Friday, May 24, 2013

JIWA ANARKIS ROSAKKAN PRINSIP DEMOKRASI.

By: Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir.
Tindakan ajak rakyat protes keputusan PRU-13 bukti sikap jijik pembangkang

Seorang anak muda berpekik: "Demokrasi sudah mati. Demokrasi tidak ada lagi. Yang ada hanyalah anarki". Pekikan itu mengingatkan saya kepada keadaan politik di Malaysia kerana parti yang kalah tidak boleh menerima kekalahannya. Parti yang kalah terus membuli rakyat, menyeret rakyat agar tidak menghormati keputusan dan aturan permainan dalam kamus demokrasi. 
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) rakyat memilih Barisan Nasional (BN) untuk memerintah dan pada PRU-13, rakyat mengulangi semula kepercayaan mereka. BN meneruskan kelangsungan politik dan mencorakkan masa depan negara, sekurang-kurangnya untuk menjejak harapan, Malaysia akan berjaya menempatkan kedudukan sebagai sebuah negara maju pada 2020 yang hanya berbaki tujuh tahun lagi. 

Sikap meroyan beberapa orang pemimpin pembangkang terus menuduh keputusan PRU-13 sebagai ‘jijik dan kotor’ bermakna mereka tidak menghormati demokrasi. Mereka sebenarnya berusaha untuk mematikan demokrasi menerusi keinginan membangkitkan semangat revolusi.”

Keyakinan rakyat tetap tinggi apabila pelantikan barisan Kabinet minggu lalu disambut dengan harapan dan semangat kuat untuk memperbaiki masalah polarisasi kaum yang berlaku kesan daripada kegagalan memahami erti sebenar makna nasionalisme ‘penyatuan dalam perbezaan’.

Politik Malaysia bermula dengan penubuhan parti berasaskan kaum. Politik sedemikian berjaya digandingkan bersama untuk mencapai satu hasrat dan dari situlah terbentuknya politik permuafakatan. Politik permuafakatan akhirnya terpaksa dilihat semula kerana kekesanannya sudah mula dicabar menerusi penyimpangan prinsip demokrasi.

BN selesai konflik politik perkauman sejak 1955

Konflik politik perkauman sejak 1955 berjaya diselesaikan oleh BN menerusi persamaan cita-cita untuk melihat setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang membina masyarakat Malaysia, sebuah cita-cita politik besar yang akan mempertahankan demokrasi. 
Bagaimanapun, keputusan PRU-13 memperlihatkan ada kecenderungan baru untuk menguasai sokongan pengundi dengan cara jijik dan membelakangkan prinsip demokrasi. Dua parti pembangkang terus menerus mempersoalkan pilihan pengundi kerana menganggap kemenangan itu menjadi milik mereka sedangkan keputusan sebenar tidaklah begitu.

Tindakan menganjurkan silent walk ataupun Black 505 membuktikan rakyat sekali lagi dibuli demi tujuan yang tidak betul. Menuduh bahawa proses pilihan raya berjalan sebagai paling ‘jijik dan kotor’ menampakkan jiwa anarkis dan bukannya atas prinsip demokrasi. Dalam demokrasi, kemenangan berasaskan majoriti. Keputusan majoriti ditentukan oleh kemenangan kerusi, kerana Malaysia memilih sistem demokrasi berasaskan perwakilan dan bukannya demokrasi berasaskan undi popular.

Protes burukkan demokrasi 

Protes yang dilakukan akan memburukkan demokrasi kerana sistem yang dipersetujui sebelum ini turut memberikan peluang yang sama kepada sesiapa yang ingin bertanding. Pengundi berhak menentukan siapakah yang mereka pilih dan setiap calon diberi kebebasan dan peluang berkempen. Justeru, kekalahan atau kemenangan perlu diterima sebagai sesuatu yang sah.

Sikap satu lagi parti pembangkang menerima keputusan PRU-13 dengan lapang dada harus dipuji kerana melihat ada kelemahan dalam mempromosikan manifesto parti selepas gelanggang kempen dibuka. Komennya amat menarik: “Tuhan masih belum memberikan kemenangan”. Maknanya, mereka sedar apa pun yang hendak dilakukan perlu memikirkan peranan Tuhan yang sebenarnya.

Tuhan telah menetapkan kemenangan kepada BN kerana perjuangan BN selama ini menepati kehendak-Nya – meletakkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang teratas. Ia berbeza dengan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, dalam tindakannya terlalu jauh dengan semangat politik Islam.

Banyak tindakannya bertentangan dengan Islam. Apabila melakukan doa, doanya untuk menjahanamkan orang lain. Ketika menggambarkan nuansa Islam, menuduh orang lain kafir dan bila bercakap mengenai pembangunan, menuduh orang lain tidak memakmurkan Islam.

Masjid hanya dibina sebagai petunjuk keangkuhan, walhal ketika diberikan peluang, perjuangan mereka hanyalah menghasut rakyat agar fikirannya sentiasa jumud. Kejumudan pemikiran itulah kemenangan sebenar kerana kejumudan itulah yang memperkukuhkan sokongan, melahirkan penyokong tegar secara membuta-tuli, tidak bebas berfikir dan mengamalkan nilai Islam yang benar dan syumul.

Pengakuan jujur itu masih belum memberikan komitmen yang ikhlas kerana masih ada pemimpin mereka melepaskan geram kerana kalah, termasuk menyalurkan pembohongan kononnya harga barangan sudah dinaikkan, meskipun realitinya tidak. Bukankah tuduhan itu menggambarkan prinsip keislaman sudah tercabut jauh kerana Islam sentiasa menganjurkan bercakap benar walaupun pahit.

Sikap meroyan beberapa pemimpin pembangkang terus menuduh keputusan PRU-13 sebagai ‘jijik dan kotor’ bermakna mereka tidak menghormati demokrasi. Mereka sebenarnya berusaha mematikan demokrasi menerusi keinginan membangkitkan semangat revolusi.

Dalam sejarah, revolusi tercetus dalam sistem yang tidak mengamalkan demokrasi. Tetapi di Malaysia, mereka menggunakan revolusi sebagai langkah mengkhianati demokrasi, maka benarlah pekikan pemuda berkenaan: “Demokrasi sudah mati. Yang ada hanyalah anarki.”

Anarki dalam pelbagai bentuk. Bermula sebagai bahan propaganda untuk mengubah sistem dan kemudian membuli rakyat untuk turun ke jalan raya menyerang pemerintah kerana kecewa rakyat tidak memilihnya. Harapan yang tinggi, tidak dipersetujui oleh rakyat. Rakyat sedar, mereka sebenarnya telah dibuli dan dijadikan alat kerana pemimpin itu amat besar agitasinya.

Buli rakyat tindakan zalim

Orang yang suka membuli rakyat tidak akan diberkati perjuangannya oleh Allah SWT kerana mereka adalah dalam kelompok yang zalim. Mereka zalim kepada diri sendiri, hanyalah mempertaruhkan orang lain untuk memenuhi kepentingan diri. Pada masa sama, meninggalkan kehendak agama dan kepentingan rakyat.

Itulah balasan dan petunjuk daripada Allah SWT. Kesombongan diri itulah yang banyak membawa kecelakaan dan jika mereka diberikan peluang menjadi pemimpin, ia akan membinasakan negara.

Rasulullah SAW dalam sabda yang diriwayatkan Aisyah RA, sangat mencela tindakan seperti itu : “Orang yang paling dibenci Allah SWT adalah penentang yang keras” (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalau benar pilihan raya ‘jijik dan kotor’, gunakanlah ruang undang-undang yang ada dan bukannya membuli rakyat. Cukuplah rakyat disogokkan dengan propaganda sepanjang kempen yang berlangsung kerana kini adalah masa untuk membuktikan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan demi kemaslahatan umum, bukannya memenuhi cita-cita peribadi seseorang yang kian keliru serta meroyan.

Perilaku meroyan adalah gambaran buruk manusia yang diganggu oleh penyakit mental. Penyakit itu jangan pula menjangkiti orang lain kerana masih ramai tidak rela membuang susu hanya kerana setitik nila. Setitik nila hanya mempengaruhi warna susu, tetapi tidak berupaya merosakkan sebelanga susu.

Hakikat itulah patut difahami oleh ramai rakyat Malaysia. Malaysia akan terus maju dan mampu mencapai hasratnya, seandainya rakyat terus bersatu dan biarkan pemimpin berkerutu itu mati berangan atau terjun dengan labunya. Pemimpin itu sendiri tidak pernah bersyukur dan orang yang tidak pernah bersyukur itu tentunya akan menerima azab dari Allah SWT. Kegagalannya juga adalah azab psikologi dari Allah SWT untuk menguji diri, dia sebenarnya masih belum layak menjadi Perdana Menteri.

Anarki lahir jiwa permusuhan

Janganlah matikan demokrasi dengan anarki. Anarki melahirkan jiwa permusuhan dan sikap bermusuhan adalah diharamkan dalam Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak boleh bagi seorang Muslim bermusuhan dengan saudaranya lebih tiga hari; saat keduanya bertemu, yang satu berpaling ke arah kanan dan satu lagi berpaling ke arah kiri. Paling baik antara mereka berdua adalah yang mendahului mengucap salam” (hadis Riwayat Bukhari).

Anarki akan membawa kehancuran dan bakal menimbulkan lebih banyak bencana. Maka, rakyat jangan pedulikan kerana pencetus anarki itu adalah dalam kalangan mereka yang berusaha mematikan demokrasi itu sendiri. Mereka tidak menghormati demokrasi kerana demokrasi itu sebenarnya adalah ‘demo kasi’ iaitu awak memberi, rakyat membuat pilihan dan rakyat dihormati, bukannya demo-crazy, rusuhan jalanan yang gila dan tidak berkesudahan.

Mereka yang menganjurkan demo-crazy itulah adalah kelompok yang boleh digelar pengkhianat. Pengkhianat lahir daripada jiwa kacau. Jiwa kacau bermula daripada persepsi yang keliru. Persepsi keliru adalah petanda awal orang yang tidak celik hati dan memahami apa tujuan sebenarnya Allah meminta manusia membangunkan kehidupan sementara dikembalikan kepada satu lagi kehidupan lebih kekal.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik