untuk jenayah cegah sebelum berlaku," katanya kepada penulis semalam.

Jadi, pilihan sekarang di tangan kita, adakah kita mahu mencegah jenayah sebelum ia berlaku atau apabila sudah berlaku baru hendak kita tanganinya. Janganlah jadi seperti kata peribahasa, sudah terhantuk baru terngadah.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik