Thursday, May 16, 2013

KAUM CINA PERLU BERTANGGUNGJAWAB.

By: Teo Kok Seong.
  
Tidak dapat dinafikan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) memperlihat polarisasi politik, dengan pola pengundian kaum Cina yang kuat menyokong pihak pembangkang khususnya DAP. Dianggarkan sekitar 90 peratus undi kaum Cina memihak kepada pembangkang. Bagaimanapun, itu hak mereka dan perlu dihormati dalam sistem demokrasi.

Pola pengundian itu hampir-hampir meruntuhkan pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN), dan sudah pun meranapkan kerjaya politik beberapa tokoh BN, sama ada Cina atau Melayu. Itulah sebenarnya hasrat kaum Cina. Mereka ingin menukar pemerintahan daripada BN kepada pakatan pembangkang. 
Sehubungan ini, tindakan mereka itu bukan saja membawa kesan bertentangan daripada yang dihajati, tetapi juga mendapat reaksi negatif daripada masyarakat. Untuk ini, beberapa tokoh masyarakat Cina, selain menyelar tindakan itu sebagai kurang cerdik kerana bersifat ikut-ikutan dalam misi pengubahan pemerintahan, merayu agar kaum Cina tidak dihukum oleh kerajaan BN. 

Sesungguhnya percaturan kaum Cina itu untuk bersama-sama pembangkang adalah satu strategi yang mereka fikirkan pintar. Kini selepas hajat itu tidak kesampaian, ia tidak boleh dianggap dungu dan adalah kesilapan, lebih-lebih lagi dengan tindak balas hebat daripada masyarakat. 

Sebaliknya, apakah yang akan terjadi jika strategi mereka berjaya? Tentu, BN akan tumbang dan gagal membentuk kerajaan. Jika itu berlaku, ia perkara benar dan tidak boleh lagi diterbalikkan. Dengan kata lain, pembangkang akan menerajui pemerintahan negara ini.

Strategi kaum Cina gagal

Natijahnya kaum Cina perlu menerima hakikat bahawa strategi mereka gagal. Kegagalan ini tidak perlu dikaitkan dengan pelbagai alasan. Antaranya mereka dibohongi pakatan pembangkang. Sebenarnya mereka tidak sebebal itu dalam hal politik dan lain-lain. Sebaliknya mereka mempercayai, malah sungguh-sungguh meyakini strategi itu. 
Dalam hal kaum Cina dicemuh hebat kerana tindakan mereka sendiri, mereka masih mahu menuntut untuk diberi segala manfaat oleh BN yang ingin ditumpaskan itu walaupun tidak berjaya, dengan tidak pun mahu mengalami sebarang kerugian akibat tindakan belot mereka itu. Dengan kata lain, dalam keadaan begini pun yang memperlihat mereka tewas, mereka masih mahu memperoleh kedua-duanya, mengecapi imbalan dan mengelak balasan yang bakal diterima.

Sehubungan ini, kaum Cina perlu memperlihat mereka mempunyai maruah. Mereka perlu menerima apa-apa jua kesan, daripada perbuatan mereka yang mengecewakan banyak pihak. Dalam sesetengah kes, mereka lupa kepada bakti dan jasa tangan yang menyuap makanan ke dalam mulut mereka untuk sekian lama. Sehubungan ini, mereka tergamak menggigit tangan yang murah hati itu, tanpa perasaan bersalah langsung.

Sanggup terima kritikan

Sebenarnya dalam soal politik, kaum Cina mempunyai hak untuk memilih pihak yang mereka sukai. Dengan ini, mereka sudah menyatakan kecenderungan mereka. Oleh itu, mereka perlu bukan saja berani sebagai anak jantan untuk menerima segala kritikan. Tetapi yang lebih bahaduri lagi ialah mereka perlu sanggup menghadapi segala kesulitan akibat daripada tindakan mereka sendiri, dengan penuh tanggungjawab.

Justeru, hentikanlah segala pembelaan bahawa mereka naïf dan lurus bendul sehingga berjaya diracuni oleh pakatan pembangkang, untuk menukar kerajaan. Mereka sebetulnya adalah kelompok yang pintar dan tidak pernah sesaat pun alpa dalam segala tindakan mereka. Ini antaranya dapat dilihat pada strategi perniagaan mereka yang bukan saja bijak pada setiap masa, tetapi juga senantiasa culas.

Hanya percaturan mereka tidak menjadi kali ini. Mereka yang sepatutnya lebih waras untuk mendukung politik kesederhanaan yang mementingkan keharmonian, tetap memilih untuk menjulang politik polarisasi yang boleh mengundang perpecahan. Apa pun, nasi sudah menjadi bubur. Tiada yang boleh dilakukan untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap kaum Cina yang menyokong pakatan dalam PRU-13. Tindakan terlanjur tidak boleh diubah lagi.

Kaum Cina dengan hati terbuka menerima segala kesan ekoran daripada ketetapan yang mereka buat dalam PRU-13. Jika mereka masih bermaruah, mereka tidak sepatutnya meminta pun, apatah lagi menuntut agar tidak dibeza-bezakan oleh kerajaan BN, untuk tempoh Penggal Parlimen ke-13 ini.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik