Saturday, May 25, 2013

KAJI SYOR BN PARTI TUNGGAL.

Kaji syor BN parti tunggal
Cadangan satu parti sesuatu yang besar dan penting: Muhyiddin
Phuket: Barisan Nasional (BN) dicadang mewujudkan makmal politik bagi mengkaji dengan mendalam syor supaya gabungan 13 parti komponen itu dijadikan parti tunggal. 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menganggap syor itu sesuatu yang besar tetapi penting untuk dikaji. 

Yang itu (syor) bagi saya sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh pertahankan keadaan kedudukan sebegini untuk tempoh katakanlah lima tahun akan datang,” Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Beliau berkata, makmal itu bukan saja boleh dianggotai ahli parti komponen tetapi juga semua pihak yang berminat dan berhasrat memberi pandangan dan cadangan.

“Cadangan ini perlu diteliti kerana ia mungkin mendapat sokongan dan pada masa sama akan ditentang sesetengah pihak selain anggota komponen parti,” katanya ditemui selepas ketika lawatan kerjanya di sini.

Hala tuju gabungan

Katanya, cadangan itu juga menuntut ahli semua parti komponen BN mengadakan lebih daripada muhasabah terutama selepas keputusan PRU13 bagi menentukan hala tuju gabungan berkenaan pada masa depan. 
“(Makmal) boleh meneliti dan melihat masa depan negara, nak memberi sumbangan boleh meneliti dan kalau hasil makmal itu boleh dikupas secara mendalam, boleh cerna idea baru mengenai format BN baru yang hendak dicadangkan.

“Yang itu (syor) bagi saya sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh pertahankan keadaan kedudukan sebegini untuk tempoh katakanlah lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, persoalan mengenai struktur BN itu perlu dijawab dalam masa terdekat, termasuk bagaimana untuk melaksanakannya jika didapati ia wajar dilakukan.

Beliau diminta mengulas cadangan Pemangku Presiden GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn supaya BN dijadikan parti tunggal untuk masa depan gabungan itu serta menarik orang muda.

Kena lihat struktur BN

“Kita kena lihat sendiri struktur BN sedia ada, apakah sudah sampai waktu sebuah parti (tunggal) dinamakan dibentuk, bukan dalam bentuk gabungan komponen,” katanya.

Tanpa setuju atau sebaliknya pada peringkat ini, beliau berkata, pandangan secara rasional diperlukan dalam tempoh beberapa bulan atau setahun ini, yang mana hasil dapatan makmal berkenaan dibincangkan kepemimpinan BN dalam satu konvensyen.

Katanya beliau juga ada berbincang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu, termasuk berkaitan evolusi struktur sedia ada kepada yang lebih ke hadapan.

Beliau berkata, cadangan itu juga mengambil kira perubahan minda masyarakat dan pengundi generasi muda yang sebahagiannya tidak melihat kepada parti yang berasaskan ras walaupun BN bukan sebuah parti perkauman.

Analisis prestasi PRU-13 

Mengenai analisis pencapaian BN pada PRU-13, Muhyiddin berkata, laporannya yang dilakukan oleh badan yang dibentuk khusus dijangka disiapkan dalam tempoh sebulan.

Katanya, laporan berkenaan tidak akan berselindung untuk mengetahui sebab kekalahan atau kemenangan BN di sesuatu kawasan walaupun ia berjaya membentuk Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, hasil laporan itu juga akan digunakan untuk merangka strategi supaya BN kekal relevan pada masa depan.

Sumber: BHO.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik