Sunday, May 19, 2013

KABINET BARU, HARAPAN BARU RAKYAT.

By: Tok Perak.

*BANYAK pihak, termasuk pembangkang, mengalu-alukan Kabinet baharu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang diumumkan awal minggu. Rata-rata berharap barisan muka baharu dan muka lama ini akan membawa negara ke arah yang lebih cemerlang.
Kepada yang dilantik – baharu atau lantikan semula – saya ucapkan syabas, dan selamat berkhidmat kepada rakyat, tidak kira penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang. Berkhidmatlah dalam semangat 1Malaysia.

Perlu juga diingatkan bahawa menjadi menteri bukan satu keistimewaan, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab berat, lebih-lebih lagi dalam kerajaan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Tuntutan dan harapan rakyat selalu tinggi. Setiap langkah, cara dan gaya menteri akan menjadi perhatian rakyat, setiap saat. Kurangkan cakap, kurangkan hubaya-hubaya, banyakkan kerja.
Kepada yang tidak terpilih, atau tidak dilantik semula, janganlah merajuk atau berkecil hati. Janganlah menangis atau hantuk-hantuk kepala ke dinding. Buktikan kata-kata selama ini bahawa “tidak jadi menteri pun boleh berkhidmat kepada rakyat.”

*TIDAK sahaja yang menang dalam PRU13, mereka yang tidak bertanding pun masuk juga dalam Kabinet baru berdasarkan kepakaran dan profesionalisme masing-masing. Syabas untuk mereka.

Datuk Abdul Wahid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd, dengan pengalaman korporat yang ada pada beliau, tidak syak lagi dapat membantu pentadbiran dalam hal-hal ekonomi, insya-Allah.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menjayakan program transformasi, beliau adalah kesinambungan golongan teknokrat dalam barisan Kabinet.

Seorang lagi bukan orang politik yang dibawa ke dalam Kabinet ialah Presiden Transparency International Malaysia (TI) Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan, juga sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ramai melihat pelantikan tersebut membuktikan keseriusan Najib dalam mempertingkat integriti pentadbiran kerajaan dan memerangi rasuah. Mudah-mudahan selepas ini tidak adalah persepsi negatif terhadap SPRM.

Rakyat mengharapkan dengan Datuk Paul bersama-sama PM memerangi rasuah, beberapa kes rasuah tahap mega dapat dibawa ke muka pengadilan. Orang ramai mahu seruan memerangi rasuah bukan hanya slogan kosong.

Tahniah saya secara peribadi kepada Khairy Jamaluddin, yang kali ini berjaya menyertai Kabinet sebagi Menteri Belia & Sukan. Harap-harap setelah masuk Kabinet beliau akan bersuara, dan bertindak lebih tegas. Mudah-mudahan dapat merapatkan golongan remaja dengan kerajaan. Mudah-mudahan juga pencapaian sukan kita dapat ditingkatkan pada peringkat dunia, bukan setakat jaguh
kampung.

*ADA air mata pada majlis perpisahan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh sebagai Ketua Polis Negara. Setelah 42 tahun dalam perkhidmatan, hari terakhir memakai uniform polis memang saat yang mengharukan.

Lebih empat dekad menghadapi pelbagai cabaran dalam Polis Diraja Malaysia, tibalah masa untuk Tan Sri kembali kepada isteri, anak-anak, menantu dan cucu, untuk menjalani kehidupan sebagai orang awam. Selamat berehat.

Tahniah kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menjadi orang No1 PDRM, juga tahniah kepada Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Mudah-mudahan persepsi negatif terhadap polis dapat dihakis. Mudah-mudahan indeks jenayah betul-betul dapat diturunkan.

*AKHIR kalam, masih belum lambat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada seluruh warga pendidik. Saya teringat hari pertama masuk sekolah, cikgu memujuk saya supaya jangan menangis.

Masuk sekolah menengah saya tidak lagi takut, malah sudah berani mengusik @ mengurat beberapa orang guru muda yang baru keluar maktab. Malah pernah sekali saya dipanggil ke bilik guru disiplin sebab ada aduan saya membuli guru.

Dari darjah satu hingga universiti, banyak sangat budi cikgu kepada saya. Mereka mengajar saya A, B, C, ‘alif’, ‘ba’, ‘ta’, 1, 2, 3. Tanpa mereka siapalah saya...Terima kasih, cikgu!

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik