Thursday, May 16, 2013

KABINET BARU PERLU ADA WAKIL CINA.

By:  Mastura Malak.

Selepas sahaja menempoh perjalanan PRU-13 yang paling getir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi berhadapan dengan cabaran membentuk kabinet baharu.

Keputusan pelantikan kabinet baru telah pun diumumkan oleh Najib pada jam 5 petang tadi di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya dan seperti mana yang diduga masih belum ada wakil MCA atau Gerakan tersenarai dalam kabinet setakat ini.

Namun pelantikan kabinet itu kebanyakannya diterajui oleh muka baru yang bakal memberi anjakan paradigma kepada pemimpin mahu pun masyarakat.

Ini kerana, sebagaimana yang disebut dalam spekulasi dan desas-desus sebelum diumumkan kabinet baru itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut tersenarai.

Khairy yang menang di Parlimen Rembau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan mengambil alih tempat Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertukar portfolio ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Manakala muka baru dari Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan mengisi kekosongan kabinet apabila Sarawak berjaya menyumbang 25 kerusi Parlimen dan 22 kerusi Parlimen di Sabah daripada 222 jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Kali ini, ABN News berkesempatan menemuramah Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr Sulaiman Yassin untuk berkongsi pendapat mengenai senarai kabinet baharu ini.

Menurut Profesor Sulaiman, keputusan kabinet tersebut secara tidak langsung memberi ruang kepada muka baru untuk membentuk satu inspirasi kepada rakyat.

“Saya percaya, dengan adanya muka baru ini, seperti Khairy Jamaluddin, akan menjadikan kabinet ini lebih mantap dan berjaya.

“Namun pelbagai perspektif perlu diambil dan perlu dikaji dengan teliti seperti bagaimana caranya untuk memberi kepuasan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan kabinet untuk golongan muda adalah perlu kerana pengundi majoriti daripada golongan genarasi Y yang mendambakan pembaharuan dalam semua aspek.

“Ianya meliputi, keperluan asas mengikut jangka masa panjang serta boleh memastikan golongan muda ini sentiasa berkembang dan melahirkan generasi muda yang produktiviti selain meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Katanya, kabinet baharu yang dilantik itu perlulah memenuhi kehendak dan keperluan rakyat, bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi juga menitikberatkan aspek perasaan, emosi dan hati nurani masyarakat.

Sulaiman berkata, perdana menteri seharusnya meletakan kaum Cina dalam kabinet kerana pendekatan kaum itu di Malaysia amat besar dan amat wajar sekiranya wakil MCA diberi peluang untuk sama-sama menerajui negara.

“Kaum Cina tidak harus dipinggirkan dalam kerajaan kerana pada hakikatnya terdapat masyarakat Cina yang menyokong Barisan Nasional pada [pilihan raya umum lalu.

“Saya berpendapat, agar masyarakat Cina dan India juga harus diberi peluang kerana negara kita ini mengamalkan sistem demokrasi,” katanya lagi.

Beliau juga bersetuju jika barisan kabinet dianggotai oleh mereka yang terdiri daripada ahli politik, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan mungkin penjawat awam atau pesara perkhidmatan awam.

“Kabinet tidak semestinya orang yang sama atau daripada agensi kerajaan sahaja, boleh juga diambil daripada agensi swasta, kerana daripada situ idea dan cara kerja boleh ditingkatkan lagi. Seperti yang kita lihat, agensi swasta cara kerjaya lebih efisien berbanding kerajaan, kerana mereka melakukan banyak perkara dalam satu masa yang sama,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan sokongan mengenai pertukaran portfolio dalam kabinet.

“Kebiasaannya penukaran portfolio ini selalu ada kebaikan di mana pengalaman yang ada akan memberi kekuatan kepada mereka. Jika ada ahli swasta yang dibawa masuk akan memberi lebih kekuatan sekali gus menjadikan kerajaan lebih efisien,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik